Jadikan Aku yang Terakhir 15

804 36 2
                                    

Reyhan masuk ke dalam kafe. Dia nampak Kak Yam sedang melayan pelanggan di kaunter. Di ruang makan pula kelihatan kosong tanpa pelanggan yang duduk makan. Hanya ada seorang gadis yang sedang tunduk mengemop lantai. Dia tak pasti siapa gadis bertudung yang memakai apron itu.

"Deniz! Buang sampah! Dah penuh dalam plastik ni" Jeritan dari arah dapur kedengaran begitu kuat.

"Deniz! Dengar ke tidak?" laung Iskandar lagi.

Reyhan mencari kelibat Deniz tetapi tidak kelihatan. Paling hampir dengannya gadis yang masih membelakanginya dan tertunduk mengemop lantai tapi tidak pula memberi respon.

"Deniz!" Laungan Iskandar semakin keras. Tetapi suara yang menyahut lebih mengejutkan Reyhan.

"Sekejap boss! Tengah mop lantai ni"

Reyhan sedikit ternganga. Topi cowboy yang dipakai ditanggalkan. Dia perhatikan gadis yang sedang tekun mengemop lantai itu rupanya Deniz.

Apa benda yang dia buat? Reyhan membayangkan sebaik saja dia masuk dia akan nampak Deniz sedang meroti atau mungkin sedang membuat toping di atas kek yang telah dibakar tapi yang ini... Iskandar memang betul buat apa yang dia cakap. Membuli gadis pujaan hatinya!

"Reyhan? Kamu buat apa tercegat kat situ?" Tegur Mariyam sebaik saja dia perasan Reyhan datang ke kafe.

Namun begitu, mata Reyhan hanya memerhatikan Deniz yang juga baru sedar kedatangan Reyhan. Kedua-duanya saling berpandangan.

"Awak buat apa tu, Deniz?" Tanya Reyhan dengan wajah serius. Dahi Reyhan berkerut.

"Err... saya cuci lantai ni. Tadi kotor sebab ada anak pelanggan tertumpah air.." Jawab Deniz dengan wajah memerah.

Mungkin rasa malu muncul semula sebaik saja melihat dia di situ. Reyhan nampak wajah polos itu kelihatan penat. Mungkin kerana terlalu banyak kerja yang diberikan Iskandar kepadanya.

Baru saja dia nak bertanya lagi Deniz sudah mengangkat mop dan baldi lalu menuju ke dapur. Reyhan mengekori.

"Eh, Sherif datang rupanya..."

Iskandar mula mengusik abangnya sebaik saja Reyhan muncul di dapur. Dia sedang membakar beberapa biji kek dan menyiapkan bahan-bahan untuk hiasan.

Iskandar perasan raut wajah abangnya yang tidak berpuas hati. Dia sudah dapat agak topik perbualan mereka sebentar lagi.

"Kau suruh Deniz buat kerja mencuci?" Tanya Reyhan. Langsung tak peduli dengan usikan Iskandar. Dia nampak Deniz sudah keluar melalui pintu belakang bersama plastik sampah. Reyhan geleng kepala.

"Sampah pun kau suruh dia buang? Berat tu... kotor pulak tu" Marah Reyhan.

Iskandar kerut dahi. Dah kenapa dengan abangnya? Kalau dah angau sekalipun takkanlah Deniz buang sampah pun jadi kesalahan besar!

"Habis kalau bukan dia siapa lagi nak buat? Dia pekerja aku kot..." Selamba saja jawapan Iskandar.

"Kau memang sengaja buli dia kan? Macamlah kau tak boleh buat semua tu... sebelum ni pun memang kau yang buat" Reyhan cekak pinggang.

"Bukan aku suruh dia angkat kayu balak pun... yang kau marah kenapa? Pekerja aku, suka hati akulah... hak aku!" Iskandar pun tak mahu kalah.

"Banyaklah kau punya hak! Bukan dia isteri kau pun..."

"Woi! Kau ni sihat ke tidak? Deniz tu pekerja aku... Aku bos... Cakap ajalah yang kau cemburu" Ada tawa mengejek yang buat Reyhan rasa geram.

Dia tumbuk perlahan bahu Iskandar lalu keluar mencari Deniz di belakang kafe.

Jadikan Aku yang TerakhirWhere stories live. Discover now