DR. Razli diam terpaku di hadapan mayat yang berselimut putih di atas pengusung, di bilik mayat. Wajah lelaki itu sayu memandang sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa, entah kenapa hatinya mula sebak.
Dr. Razli menyelak kain putih yang menyelimuti tubuh kaku itu hingga terdedah ke bahagian leher. Sekali lagi dia mengeluh tatkala melihat satu goresan yang memanjang mengakibatkan saluran kerongkong mayat yang kaku itu terbuka meluas. Dalam erti kata lain, mangsa disembelih hidup-hidup.
“Farrah…” gumam Dr. Razli sendirian.
Kemudian dia meminta petugas di bilik mayat membuka peti mayat kekasih Farrah dari bilik beku. Dia mahu melihat wajah lelaki yang dipilih untuk menjadi teman lelaki perempuan itu. Petugas itu menarik salah satu kotak dari peti beku itu dengan perlahan-lahan. Terlihat selimut putih menyelimuti satu tubuh lelaki yang sudah kaku. Dr. Razli melihat tag kertas di kaki mayat terbabit sebelum dia menyelak kain putih yang menyelimuti wajah mayat itu.
Terlihat wajah kekasih Farrah, Hafiz Faiz, dengan mata yang terbuntang keras bersama mulutnya yang ternganga, kelihatan juga lidah lelaki malang itu terjulur keluar. Dr. Razli sekadar mendengus kecil bagaikan meluahkan rasa tidak puas hati yang terpendam.
“Kenapa mayat ni tak ditutupkan mata dan mulutnya?” soal Dr. Razli kepada petugas bilik mayat tersebut.
“Kami dah cuba menutup mata dan mulutnya tetapi tak berjaya. Keras sangat.” Jelas petugas tersebut.
“Hm… mungkin sarafnya kejang,” teka Dr. Razli seraya melihat jam di tangannya sebelum kembali memandang ke arah mangsa.
Dr. Razli melihat-lihat leher mangsa, ada kesan lebam seperti dipulas dengan kuat. Bukan tenaga manusia biasa kalau dapat memulas leher mangsa yang bertubuh gempal dengan begitu sahaja. Kekuatan pembunuh itu amat luar biasa.
“Sudah dimaklumkan kepada keluarga mangsa?” tanya Dr. Razli lagi.
“Sudah, katanya petang nanti keluarga mangsa akan datang tuntut jenazah,” jawab petugas bilik mayat tersebut dengan bersahaja.
Dr. Razli mengeluh, dia sendiri tidak dapat meneka kenapa pasangan kekasih ini mati dengan kejam. Usai melihat dan meneliti, mayat Faiz Hafiz dikembalikan ke dalam peti beku mayat semula. Dr. Razli kembali ke mayat Farrah, dia memandang wajah kaku itu lama-lama.
Dr. Razli menutup kembali menutup wajah kaku Farrah dengan selimut putih milik hospital. Dia mengarahkan pekerja di bilik mayat agar menyimpan mayat Farrah kembali ke dalam peti beku mayat semula.
Dengan satu keluhan yang memberat di dada, Dr. Razli menghayun kakinya meninggalkan bilik mayat dengan wajah yang sugul. Dia langsung tidak tersenyum atau bertegur sapa dengan mana-mana jururawat dan doktor yang berselisih dengannya. Mindanya kini terbejat dengan pelbagai kenangan yang menjelma ketika bersama dengan mangsa pembunuhan kejam itu, Farrah.
“Eh... itu doktor Razli, kenapa dengan dia?” Dr. Jane mencuit bahu Dr. Guiza yang sedang asyik melihat-lihat telefon bimbitnya.
“Entah, muka dia macam ada masalah saja,” duga Dr. Guiza.
Kedua-dua doktor ini sedang berjalan seiringan di satu laluan yang berbeza dengan Dr. Razli.
“Kalau I pergi tanya dia amacam?” tanya Dr. Jane pada Dr. Guiza.
“Pergilah, kalau you berani, ha ha ha… takut nanti kena marah, I tak tahu. I nampak mood Dr. Razli tak berapa okey tu.”
Dr. Guiza tersenyum-senyum kepada Dr. Jane. Doktor kacak itu cuba menakut-nakutkan rakan sejawatnya.
“Hish, macamlah Dr. Razli tu makan orang.” Tingkah Dr. Jane seraya tersenyum simpul.
“You pergilah jumpa dengan dia, I lepas ni nak kena naik wad, jumpa patient. Oh ya nanti I mungkin tak keluar lunch tau, nak diet.” Ujar Dr. Guiza ringkas sambil tersenyum.
“Ha ha ha… dietlah konon, luculah you ni. Okey, see you after lunch ya...” tergelak kecil Dr. Jane dengar kata-kata Dr. Guiza dan selajur itu juga dia meninggalkan doktor tampan itu menuju ke bilik Dr. Razli.
Dr. Guiza sekadar menghantar Dr. Jane ke kamar Dr. Razli dengan ekor matanya sahaja. Sesekali mata nakalnya bagaikan menjelajah seluruh tubuh Dr. Jane dari atas hingga ke bawah. menggeleng-geleng Dr. Guiza seraya tersenyum simpul. Tubuh doktor muda itu cukup membuatkan jantung mana-mana lelaki akan bergetaran, termasuk Dr. Guiza sendiri.
Sudah hampir empat tahun lebih dia bertugas bersama dengan Dr. Jane dan selama itu jugalah kecantikan Dr. Jane seperti tidak pernah terusik oleh mana-mana lelaki. Doktor muda itu masih bujang dan belum berkahwin. Kemudian dia kembali berkalih pandang ke tempat lain seraya tersenyum dan menggeleng-geleng sendirian. Keasyikan melihat liuk lengguk pinggul Dr. Jane mengkhayalkannya buat seketika.
PINTU kamar Dr. Razli diketuk berkali-kali dari luar. Ketukan itu membuatkan Dr. Razli lekas-lekas mengesat air matanya yang bergenang di kolam matanya dengan tisu yang sudah tersedia di atas mejanya. Lama juga dia berkeadaan begitu, setelah semuanya berada di dalam keadaan seperti biasa, barulah Dr. Razli mengalu pelawat itu masuk ke kamarnya.
“Hai, boleh I masuk?” terjongol di sebalik pintu wajah Dr. Jane dengan tersengih-sengih setelah mendengar suara Dr. Razli agar membuka pintu kamarnya.
“Oh, er… masuklah.” Alu Dr. Razli sekali lagi seraya tersenyum.
“Are you okay Razli?” soal Dr. Jane selepas dia melabuh punggungnya ke kerusi yang telah disediakan di hadapan Dr. Razli.
“Saya okey, kenapa Dr. Jane tanya?” tanya Dr. Razli kembali kepada Dr. Jane.
“Tadi I tengok you pergi begitu saja tinggalkan I dan Dr. Guiza di kantin. Dan sekarang I tengok you macam ada problem saja. If you need my help, just ask ya… kitakan kawan.” Dr. Jane menawarkan bantuannya. Seperti satu bantuan yang bersifat peribadi.
“Saya tak mahu menyusahkan Dr. Jane, lagipun ini bukan masalah kerja, tapi lebih kepada masalah peribadi saya.” Jujur Dr. Razli mengaku.
“Its all about a girl name... Farrah, is it?” terjah Dr. Jane.
Mata Dr. Razli membulat seraya memandang wajah manis Dr. Jane dalam-dalam, lama-lama.
“Mana Dr. Jane tahu?”
“Dr. Guiza ada beritahu I tadi. That girl yang kena bunuh itu, kan? I ada juga terbaca di akhbar sebentar tadi, itu pun Dr. Guiza juga yang ceritakan. Maaflah kalau soalan I terlalu straight forward.” Jujur Dr. Jane sambil memaniskan roman wajahnya.
Dr. Razli menghempaskan keluhan yang panjang seraya memandang ke luar jendela yang tertutup rapat. Dr. Jane sekadar diam dan menunggu kata bicara dari Dr. Razli.
“Dia pernah menjadi kekasih saya dahulu.” Getus Dr. Razli ringkas.
Riak wajah Dr. Jane seperti ada satu jaluran seperti terkejut, tetapi lekas-lekas dia sembunyikan reaksi tersebut.
“And you still love her?” Dr. Jane bertanya dengan bersahaja.
“Dulu. Tapi sisa-sisa cinta masih ada, erm… biarlah, dia yang pilih jalan hidup dia. Saya juga amat terkejut apabila dapat tahu dia dibunuh dengan kejam.” Terang Dr. Razli serba ringkas.
“Sudahlah, benda yang lepas biarkan lepas, kita yang masih hidup ni perlu teruskan hidup, ya Razli?”
Dr. Jane memanggil Dr. Razli dengan panggilan nama dan tidak memanggil dengan panggilan doktor seperti kebiasaannya. Secara tiba-tiba Dr. Jane dengan bersahaja menyentuh tangan Dr. Razli lembut, semuanya membuatkan Dr. Razli terpegun seketika.
“Oh… er, ya… betul kata you.” Ucap Dr. Razli tersekat-sekat.
Wajah Dr. Jane dipandang dengan serba salah dan tangannya juga bagaikan kaku untuk bergerak apabila dipegang erat oleh Dr. Jane.
YOU ARE READING
TOPENG BERDARAH
Mystery / ThrillerSEJARAH hidupnya cukup tragis. Dia melihat dengan sendirinya di hadapan mata, bagaimana bapa kesayangannya mati dibunuh. Ibunya berzina dengan lelaki lain, kasih dan sayangnya terabai. Sejak itu dia mulai kenal apa itu erti kecurangan. Dendam mula m...