BAB 10

138 6 0
                                    

Kuala Lumpur
DR. RAZLI duduk diam di dalam keretanya. Dia ketika ini sedang memanaskan enjin, sambil mendengar radio keretanya yang berkumandang memainkan lagu-lagu rancak. Dia yang baharu sahaja menamatkan tugas-tugasnya dan kini dia bersedia untuk memandu pulang. Pukul 8 malam nanti dia akan datang kembali ke Hospital Kuala Lumpur untuk bertugas.

Kebiasaannya Dr. Razli akan memanaskan enjin keretanya dalam enam minit hingga lapan minit lamanya. Dalam ketika dia menanti enjin keretanya betul-betul sudah bersedia, Dr. Razli sempat membelek-belek telefon bimbitnya. Dia melihat-lihat gambar-gambar di dalam simpanan telefon bimbitnya. Wajah Farrah tersenyum bersebelahan dengan dirinya membuatkan Dr. Razli mengeluh kecil.

Dia teringat sewaktu kali pertama Farrah bekerja di Kuala Lumpur, sering kali juga mantan kekasihnya itu mengajaknya keluar. Kerana Dr. Razli pada waktu itu juga berada di ibu kota.

“Abang ada di mana sekarang? Farrah nak ajak abang keluar. Farrah bosanlah asyik memerap di dalam rumah sahaja.” Ujar Farrah di dalam talian.

“Abang penatlah, nanti hujung minggu kita keluar ya…” balas Dr. Razli.

“Kat kampung pun abang tak pernah ada masa, di KL pun macam tu jugak ke?” dengus Farrah merungut. Kali ini kedengaran menekan.

“Farrah ajaklah kawan-kawan serumah sewa dengan Farrah keluar. Abang betul-betul tak larat… maaf ya sayang…” bujuk Dr. Razli lemah.

“Huh! Selalu macam tu! Kalau macam inilah lebih baik tak payah ada kekasih. Semuanya buat sakit hati sahaja!” bentak Farrah dan terus mematikan talian.

Kelu Dr. Razli mendengar kata-kata Farrah terhadapnya. Bukan dia tidak punya masa untuk bersama. Cuma dia terlalu penat dan tidak berdaya. Pada ketika itu dia yang baharu sahaja memulakan praktikal di Darul Ehsan Medical Centre terlalu padat dengan jadual kerja, sekaligus memaksanya untuk menolak pelawaan buah hatinya itu.

Dr. Razli melepaskan segumpal keluhan kasar. Sesekali dia mengusap wajah cantik itu perlahan-lahan, walhal dia hanya mengusap skrin telefon bimbitnya sahaja. Dalam pada dia sedang asyik merenung wajah mantan kekasihnya itu, Dr. Razli tersentak apabila cermin di sebelahnya diketuk bertalu-talu dengan kuat.

“Hai…” sapa Dr. Jane dari luar kereta Dr. Razli.

“Kus semangat… terkejut saya,” ucap Dr. Razli seraya menurunkan cermin keretanya.

“Er… Dr. Jane, kenapa?” tanya Dr. Razli mesra dari dalam keretanya.

“Razli boleh hantar I balik rumah tak? Kereta I meragamlah…”

Ujar Dr. Jane yang tertunduk-tunduk dengan wajah yang lembut dan menggoda. Dia sengaja memperlihatkan muka sedihnya ketika bercakap dengan Dr. Razli.

“Er, apa salahnya. Marilah naik nanti saya hantarkan.” Pelawa Dr. Razli mesra.

“Wah seronoknya, terima kasih Raz…”

Dr. Jane terus berlari-lari anak ke sebelah pemandu seraya membuka pintu kereta dan melabuhkan punggung lebarnya bersebelahan dengan Dr. Razli. Wajahnya girang sekali.

“Er… rumah Dr. Jane di mana?” soal Dr. Razli perlahan.

“You… boleh tak jangan panggil Dr. Jane dengan I... just call me Jane aje, okey handsome...?” ucap Dr. Jane dengan wajah yang menggoda.

“Er… baiklah, urmm… kat mana rumah Jane?” soal Dr. Razli sekali lagi kali ini dia mengubah panggilan seperti yang disarankan oleh Dr. Jane kepadanya.

“Kat Pantai Hillpark…” jawab Dr. Jane ringkas.

“Oh, dekat aje…” balas Dr. Razli walaupun sebenarnya agak jauh juga perjalanan pulang ke tempat yang dimaksudkan.

Dr. Jane girang sekali kerana rakan sekerjanya sanggup membantunya. Dr. Razli membalas senyuman dan selajur itu juga dia menggerakkan keretanya meninggalkan perkarangan hospital.

Ketika sedang melintasi pintu pagar, Dr. Jane terpandang rakan sejawatnya yang sedang berbicara dengan seseorang. Lekas-lekas dia melambai-lambai dan melontarkan senyuman. Dr. Razli juga tidak ketinggalan dengan mengangkat tangan kepada rakan sejawatnya itu.

“Dr. Jane dan Dr. Razli?” getus Dr. Guiza kehairanan.

Doktor segak itu memandang kereta Dr. Razli berlalu sehingga tidak kelihatan pada pandangan matanya lagi. Dia hairan kenapa Dr. Jane pulang bersama dengan Dr. Razli. Dr. Guiza kemudiannya dia kembali berborak dengan rakannya itu.

KERETA Dr. Razli diparkir di bahagian pelawat buat seketika. Ini kerana Dr. Jane berkeras mahu Dr. Razli menemani hingga rumahnya. Kondominium milik Dr. Jane kelihatan selesa apabila Dr. Razli menjejakkan kakinya ke dalam. Barang-barang perhiasan di dalamnya juga kelihatan menarik. Dr. Jane kelihatan gembira apabila ajakkannya untuk makan bersama-sama disambut dengan baik oleh Dr. Razli.

“Raz… you duduk sebentar tau, I nak bersiap-siap sekejap.” Getus Dr. Jane dan selajur itu dia terus masuk ke dalam kamarnya.

Dr. Razli hanya mengangguk kecil kemudian dia melabuh punggungnya di atas sofa sementara menanti ketibaan Dr. Jane. Agak lama matanya melilau melihat persekitaran kondominium Dr. Jane, secara tiba-tiba matanya terhenti pada satu album gambar yang berdekatan dengan almari perhiasan.

Dr. Razli bangun dan perlahan-lahan menuju ke arah yang menarik perhatiannya itu. Dia membuka album gambar Dr. Jane, satu per satu kepingan gambar dibeleknya. Kelihatan wajah-wajah gembira Dr. Jane di samping rakan-rakan sebayanya. Dr. Razli tersenyum melihat kecantikan wajah doktor muda itu. Tiada apa yang menarik perhatiannya, sehinggalah anak matanya tertancap pada satu gambar. Wajah Dr. Jane sedang gembira dirangkul oleh seorang lelaki yang segak penampilannya dan bertubuh tegap.

“Kekasih Dr. Jane?”

“Raz…”

Tersentak Dr. Razli apabila Dr. Jane sudah berada di belakangnya. Dr. Razli lekas-lekas menutup album gambar tersebut dan berpaling ke arah Dr. Jane. Dr. Razli melihat wajah ayu Dr. Jane yang tersenyum hambar padanya.

“You... dah tengok?” soal Dr. Jane selamba, kemudian dia mengambil album gambar itu dan serentak dengan itu juga dia melangkah longlai dan merebahkan punggungnya di atas sofa miliknya.

“Er… maafkan saya,” teragak-agak Dr. Razli berkata-kata. Dia rasa bersalah kerana melihat gambar kemesraan Dr. Jane dengan teman lelakinya tanpa kebenaran.

“Tak mengapa, ini gambar lama. Hubungan kami sudah berakhir, tapi kami masih berkawan sampai sekarang.” Ucap Dr. Jane dengan perlahan.

“Oh, er… maknanya lelaki itu bekas kekasih Jane?”

“Ya…” akui Dr. Jane lemah.
Dr. Razli terdiam, tiada apa yang mampu dia perkatakan. Dia melihat wajah Dr. Jane dia tahu doktor cantik itu sedang bersedih. Perlahan-lahan Dr. Razli melabuhkan duduknya bersebelahan dengan doktor berkulit putih itu.

“Are you okay Jane?” Dr. Razli menyentuh jari-jemari Dr. Jane dengan lembut.

“I still love him…” sayu kedengaran Dr. Jane meluahkan rasa pedih hatinya. Kemudian dia melabuhkan kepalanya di bahu Dr. Razli.

Kedengaran suara tangisan Dr. Jane teresak-esak di bahu Dr. Razli. Dr. Razli tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mengambil jalan dengan memujuk doktor muda itu agar tidak bersedih lagi. Kelihatan mereka berdua seperti pasangan kekasih sahaja.

“Raz… nanti I ceritakan semuanya pada you tentang I dan dia.” Ujar Dr. Jane dalam sedunya.

“Siapa namanya?”

“Shane,” jawab Dr. Jane sepatah. Wajah cantiknya kelihatan sedih.

“Sudahlah… mari kita pergi makan dahulu ya, nanti bila semua dah okey, baru Jane ceritakan kepada saya ya?” pujuk Dr. Razli lembut.

Dr. Jane bangkit dari bahu Dr. Razli kemudian dia tersenyum. Wajah cantik itu kelihatan comot dengan air mata merembes keluar dan hidungnya kemerah-merahan. Perlahan-lahan Dr. Razli mengesat air mata yang membasahi wajah Dr. Jane. Entah kenapa dia mula timbul satu perasaan sayang terhadap doktor muda itu. Hilang sudah ingatannya pada Farrah. Mungkin kesedihan terhadap kecurangan Farrah sudah mampu dilepaskannya pergi.

TOPENG BERDARAHWhere stories live. Discover now