Jadikan Aku yang Terakhir 10

820 38 7
                                    

"Deniz! Pergi buang sampah. Dah penuh plastik sampah tu!”

Iskandar menjerit dari  dapur. Aisyah yang sedang mengemop lantai di ruang makan menarik nafas panjang. Sudah beberapa hari dia bekerja di situ.

Kerja punyalah banyak sampaikan dia pun tak ingat apa kerja yang dia dah buat. Setiap awal pagi, dia  memulakan kerjanya dengan menyediakan peralatan untuk lelaki itu membuat kek dan roti.

Kemudian mengemop lantai, cuci cermin pintu, buang sampah, bersihkan pejabat Iskandar dan teman Kak Yam pergi beli barang-barang dapur di pasar raya.

Kalau ada pelanggan yang buat tempahan, dia perlu ikut Iskandar membuat penghantaran dan banyak lagi sampaikan buang sampah pun dia juga orangnya!

“Oit, dengar ke tidak?”

“Dengar boss! Saya nak habiskan mop lantai ni dulu” Jawab Aisyah.

Kak Yam yang sedang menyusun roti di rak makanan hanya tersenyum kepadanya.

“Tak apalah, biar Kak Yam buangkan sampah tu”

“Tak payah kak...biar saya buat. Sikit aja lagi ni” Aisyah membalas senyuman wanita itu.

Dia membetulkan tudungnya dan mengemaskan ikatan apron yang dipakai. Kemudian dia menyambung kerja mengemop lantai dengan tekun sambil berfikir tentang keadaan dirinya yang bekerja di kafe itu.

Sewaktu di bangku sekolah dia sentiasa berfikir tentang masa depannya. Apa yang dia mahukan dalam kehidupannya. Setiap hari dia belajar bersungguh-sungguh untuk skor dalam peperiksaan SPM.

Dia mendapat keputusan yang cemerlang hingga melayakkan dirinya masuk ke universiti dalam bidang yang diminati. Tapi akhirnya, tengoklah kau di mana sekarang Aisyah? Bukankah kau sepatutnya menjadi seorang vet? Atau paling tidak pekerja di jabatan veterinar sebagai seorang pegawai bukannya pencuci lantai atau tandas!

Aisyah geleng kepala. Kalau dia terus melayan perasaan dia akan terus berfikiran negatif. Aisyah menyiapkan kerja itu. Sebaik selesai dia terus mengangkat baldi dan mop lalu menuju ke dapur.

“Apa lembab sangat awak ni buat kerja Deniz. Makan ke tidak pagi tadi?”

“Belum...” Jawab Aisyah pendek.

Memang dia masih belum berkesempatan untuk makan sebab Iskandar tak berhenti menyuruhnya melakukan pelbagai kerja. Dia mengerling Iskandar  yang sedang membuat toping pada kek cawan.

Lelaki itu berhenti melakukan kerjanya. Iskandar cekak pinggang.

“Kenapa tak makan lagi? Kalau masuk angin saya juga yang kena marah dengan Reyhan. Sudah, berhenti buat kerja. Pergi makan”

“Kan tadi boss suruh buang sampah”

“Lepas buang sampah tu lah... bukannya sampai sejam buang sampah”

“Tapi kan kejap lagi Kak Yam nak pergi pasar raya. Saya kena ikut dia..kan boss yang suruh”

“Tak payah pergi. Biar saya pergi dengan Kak Yam. Awak jaga kaunter kalau kita orang lambat balik”

Jawab Iskandar lalu menyambung semula kerjanya.

Aishah angguk saja. Kalau membantah nanti dia juga kena marah. Aisyah mengeluarkan plastik sampah dari tong kemudian dia membawa plastik itu ke belakang kafe.

Di belakang bangunan itu ada sebuah tong besar sebagai tempat sampah-sampah dikumpulkan. Kesemua pemilik kedai di bangunan itu membuang sampah di situ.

Miaww.... Miawww..
Aisyah terdengar bunyi kucing mengiau. Seekor kucing kurus yang badannya dipenuhi kurap dan bekas luka yang sudah kering sedang menggesel kakinya.

Jadikan Aku yang TerakhirWhere stories live. Discover now