Bab 4

276 12 6
                                    

SUASANA di dalam kelam kelab malam begitu bingit dengan muzik yang berkumandang ditambah dengan kelam asap rokok. Bagi Faiz Hafiz dan Farrah noda dunia semuanya sungguh menyeronokkan. Ini bukan kali pertama mereka berdua menjejakkan kaki mereka ke lembah hitam ini. Jiwa mereka bagaikan sudah sebati dengan warna-warni kepalsuan sebuah kebahagiaan. Mereka berdua menari berpelukan antara satu sama lain. Sesekali tangan gatal Faiz Hafiz meraba-raba kekasihnya yang juga merupakan seorang model sambilan itu. Farrah hanya membiarkannya malah dia berasa seronok diperlakukan sebegitu.

“Faiz, I penatlah, jom balik.” Farrah merengek manja. Dalam kebingitan muzik yang berkumandang Farrah sedikit menjerit ke telinga kekasihnya itu.

“Ala… awal lagi, kalau you penat mari I temankan you minum.” Kata Faiz Hafiz. Keseronokkan dunia masih lagi menguasai jiwanya.

“Jomlah… I dah penat sangat, lagipun I pening...” Farrah menarik muka masam, wajahnya kelihatan seperti dalam keadaan tidak bermaya.

“Yelah-yelah… jom kita balik!” bentak Faiz Hafiz, wajahnya mencuka.

Dengan kasar Faiz Hafiz menarik lengan Farrah meninggalkan medan tarian dan terus berjalan menuju ke sebuah meja. Usai sahaja Farrah mengambil tas tangannya, Faiz Hafiz terus mendahului langkah keluar dari kelab malam yang bingit dan dipenuhi dengan lautan manusia itu.

“You buat I panas, kalau tahu kena balik awal, I  tak akan ajak you keluar malam ni!” rungut Faiz Hafiz, panas barannya terserlah.

Farrah yang hanya memakai skirt pendek dan berbaju yang mendedahkan sedikit di bahagian dada bidangnya itu, diam membisu. Langkahnya longlai sesekali kakinya tersadung antara satu sama lain. Mulutnya kuat berbau arak apabila dia tersendawa.

Kedua-dua mereka berjalan kaki menuju ke kawasan parkir kereta yang tidak jauh dari kelab malam. Sesekali terdengar rungutan kecil dari Faiz Hafiz yang berjalan lebih kehadapan daripada Farrah.

Suasana di kawasan parkir kereta begitu sunyi dan waktu ketika ini sudah pun menjengah pukul 12.35 tengah malam. Farrah dan Faiz Hafiz sudahpun berada di dalam kereta. Sementara menunggu enjin kereta mereka panas, Farrah mengambil kesempatan untuk melelapkan matanya. Faiz Hafiz mendengus kerana rancangannya untuk bersuka-ria malam ini terbantut.
Faiz Hafiz memandang Farrah yang sedang lena disebelahnya. Mata nakalnya bagaikan menjamah seluruh tubuh mungil Farrah. Nafsu kelakiannya memuncak, peha Farrah yang terdedah kerana skirt pendek yang dipakainya, diramas oleh Faiz Hafiz. Kemudian dia cuba mencium leher Farrah. Farrah yang terkejut dan sepontan menolak Faiz Hafiz dari terus bertindak liar. Dia tidak gemar diperlakukan dengan tanpa kemahuannya.

“Apa ni Faiz? I tak sukalah! I penat tau tak?!” Farrah mencerlung Faiz Hafiz dengan pandangan yang tajam. Dia benar-benar marah.

“Eh… I kan boy friend you, kenapa malam ni I tak boleh jamah tubuh you?” Faiz Hafiz berang.

“I  kata tak nak… tak naklah!” Farrah menolak Faiz Hafiz dengan kasar hingga kepala Faiz Hafiz berlanggar dengan tingkap cermin keretanya.

“Kurang ajar!”

Faiz Hafiz menampar pipi Farrah dengan sekuat-kuat hatinya sehingga kepala Farrah terteleng ke sebelah kiri. Darah mengalir dari bibir Farrah, akibat daripada penangan Faiz Hafiz sebentar tadi. Mungkin Farrah tergigit lidahnya. Farrah menangis teresak-esak, dia langsung tidak menduga malam ini adalah malam petaka buatnya.

“Hantar aku balik! Aku benci kau Faiz!”

Farrah cuba melawan.

“Kau nak ke mana? Mak bapak kau ada di kampunglah, apa kata malam ini kita bermalam di hotel.” Faiz Hafiz ketawa, memperlekehkan Farrah.

“Aku nak balik rumah sewa aku, aku benci kau binatang!”

Faiz Hafiz berang dengan kata-kata Farrah, sekali lagi dia menampar pipi Farrah dengan kuat. Kali ini Farrah tidak mampu menahan kesakitan yang dialaminya. Farrah jatuh pengsan. Kepalanya terkulai. Faiz Hafiz tersenyum, senyuman yang berbau dengan nafsu serakah. Syaitan mula mempengaruhi minda dan hatinya. Arus nafas yang berbau arak, meningkatkan nafsu syahwatnya kejantanannya. Tubuh Farrah yang longlai itu dirangkulnya. Tetapi belumpun sempat dia bertindak lebih jauh, Faiz Hafiz terkejut apabila tingkap kereta disebelah pemandu dipecahkan dari luar.

“Apa ni?”

Satu tangan manusia bersarung tangan kulit hitam datang menarik Faiz Hafiz keluar dari keretanya melalui tingkap yang sudah pecah berderai itu. Kekuatan lelaki yang menarik Faiz Hafiz cukup luar biasa. Faiz Hafiz meronta-ronta dalam kepayahan. Kemudian satu tumbukan sulung singgah ke muka Faiz Hafiz. Faiz Hafiz terjatuh, darah mula mengalir dari hidungnya.  Faiz Hafiz masih terasa pening akibat dari tumbukan yang kuat itu. Berbinar-binar pandangan mata mencari penyerangnya. Dalam kekaburan pandangannya dia melihat susuk tubuh penyerang itu berdiri tegap di hadapannya. Faiz Hafiz bangun dengan perlahan-lahan seraya mengesat darah yang mengalir dari hidungnya.

“Biadap, siapa kau?!”

Faiz Hafiz menderam, kemarahannya sudah sampai kemuncak. Dia tidak gentar walaupun lelaki yang menyerangnya itu lebih tinggi dan berbadan tegap daripadanya. Lelaki itu kemas memakai jubah hitam labuh. Lelaki yang berpakaian serba hitam itu tidak berkata apa-apa pun. Malah wajahnya juga tidak kelihatan. Lelaki misteri itu memakai topeng seperti topeng tengkorak. Faiz Hafiz sudah tidak dapat menahan gelojak amarahnya. Dia bagaikan tercabar dengan sikap diam membisu dari penyerangnya itu, lantas dia menyerang lelaki bertopeng tengkorak itu dengan satu tumbukan yang disasarkan terus ke muka.
Tumbukan Faiz Hafiz dielak dengan mudah. Hanya angin sahaja yang menjadi sasarannya. Faiz Hafiz melepaskan satu lagi tumbukan, dan kali ini tumbukan melebar sauk kiri dilepaskan. Lelaki misteri itu membalas tumbukan Faiz Hafiz dengan tumbukan juga. Maka bertembunglah tumbukan Faiz Hafiz dan lelaki yang menyerangnya itu. Kedengaran seperti bunyi tulang yang meretak selepas pertembungan itu berlaku. Faiz Hafiz berteriak kesakitan. Tangannya dirasakan seperti berlaga dengan dinding batu konkrit!

Lelaki misteri itu melepaskan lagi satu tinju yang kuat ke sebelah kanan kepala Faiz Hafiz. Faiz Hafiz berguling di atas tanah. Darah mula mengalir dari telinganya akibat dari penangan yang berisi itu. Bingung dirasakannya. Lelaki misteri itu berjalan perlahan-lahan mendapatkan Faiz Hafiz yang masih mengerang kesakitan. Rambut Faiz Hafiz dicengkamnya dengan kuat dan ditarik ke atas. Faiz Hafiz berdiri perlahan-lahan. Wajahnya berkerut seribu kesakitan.

Kemudian lelaki misteri itu mencengkam kolar baju Faiz Hafiz dengan kedua-dua belah tangannya. Tubuh Faiz Hafiz yang sedikit gempal dan berisi itu kelihatan ringan sahaja diperlakukan oleh lelaki misteri itu. Faiz Hafiz cuba meronta dengan melepaskan tumbukan dan tendangan bertali arus. Tetapi tindakannya itu kelihatan sia-sia sahaja. Lelaki yang bertubuh tegap dan kekar itu seperti tidak merasakan sebarang kesakitan pun. Kini tubuh Faiz Hafiz diangkat separas dengan wajah lelaki misteri itu. Ketinggian lelaki yang berjubah hitam itu berketinggian hampir enam kaki.

“Siapa kau? Kenapa serang aku?!” suara Faiz Hafiz kedengaran seperti sesak nafas. Dia sudah ketiadaan cara untuk melepaskan dirinya.

Lelaki itu merapatkan wajah Faiz Hafiz dengan wajahnya yang bertopeng itu. Topeng tengkorak yang menyeringai seolah tersenyum ke arahnya. Hanya bahagian mata sahaja yang kelihatan. Mata yang bersinar merenung tajam ke mata Faiz Hafiz. Tangan lelaki misteri itu masih kejap mencengkam kolar baju Faiz Hafiz. Faiz Hafiz mula terasa getarannya. Entah siapa atau apakah yang sedang berhadapannya ketika ini. Segala apa yang telah dia lakukan semuanya menemui jalan buntu.

“Kau akan tahu siapa aku, selepas aku hantar  kau ke neraka…” lelaki itu tenang bersuara dengan suara garau dan kasar sehingga terasa bergetar di dalam dada.

“Siapa kau? Aku… aku boleh beri apa sahaja yang kau mahukan… tolonglah lepaskan aku!” Faiz Hafiz akhirnya merayu seperti lelaki bacul.

Tetapi lelaki misteri itu masih diam tetapi anak matanya tajam merenung wajah Faiz Hafiz. Seperti ada sambaran api yang sedang menyala-nyala di dalamnya.

“Tolong! Tolong! Tolong aku!”

Faiz Hafiz memekik meminta pertolongan. Dia sudah tidak mampu melakukan apa-apa melainkan meminta pertolongan. Lelaki misteri itu kemudiannya mencekik leher Faiz Hafiz dengan satu cengkaman yang kuat sehingga suara Faiz Hafiz tidak lagi kedengaran. Sempit dan sendat di saluran kerongkongnya. Hanya bunyi nafas Faiz Hafiz yang tersekat-sekat di rengkungan bersama dadanya yang berombak dengan debaran yang tidak terhingga.

Farrah yang pengsan akibat dari penangan Faiz Hafiz mulai tersedar. Dia menyentuh pipinya yang terasa kebas dan berdenyut-denyut. Farrah terkejut apabila melihat deraian kaca dari tingkap kereta yang telah dipecahkan. Matanya melilau ke setiap arah mencari Faiz Hafiz. Dan apabila matanya tertangkap kelibat Faiz Hafiz, Farrah terkejut melihat Faiz Hafiz meronta-ronta di dalam cengkaman seorang lelaki berjubah hitam.

“Faiz!” Farrah menjerit, wajahnya mula beriak ketakutan.

Faiz Hafiz tidak mampu menoleh kerana lehernya digenggam dengan kuat. Lelaki misteri itu menoleh ke arah Farrah yang masih berada di dalam kereta.

TOPENG BERDARAHWhere stories live. Discover now