BAB 6

1.2K 25 1
                                    

MELOPONG Kaisara tika memandang banglo di hadapannya. Dari celahan pintu pagar, sepet sahaja mata Kaisara melihat beberapa buah kereta mewah tersusun di situ.

Dia mendengus kasar sambil menyumpah. Dah ada kereta banyak tapi kenapa masih suruh aku datang sini? Pergi ajelah sendiri. Siapa lagi nak pandu kereta-kereta tu semua kalau bukan Nidham? Hesy!

Kaisara mengeluarkan telefon bimbit. Nombor Nidham didail namun tidak diangkat. Ke mana pula dia pergi ni?

"Ye cik, cari siapa?"

Teguran seorang lelaki mengejutkan Kaisara. Terbantut niatnya untuk menelefon Nidham untuk kali yang kedua.

"Encik siapa ye?"

"Saya guard dekat rumah ni. Cik cari siapa?"

"Saya cari Nidham. Dia suruh saya datang sini sebenarnya."

"Oh, Tuan Nidham. Kejap, saya panggil dia."

Tuan? Ceh! Kaisara mencebik walaupun di dalam hati dia kagum sebenarnya. Sampaikan Nidham dipanggil tuan.

Nampaknya lelaki ini memang bukan calang-calang. Dia memerhati seorang lagi manusia yang berada tidak jauh dari situ. Melihat apa yang dilakukan lelaki itu, pasti lelaki itu tukang kebun.

Kalaulah Nidham melayannya dengan elok, memang dia akan teruskan rancangan dengan memikat lelaki itu tapi disebabkan perangai Nidham begitu, serta-merta rancangan dibubar. Handsome saja tak guna kalau perangai entah apa-apa. Dasar si putar belit. Suka mengenakan orang. Geram betul.

Tak lama selepas itu, pintu pagar terbuka luas. Kaisara berkira-kira kembali ke kereta, untuk masukkan kereta ke dalam namun dihalang.

"Cik, tuan cakap tunggu kat situ aje. Tak payah masuk."

Kaisara menjulingkan matanya ke atas. Kalau tak kasi dia pun tak hingin nak masuk! Ingat aku hadap sangat nak masuk dalam rumah dia kut.

Nidham muncul sambil fokus untuk mengikat tali lehernya. Kaisara hanya memerhati. Bangun lambat ke lelaki ni sampai nak siap pun tak sempat? Kalut semacam aje.

"Nah, pegang ni!"

Drawing storage tube dihulurkan kepada Kaisara. Dengan perasaan membuku, Kaisara mengambil, kedua belah pipi dikembungkan dengan kening yang sudah berkerut.

"Tercegat apa lagi kat sini? Jomlah." Nidham terus melangkah ke kereta yang berada tidak jauh di hadapan mereka. Kali ini Nidham duduk di bahagian penumpang di hadapan. Ternyata itu menghairankan Kaisara kerana sebelum ini lelaki itu duduk di belakang.

"Nak pergi mana ni?" soal Kaisara dingin sebaik saja masuk ke dalam kereta. Pandang wajah Nidham pun tidak. Benda yang diberi Nidham tadi diletak kasar di belakang.

Dia tidak mahu kalah dengan hati. Jika turutkan hati, memang berkilo-kilo dia akan puji Nidham dengan pakaian kemeja putih, seluar juga berona sama.

Kaisara menggigit bibir. Jangan, jangan puji!

"Nak cakap pandang muka saya."

Kepala berpaling memandang Nidham. Lelaki itu sedang merenungnya. Tajam.

Nafas ditarik dalam. Kaisara cuba sabar. "Kita nak pergi mana lepas ni? Terus ke office?"

"No. Makan. Saya tak sarapan lagi. Lapar ni."

Kaisara ketap gigi. Rumah sebesar itu, mustahil tiada pembantu rumah sediakan sarapan. Nidham ni memang sengaja hendak membulinya.

"Tadi tak sarapan kat rumah siap-siap ke?"

HEARTLESSWhere stories live. Discover now