Kuala Lumpur
SUASANA langit malam tika ini cukup menarik. Bulan purnama terang benderang menyimbahi cahaya kepada seluruh pelosok penghuni Kuala Lumpur. Namun suasana kelab malam di Bukit Bintang tidak perlu diperkatakan lagi, cukup hebat dengan pelakon-pelakon yang mencari kebebasan dunia. Watak-watak yang semuanya bertopeng, penuh kepalsuan demi mencari kepuasan duniawi yang sementara. Sehingga terlupa landasan ke akhirat yang bakal menjadi destinasi yang kekal untuk selama-lamanya.
Cahaya lampu yang bergemerlapan terus menerangi suasana kelab malam itu. Para pengunjung terus asyik menari dan mempersembahkan rasa ingin bebas mereka pada alunan muzik yang terus rancak berkumandang. Tidak jauh dari satu sudut, kelihatan sepasang kekasih sedang bermesra-mesraan dengan tanpa menghiraukan jika ada mata-mata yang memandang ke arah mereka. Agak lama mereka di situ kemudian si wanita muda yang cantik mulus itu ingin meninggalkan kekasihnya buat seketika.
“I nak ke toilet sebentar tau, you tunggu sampai I datang tau. Jangan nak menggatal dengan betina lain, nanti teruk I kerjakan you.”
Sally memberi amaran kepada teman lelakinya yang kurus melidi itu.
“You ni kuat betul cemburu, kitakan dah bertunang. I setia kat you seorang sajalah… janganlah you bimbang sangat.”
Ujar lelaki yang berjerawat di mukanya sambil tersenyum. Dia terpaksa meninggikan suaranya sedikit kerana bunyi bingit lagu yang berkumandang membuatkan suaranya sedikit tenggelam. Bersebelahan dengan pasangan itu kelihatan seorang yang berpakaian gelap sedang minum keseorangan tanpa berteman, walaupun ada beberapa pelayan wanita ingin melayannya dia menolak dengan mentah-mentah. Semuanya tidak diendahkannya. Dia seperti lebih senang bersendirian bersama dengan segelas besar air berwarna kuning dan berbuih-buih. Lelaki itu sekadar melihat sahaja pasangan yang bercinta itu bermesra-mesraan. Sesekali dia mengalih pula pandangannya ke arah pengunjung-pengunjung yang asyik menari di medan tarian. Mereka semua bagai terlupa dengan keseronokan dunia.
Lelaki yang memakai topi hitam itu kembali melihat kekasih Sally, yang sedang membelek-belek telefon bimbitnya tanpa menghiraukan suasana persekitaran. Kemudian lelaki itu bingkas bangun dan berjalan ke arah tandas. Dia membelah lautan manusia yang sedang rancak menari menghiburkan hati.
Tika sampai ke tandas dia terserempak dengan teman wanita lelaki kurus berjerawat di wajahnya itu. Mata lelaki itu cukup tajam, malah dia masih cam dengan wajah Sally walaupun suasana kelam di kelab malam itu sedikit sebanyak membataskan penglihatannya. Dia hanya tersenyum sinis melihat Sally yang sedang berpelukan dan bercumbu-cumbuan dengan seorang lelaki yang berbangsa india, dan semestinya bukan teman lelakinya sebentar tadi.
“Dasar pendosa curang!”
Seranah lelaki berbadan tegap itu seraya memasuki ke dalam tandas tanpa menghiraukan Sally dan pasangannya yang sedang memadu kasih di satu sudut yang sedikit gelap dan tersorok dari pandangan orang ramai.
EMBUN yang mulai turun membuatkan Kuala Lumpur semakin dingin. Kelihatan seorang lelaki bertubuh kurus berjalan beriringan dengan Sally, riak wajah mereka begitu gembira sekali. Kekasih Sally itu menghantar buah hati kesayangannya ke kereta, sebelum dia berlalu menuju ke kereta miliknya yang diparkir sedikit jauh dari kereta Sally. Girang sekali wajah lelaki itu pada malam itu. Dia tidak tahu sebenarnya Sally sudah bermain kayu tiga di belakangnya.
Setelah lelaki bertubuh kurus itu berlalu jauh dengan keretanya, Sally lekas-lekas menelefon seseorang. Agak lama juga Sally menanti dan akhirnya orang yang dinanti-nantikan muncul juga. Lelaki yang sama ketika dia bertemu berhampiran dengan tandas di kelab malam. Sally sememangnya seorang perempuan yang tidak boleh dipercayai! Lain di depan, lain di belakang. Status sebagai tunangan orang baginya tidak menjadi penghalang untuk dia mencari kepuasan dengan lelaki lain. Kedua-duanya terus masuk ke dalam perut kereta dan beberapa ketika kemudian kereta itu bergerak meninggalkan Bukit Bintang.
Kereta Sally kelihatan berhenti di sebuah hotel mewah dan pasangan kekasih itu kelihatan memasuki hotel berkenaan sambil berpelukan mesra. Ternyata ini adalah malam yang indah buat Sally. Dua lelaki sudi menabur cinta kepadanya. Tetapi malam yang indah itu mungkin tidak lama damainya, ini kerana setiap pergerakannya diperhatikan oleh sepasang mata yang merenung tepat dari kejauhan. Sepasang mata yang begitu tajam menikam. Umpama ada kesumat yang mencengkam hatinya.
Gerak langkah lelaki yang mengekori Sally itu diatur dengan begitu baik. Dia berjalan perlahan dan terus mengekori sehingga ke dalam lif. Sally dan pasangannya yang bertubuh besar dan tinggi itu langsung terkejut apabila pintu lif yang hampir tertutup dengan perlahan-lahan itu disekat oleh satu tangan yang kemas memakai sarung tangan hitam. Ini menyebabkan pintu lif yang hendak tertutup itu kembali terbuka. Lelaki yang mengekori Sally dan kekasihnya itu masuk ke dalam, tetapi tidak mempamerkan wajahnya.
Walaupun ulahnya menghadirkan rasa curiga di hati pasangan bercinta itu, tetapi ianya tidak mengugahkan hati teman lelaki rahsia Sally yang berbadan besar itu. Lelaki itu duduk di sisi Sally dengan tenang tanpa menghiraukan dirinya diperhatikan oleh teman lelaki wanita bertubuh genit itu. Lelaki misteri itu memakai baju kot kulit berwarna hitam, memakai topi dan kolar baju kotnya sengaja diangkat tinggi sehingga hampir menutupi separuh dari mukanya. Disebabkan itulah Sally dan temannya tidak dapat melihat tampang lelaki misteri itu.
Apabila pintu lif dibuka lelaki itu hanya membiarkan sahaja Sally dan pasangannya keluar dahulu. Sally dan temannya sempat juga menoleh ke belakang melihat lelaki misteri tersebut. Kala mata Sally bertentangan dengan mata lelaki itu, satu perasaan gentar hadir menyentak perasaannya. Lekas-lekas dia mengalih pandangannya daripada terus memandangnya. Renungan lelaki itu... sungguh kejam!
“Er… Bob, you perasan tak dengan lelaki tu? Semacam aje I tengok.”
Bisik Sally kepada teman lelakinya. Sesekali dia menoleh ke belakang melihat-lihat lelaki misteri itu.
“Ah… biarkan, I kan ada, tubuh I lebih besar dan tinggi dari dia, sekali tumbuk saja boleh buat muka dia pecah. Ha ha ha...! You jangan takutlah…” ujar kekasih Sally itu dengan angkuh. Malah sengaja dikuatkan suaranya seperti ingin menakut-nakutkan lelaki itu.
Pintu lif tertutup perlahan-lahan dan lelaki misteri itu tidak mengekori Sally dan pasangannya. Membuatkan Sally melepaskan helaan nafas yang benar-benar melegakan. Pasangan itu sudah pun sampai di hadapan pintu bilik yang terletak di hujung sekali. Kedua-duanya kelihatan seperti tidak sabar-sabar lagi untuk masuk ke dalam dan melampiaskan nafsu serakah masing-masing.
Suasana di awal pagi itu cukup sunyi sekali, hanya kedengaran gelak tawa Sally dan pasangannya sahaja. Ketika baharu sahaja Sally dan pasangannya menjejakkan kaki ke dalam kamar hotel mereka, kedengaran lif berdenting sekali dan perlahan-lahan pintu lif dibuka. Pasangan Sally tidak jadi melangkah dan dia menoleh ke arah pintu lift yang jaraknya sekitar 30 kaki dari kamarnya.
“Baby… kenapa ni?” soal Sally yang sudahpun berada di dalam kamarnya.
Dia hairan kerana pasangannya itu tidak melangkah masuk, tetapi berdiri dan mencerunkan pandangannya ke arah lif. Sally teragak-agak untuk turut serta melihat apa yang dipandang kekasihnya.
Kini dari dalam lif yang sudah terbuka meluas itu, keluar seorang lelaki berpakaian serba hitam bersama dengan pakaian yang menutup di bahagian kepalanya. Lelaki yang sama tika Sally dan Bob di dalam lif hotel. Tubuh lelaki itu kelihatan cukup tegap, dan dia kini sedang berjalan dengan perlahan-lahan menuju ke arah di mana kamar Sally berada.
Pasangan Sally, Bob terus merenungnya bagaikan memberi amaran melalui sinar mata dan reaksi wajahnya. Tetapi lelaki itu tidak langsung beralih pandang, bagaikan tidak gentar akan pandangan dari lelaki bertubuh gemuk dan tinggi lebih dari enam kaki itu. Dan apabila lelaki misteri itu semakin hampir barulah kekasih Sally terkesima apabila melihat wajah lelaki itu yang ternyata bukan berwajah manusia. Berwajah tengkorak!
Lelaki itu berwajah ngeri seperti memakai topeng. Ya! Dia memakai topeng tengkorak yang menyeringai menampakkan baris gigi yang keputihan dan topeng itu seperti mengalirkan air mata. Menangis air mata darah! Tidak seperti tika di dalam lif, lelaki itu tidak mengenakan topeng di wajahnya. Kini topeng tengkorak berdarah itu sudah melengkap di wajahnya. Seperti dia sudah bersedia untuk mencabut nyawa sang pendosa. Mata pembunuh itu merenung tajam bagai memancarkan cahaya yang bersinar dan berbau kematian.
“Baby are you okay?” soal Sally kehairanan apabila melihat wajah kekasihnya itu bagaikan melihat hantu.
Belum pun sempat Bob membalas pertanyaan Sally, lelaki misteri itu pantas mengeluarkan sesuatu dari dalam baju kotnya. Tidak menunggu lama, sebilah pisau bedah tepat dibalingnya ke leher lelaki yang bertubuh besar dan tinggi itu. Darah merah terpancut dari leher gemuknya. Lelaki malang itu bagai dilanda panahan kilat. Tersentak serta tidak menjangka diserang sebegitu rupa, lelaki itu terbeliak menahan kesakitan yang hadir menyapa. Dia terus menekup lehernya dan cuba untuk mencabut pisau bedah itu dari lehernya tetapi tidak berjaya. Kepalanya terdongak ke atas bersama suaranya yang mulai tenggelam-timbul. Tersekat-sekat aliran pernafasannya di saat ini.
Suara Bob seperti berkeladak dengan cecair kerana rengkungannya sudah dipenuhi dengan darah. Sally bertempik ketakutan apabila melihat kekasihnya berlumuran dengan darah. Lelaki misteri itu menunduk dan meluru ke hadapan dengan langkahan yang laju. Lelaki itu bergerak pantas, serta-merta dia melepaskan satu tendangan tujah yang kuat ke perut boroi kekasih Sally itu.
Pasangan Sally itu tertunduk dengan tangannya masih memegang lehernya yang sudah dibocori oleh mata pisau bedah yang cukup tajam. Sally tidak henti-henti berteriak ketakutan, dia terundur-undur sambil menutup mulutnya. Dia terduduk sambil terketar-ketar di atas lantai, mindanya sudah beku untuk berfikir secara waras ketika ini. Perasaan takut terus menyelubungi dirinya. Sally hanya mampu melihat kesakitan yang teramat perih dialami oleh Bob. Dia yang menjadi saksi melihat kekasihnya yang tumbang dibelasah oleh seorang lelaki yang bertopeng, hanya sekadar mampu mengalirkan air matanya sahaja. Ternyata lelaki bertopeng tengkorak itu jauh lebih perkasa dari kekasihnya yang bertubuh lebih gempal itu.
Lelaki misteri yang menyerang kekasihnya itu kini sedang memijak perut lelaki malang itu, dan dia bagaikan tersenyum sinis tatkala menoleh pandangan ke arah Sally. Walhal di wajah lelaki itu melekat kemas dengan topeng yang ngeri. Sally gerun melihat wajah lelaki bertopeng tengkorak itu. Ukiran senyuman di bahagian tengkorak yang dipakainya menyeringai seperti tersenyum itu bagaikan satu igauan ngeri baginya. Lelaki misteri itu mengangkat jari telunjuknya perlahan-lahan umpama memberi isyarat agar Sally diam.
“Syhhh…”
Sally terpaku seperti dipukau. Diam tidak berkutik, dia bagaikan mengikut sahaja arahan bisu lelaki bertopeng itu. Mulut Sally seperti ingin bersuara, namun tidak terdaya, kelu.
Kemudian dia beralih kepada kekasih Sally yang sedang terketar-ketar kesakitan dan sudah kehilangan banyak darah. Mata Bob terbuntang ke atas, mulutnya tercungap-cungap mencari nafas, sesekali dia termuntah darah yang banyak. Balingan lelaki itu tepat mengenai pembuluh darah di bahagian leher mangsa.
Lelaki bertopeng itu kembali memegang pisau bedahnya yang masih terbenam melekat di leher lelaki itu. Lantas perlahan-lahan dia menghiris leher mangsa dengan tanpa rasa belas. Seperti sedang menyembelih leher binatang, kulit leher mangsa tersiat dengan perlahan-lahan. Darah merah membuak-buak memancut membasahi lantai hotel. Mangsa menggelupur kesakitan, mata terbeliak dan tangan serta kakinya meronta-ronta bagaikan ingin mempertahankan nyawanya buat kali terakhir. Tenaga yang masih bersisa itu bagaikan sudah tidak mampu melawan kekuatan lelaki bertopeng tersebut.
Keperkasaan lelaki bertopeng yang menindih tubuhnya dengan menggunakan lutut dan kasut yang bertapak keras itu ternyata membuatkan mangsa semakin tidak terdaya melawan. Malah ketajaman senjatanya begitu menggerunkan, walaupun ianya hanya sebilah pisau bedah. Mangsa sudah tidak mampu bersuara, hanya mampu mengeruh seperti kerbau yang baru lepas disembelih. Kekasih Sally akhirnya longlai dan kaku menjadi mayat di muka pintu kamar hotelnya. Mati di dalam keadaan yang cukup mengerikan.
Lelaki bertopeng itu mencabut pisau bedah dari leher kekasih Sally dan dia kini beralih pada sasaran yang seterusnya. Mayat Bob kelihatan terkoyak melebar di bahagian lehernya dan keadaannya cukup menyeramkan. Kepala mangsa bagaikan seperti ingin terpisah terus dari badannya. Jikalau tidak kerana isi serta kulit yang masih melekat di lehernya, sudah pasti kepala yang terkulai itu akan terpisah dari badannya. Ngeri! Darah merah menyeruak pekat dan berbau hanyir. Warna merah bagaikan menjadi hiasan terakhir di wajah lelaki malang itu. Satu kematian yang cukup dahsyat!
“To…long… jangan apa… apakan sa… saya,” Sally merayu dengan terketar-ketar, air matanya mula merembes tanpa henti.
Lelaki bertopeng itu terus melangkah tanpa menghiraukan rayuan Sally. Riak topeng yang menyeringai itu menambah rasa gerun Sally. Di tangan kanan lelaki misteri itu kelihatan darah terus menitis ke lantai dari hujung mata pisau bedahnya. Sally bagaikan tidak mampu bangun untuk melarikan diri, dirasakan seluruh sendi anggota kakinya kaku seperti dibius kerana ketakutan. Dia umpama menanti ketibaan sang malaikatul maut datang mencabut nyawanya!
YOU ARE READING
TOPENG BERDARAH
Mystery / ThrillerSEJARAH hidupnya cukup tragis. Dia melihat dengan sendirinya di hadapan mata, bagaimana bapa kesayangannya mati dibunuh. Ibunya berzina dengan lelaki lain, kasih dan sayangnya terabai. Sejak itu dia mulai kenal apa itu erti kecurangan. Dendam mula m...