"Rayna! Apa kau menungkan lagi tu? Jom!" Suara riang Qira menyapa Rayna, mengejutkannya dari lamunan. Qira sudah jauh berlari di hadapan, penuh keterujaan. Rayna menghela nafas panjang sebelum mengangguk perlahan. Di akhirnya, dia setuju untuk mengikut Qira dan gadis-gadis lain pergi meraikan pertabalan Putera Caesis sebagai Putera Mahkota Empayar Wigazia.
Walaupun Rayna turut berjalan bersama mereka, langkahnya lebih perlahan, tidak sehebat keterujaan yang dirasai oleh yang lain. Rayna memahami mengapa mereka tidak sabar untuk tiba di majlis tersebut, tetapi bagi dirinya, ia sekadar cara untuk menghilangkan rasa bosan.
Setibanya di dataran besar, Rayna, Qira, dan gadis-gadis lain dari kampung mereka melihat lautan manusia yang sudah memenuhi ruang tersebut. Dataran itu bergema dengan sorakan rakyat Empayar Wigazia yang tidak sabar menanti ketibaan pemerintah yang mereka sanjungi.
Sorakan semakin gemuruh apabila pengumuman dibuat tentang ketibaan Raja Travis, Ratu Rusalka, dan tentu sekali watak utama majlis tersebut, Putera Mahkota Caesis. Raja Travis dan Ratu Rusalka menaiki pedati yang indah dan megah di hadapan, manakala pedati kedua di belakang dinaiki oleh Putera Caesis. Kedua-dua pedati tersebut dihiasi dengan penuh kemewahan, diiringi tentera istana di setiap sisi.
Sepanjang barisan perarakan itu, pengawal istana dikerahkan dalam jumlah yang besar, memantau keselamatan. Kebanyakan yang hadir untuk meraikan majlis itu adalah Homo Altus, golongan yang setia kepada tiga kerabat diraja di atas sana. Dengan semangat yang tinggi, mereka melaungkan "Daulat Tuanku!" berkali-kali, memeriahkan suasana. Namun, di mata Homo Sacer, Homo Altus hanyalah anjing-anjing yang dipergunakan untuk mencapai kemewahan dan kekuasaan yang mereka idamkan.
Rayna memerhati dari jauh, hatinya tidak sepenuhnya bersama mereka yang bersorak gembira. Baginya, majlis ini lebih dari sekadar perayaan, ada makna yang lebih mendalam dan persoalan yang membelenggu dirinya tentang kuasa dan kesetiaan dalam dunia yang penuh dengan kepura-puraan ini.
Wigazia terdiri daripada dua golongan Homo terbesar, iaitu Homo Altus dan Homo Sacer. Homo Altus merujuk kepada golongan bangsawan, aristokrat, serta keluarga-keluarga yang mempunyai pertalian dengan raja. Mereka merupakan golongan yang paling berkuasa selepas keluarga diraja. Namun, kuasa yang mereka miliki disertai dengan sifat tamak yang melampau. Apa sahaja sanggup dilakukan demi mendapatkan apa yang mereka inginkan, walaupun terpaksa merendahkan martabat diri dengan menjilat kasut raja.
Dalam kalangan Homo Altus, terdapat juga ahli tabib diraja yang asalnya merupakan Homo Sacer. Golongan ini berpeluang untuk meningkatkan status mereka sekiranya mereka lulus dan berkelayakan untuk menjadi ahli tabib diraja. Hal ini menyebabkan ramai anak muda di Wigazia bercita-cita untuk mencapai kedudukan tersebut. Ahli tabib diraja dianggap sebagai pakar terbaik dalam bidang perubatan dan kesihatan, sentiasa menjalankan kajian untuk mencari penawar kepada pelbagai jenis penyakit.
Namun, pekerjaan ini bukanlah mudah. Ujian kemasukan yang diadakan setiap tahun begitu sukar sehingga hanya segelintir sahaja yang mampu lulus. Kekuatan utama Wigazia terletak pada sektor perubatan mereka, memandangkan ekonomi negara ini bergantung kepada hasil eksport produk perubatan ke negara jiran. Walaupun sektor ini menjadi kebanggaan negara, ia juga menjadi satu kelemahan. Demi mengejar keuntungan, kerajaan Wigazia telah mengharamkan rakyat biasa daripada memberikan perkhidmatan perubatan atau menjual sebarang ubat.
Larangan tersebut telah termaktub dalam undang-undang Wigazia dan sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dijatuhkan hukuman mati. Rakyat Wigazia sebenarnya sudah maklum bahawa undang-undang ini hanyalah taktik kerajaan untuk memonopoli sektor perubatan. Mereka dipaksa untuk bekerja di bawah kerajaan dan secara tidak langsung, menjadi hak milik kerajaan sepenuhnya. Inilah kebenaran yang terselindung di sebalik sistem kekuasaan Wigazia—sebuah kerajaan yang menjadikan rakyatnya sebagai alat demi mengekalkan kekayaan dan pengaruh mereka.
![](https://img.wattpad.com/cover/145463326-288-k203442.jpg)
YOU ARE READING
RAYNA
FantasíaRayna, gadis berusia 16 tahun, hidup bersendirian di sebuah perkampungan kecil jauh dari kota. Berbekalkan ilmu perubatan berasaskan herba yang diturunkan oleh neneknya, dia menyara hidupnya dengan memberi rawatan kepada orang kampung. Selepas kampu...