DIA menghempaskan tubuhnya di atas katil, letih setelah seharian bekerja. Cermin matanya dilepas, mengurut batang hidungnya. Setelah bermalas-malasan lebih kurang 10 minit, Azalea akhirnya menolak bangkit tubuhnya. Tudung labuh yang menutupi mahkotanya dilepas.
“Lea?” Pintu biliknya diketuk.
“Ya ibu? Masuklah, pintu tak kunci.” Pelawanya sopan. Azalea tersenyum manis tatkala melihat wajah sang ibu yang tercinta. Wanita itu melabuhkan duduknya di atas katil milik Azalea.
“Banyak patients hari ni?”
Azalea sekadar mengangguk sambil menanggalkan kot putihnya. Dia kemudian duduk di sebelah Puan Khadijah, meletakkan kepalanya di atas pangkuan ibunya. Serta-merta tangan tua itu mengusap sayang kepalanya.
“Kesian anak ibu ni. Esok Lea cuti kan? Bolehlah rehat dekat rumah. Ibu tengok minggu ni Lea kerja full shift, pagi, petang, malam. Apa dekat hospital tu dah takde doktor ke?” Bebel Puan Khadijah sedikit panjang. Dia faham, kerja sebagai doktor memang sibuk, tapi takkan tak ada masa untuk rehat? Hampir 24 jam Azalea berada di hospital. Keluar pagi, balik malam.
Azalea tergelak kecil.
“Minggu ni je ibu, minggu depan Lea bertugas ikut jadual biasa. Iman minta tolong gantikan dia minggu ni, mak dia tak sihat dekat kampung.” Senyum manis terukir. Tak ada salahnya pun dia tolong. Penat memang penat, tapi bukan selalu sahabatnya itu meminta tolong. Lagi pula, kalau dia di tempat Iman, Azalea pasti gadis itu juga tidak keberatan untuk membantunya.
“Hmm yalah. Dah, Lea pergilah mandi dulu, solat apa semua. Lepas tu turun, kita makan sama-sama.” Puan Khadijah mengarah. Sempat diberi kucupan sayang pada dahi anak gadisnya itu.
“Okey ibu,” Sekali lagi, Azalea menolak tubuhnya bangun sambil tersenyum ceria. Setelah sosok tubuh ibunya yang sudah keluar, nafas panjang segera terhela dari bibirnya. Dia membawa dirinya berdiri di balkoni biliknya, memandang pekatnya malam yang dihiasi gugusan bintang. Wajahnya datar tanpa senyuman.
Ada sebab kenapa Azalea sentiasa cuba menyibukkan dirinya, mengerah tubuhnya untuk bekerja lebih masa. Semuanya kerana dia enggan mendengar suara riuh di dalam kepalanya, sengaja melarikan diri dari kenyataan.
Matanya dipejam rapat. Dia lelah.
Luaran dan dalaman.
Azalea mengatur langkah masuk ke dalam biliknya seraya mengambil tuala yang disidai rapi. Lebih kurang satu jam membersihkan diri, dia akhirnya keluar dari kamar mandi. Usai mengeringkan rambut, dia segera menyarungkan telekung, mengerjakan solat isyak.
Salam diberi kanan dan kiri sebelum mengusap lembut wajahnya. Azalea seketika berzikir, menenangkan isi kepalanya yang riuh. Tangannya diangkat, membaca doa, memohon keampunan dariNya.
“Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim, tuhan segala alam, Engkau yang mencipkan langit dan bumi, Engkau yamg berkuasa untuk tiap-tiap hal di muka bumi ini, ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, dosa-dosa kedua orang tuaku, juga dosa seluruh umat Islam. Dosa kami besar, namun keampunanMu jauh lebih besar ya Allah. Haramkanlah api neraka dari menyentuh tubuh kedua orang tuaku, masukkanlah mereka ke dalam syurgaMu.
YOU ARE READING
Together Once More
RomanceAntara azan yang berkumandang dan loceng yang berdentang. In shadows deep where secrets lie, Two hearts entwined yet bound to sigh, Lost in love's bittersweet embrace, Silent battles mark their place, A hidden thorn that only they know. Also known a...