Jadikan Aku yang Terakhir 13

758 34 3
                                    

Reyhan memakir Triton yang dipandu di halaman rumah. Sebaik dia keluar dari kenderaan itu dia lihat nun jauh di kawasan padang dua buah ATV miliknya sedang digunakan.

Jika diperhatikan seperti ada satu perlumbaan pula. Agak lama diperhatikannya barulah Reyhan sedar kenderaan motorsikal beroda empat itu sedang dipandu oleh adiknya Iskandar dan Deniz.

Ada tawa Iskandar menyapa pendengarannya. Kedua-duanya kelihatan begitu gembira dan leka sampaikan tak sedar akan kepulangannya itu.

Dalam hati mula ada rasa tak senang kerana ini pertama kali dia melihat adiknya begitu dekat dengan seorang perempuan. Jika perempuan lain dia tak kisah sangat tapi ini Deniz!

"Abang Reyhan dah balik rupanya"

Sapaan Sarah hanya dijawab dengan anggukan dan senyuman. Entah dari mana Sarah datang, tiba-tiba muncul di situ.

Reyhan tak peduli dengan kemunculan Sarah sebaliknya mata Reyhan masih memerhatikan Iskandar dan Deniz.

"Abang nak Sarah bawakan beg abang ke rumah? Sarah tak ada kerja nak buat ni. Tadi baru aja lepas tolong Pak Ya beri makan kuda abang di kandang"

Sarah cuba menarik perhatian Reyhan. Padahal dia baru saja lepas berbual kosong dengan Pak Ya di kandang kuda. Sedikit pun dia tak membantu orang tua itu memberi makan Jaguh. Apabila mendengar bunyi enjin kereta, ketika itulah dia sedar majikannya itu sudah pulang.

"Tak payahlah! Saya boleh angkat sendiri" Jawab Reyhan acuh tak acuh saja sambil tangannya mengeluarkan beg pakaian dari belakang pacuan empat roda itu.

Sarah rasa hampa dengan jawapan Reyhan. Dia perasan sedari tadi mata Reyhan asyik memerhati Iskandar dan Deniz yang masih belum sedar akan kepulangan lelaki itu.

"Deniz tu seronok sangat sejak pagi tadi lagi... lepas memanah, drive ATV tu pulak sampaikan lupa nak bagi makan Jaguh" Adu Sarah.

Inilah masanya dia nak memburukkan gadis yang perasan bagus itu. Sudah enam tahun dia bekerja dengan Reyhan dan tidak pernah sekalipun lelaki itu hilang kepercayaan kepadanya. Prestasi kerjanya bagus dan dia sangat amanah dalam kerja.

“Selalu sangat berkepit dengan Iskandar tu. Kalau waktu kat kafe tu fahamlah juga tengah kerja kan.. Tapi lepas waktu kerja pun selalu berbual kat wakaf tu berdua-duaan... Macam ada apa-apa saja dia orang berdua tu, abang Rey” Tokok Sarah lagi.

Dia cuba menahan senyuman melihat wajah Reyhan yang mula gelisah.

"Biarlah, bersangka baik Sarah. Wakaf tu tempat umum bukan tempat sunyi. Entah-entah dia orang berbincang pasal kafe. Lagipun, hari ni kan cuti. Memang Deniz patut buat aktiviti yang dia suka.  Dia pekerja Iskandar bukan pekerja saya, tak perlu awak nak lapor apa-apapun...Saya pun tak tanya kan?”

Suara Reyhan begitu tegas dengan wajahnya yang serius. Sentap pula hati Sarah mendengar sindiran Reyhan sampai terdiam.

“ Terima kasih Sarah beri kuda saya makan"

Reyhan angkat beg pakaian dan sebuah beg galas berisi fail. Dia mahu terus masuk ke rumah.

Jauh di sudut hati dia rasa cemburu melihat kemesraan Iskandar dan Deniz. Sepanjang dia berkursus dia asyik teringatkan Deniz dan rasa tak sabar nak cepat balik ke kampung.

Namun bila dia sampai, lain pula yang dilihatnya. Mungkin hanya dia saja yang mula ada perasaan kepada Deniz sedangkan gadis itu anggap dia sebagai seorang kenalan atau abang saja.

Tengok Deniz begitu selesa dengan Iskandar, dia teringat akan niat ayahnya untuk menjodohkan Deniz dengan Iskandar. Hati mula rasa kesal. Kenapa bukan dia di tempat Iskandar?

Jadikan Aku yang TerakhirWhere stories live. Discover now