Puchong Prima
HAZWADI lebih banyak diam dari berkata-kata ketika bersama dengan Inspektor Remy. Wajahnya masih terlakar riak ketakutan. Puas inspektor Remy bertanya apakah yang menyebabkan Hazwadi jadi sebegitu.
“Kau ada baca surat akhbar hari ini tak? Berita tentang pembunuhan yang berlaku di belakang kelab malam dan di hotel itu telah tersebar dengan cepat. Entah dari mana pihak wartawan dapat maklumat pembunuhan ini. Terlalu cepat sehingga gambaran pembunuh itu memakai topeng tengkorak pun berjaya diceritakan dengan tepat! Kalau begini, keadaan menjadi semakin sukar. Seolah pembunuh itu mendapat populariti secara percuma. Orang akan bercakap yang bukan-bukan terhadap pihak polis, dan tak mustahil pasti akan ada segelintir natizen yang menyanjung perlakuannya. Ini akan membiakkan rasa bangga si pembunuh!” ulas Inspektor Remy melepaskan ketidakpuasan hatinya yang terbuku.
Hazwadi masih lagi diam. Dia seolah-olah acuh tidak acuh dengan apa yang diluahkan rakannya itu.
“Tengok ni, tajuk akhbar pun seperti menyebelahi si pembunuh itu. ‘Pasangan Curang Mati Dibunuh Kejam’. Seperti ingin mengangkat pembunuh itu sebagai hero pula. Aku rasa pasti segelintir orang akan menyokong tindakan pembunuh itu. Jenayah tetap jenayah, tak kira mangsa itu orang berdosa atau tidak.” Bebel inspektor Remy lagi.
Hazwadi melihat-lihat tajuk akhbar yang dinyatakan oleh pegawai polis itu. Dia diam tanpa ada sebarang komentar.
“Entah bagaimana berita ini boleh tersebar meluas? Mungkin saksi di hotel berkenaan yang menceritakan segala-galanya kot.”
Sambung inspektor Remy, dia menjawab sendiri soalan-soalan yang diutarakannya tadi. Ternyata ulasan inspektor Remy itu disambut dingin oleh Hazwadi. Mereka berdua diam lagi. Inspektor Remy sudah tiada akal untuk membawa Hazwadi berborak dengannya.
“Wadi, kau okey?” tanya inspektor Remy.
Hazwadi mendongak memandang rakannya itu. Dia kemudiannya menoleh pandang ke arah lain. Seperti ingin mencari angin segar untuk menenangkan dirinya.
“Mungkin ada lebih dari seorang saksi kejadian pada malam itu.” Ulang inspektor Remy lagi. Dengan harapan Hazwadi tertarik dengan topik perbincangan yang dibawanya itu.
“Apa kata saksi itu lagi?” kali ini Hazwadi tertarik untuk mengetahuinya.
Ada senyuman terbentuk di wajah inspektor Remy. Rakannya itu ingin juga berbicara dengannya.
“Saksi yang pihak polis soal siasat itu adalah saksi yang paling dekat dengan kejadian. Semasa pembunuhan itu berlaku, bilik saksi itu bersebelahan dengan bilik mangsa, dia terdengar bunyi suara perempuan berteriak, apabila dia membuka pintu dia nampak seorang lelaki memakai topeng sedang memijak seorang mangsa lelaki dengan pisau terbenam di leher mangsa.” Cerita inspektor Remy dengan lancar.
“Pembunuh itu tak perasan ke aksi dia dilihat?” soal Hazwadi lagi mendatar dan perlahan.
“Rasa-rasanya pembunuh itu tak perasan. Di dalam rakaman kamera litar tertutup yang kami terima dari pihak hotel, hanya bahagian belakang pembunuh itu aje yang sempat dirakam. Bahagian depannya tak.” Cerita inspektor Remy.
Hazwadi diam mendengar coretan dari inspektor Remy. Sesekali dia bermain-main dengan jari-jemarinya. Seperti memikirkan sesuatu.
“Saksi hanya mengintai di celah-celah pintu, dan dia amat yakin pembunuh itu tak perasaan dia diintip. Asalnya saksi terdengar bunyi jeritan, dia ingin keluar melihat tetapi dia tidak berani, hanya mampu mengintai sahaja.”
Jelas inspektor Remy lagi. Hazwadi kemudiannya tertunduk mendengar cerita inspektor Remy itu.
“Wadi, kau okey ke tak ni? Dari tadi kau macam tak nak bercakap aje? Er… kau tak sihatkah?” inspektor Remy jelas menyedari akan reaksi Hazwadi.
“Aku… aku okey,” Hazwadi cuba beralasan.
“Ada kau lakarkan wajah pembunuh itu?” tanya inspektor Remy sekali lagi.
Hazwadi terangguk-angguk seperti kebingungan. Kemudian lekas-lekas dia membuka beg galasnya dan mengeluarkan satu gulungan kanvas. Perlahan-lahan gulungan kanvas itu bertukar tangan. Inspektor Remy perasan akan tangan Hazwadi yang sedikit terketar-ketar ketika menghulurkan gulungan kanvas lukisan itu.
Inspektor Remy terus membuka gulungan kanvas itu perlahan-lahan. Wajah inspektor muda itu terpegun dengan melihat lakaran Hazwadi yang ternyata tidak seperti kebiasaannya. Lakaran yang kelihatan seperti ingin cepat siap dan hanya menggunakan dua warna sahaja. Hitam dan merah.
“Topengnya berdarah?”
Roman wajah inspektor Remy dipenuhi dengan kerutan yang mula menghiasi dahi luasnya. Lukisan yang dilakar dengan hanya menggunakan satu jenis berus kelihatan kasar dan tidak kemas seperti lukisan yang terdahulu. Tetapi masih dapat dilihat dengan baik rupa pembunuh itu terutamanya di bahagian tampang topengnya.
“Urmm mungkin, apa lagi yang kau nampak?” soal inspektor Remy lagi.
Kedengaran Hazwadi mengelus kecil. Dia tertunduk seketika seraya memandang meja makan. Keresahan mula beriak di wajahnya.
“Dia… dia… tahu aku menyaksikan pembunuhan itu...” getus Hazwadi dan secara tiba-tiba wajahnya pucat.
“Apa maksud kau Wadi?” inspektor Remy tambah kehairanan.
“Dia tahu yang aku ada menyaksikan dia melakukan kerja-kerja itu.”
Inspektor Remy semakin bingung mendengarnya. Ternganga mulutnya bersama mata yang terbuntang memandang Hazwadi.
“Sekejap... tadi kau cakap dia tahu kau ada di tempat kejadian? Bukankah selama ini kau sendiri ada cakap yang penjenayah tak mungkin dapat melihat kewujudan kau. Lagipun... kau datang melalui batin, melalui kuasa psikik kau bukan? Makanya... mustahil ada orang boleh terlihat kau.” Omel inspektor Remy panjang lebar.
“Remy... aku seperti berada di tempat kejadian. Aku akan melihat dan menjadi saksi pembunuhan yang berlaku. Namun itu semua hanyalah batin aku, badan aku masih di rumah. Dan sewaktu kejadian di hotel itu, dia seperti dapat merasakan kehadiran aku. Dia sendiri yang berkata-kata di depan aku. Dia tahu aku ada di tempat kejadian. Dia... dia tahu aku lihat dia! Dia tahu Remy!” bentak Hazwadi berulang-ulang dengan wajah ketakutan.
Inspektor Remy terdiam. Dia melihat perubahan Hazwadi yang dilanda ketakutan. Sememangnya inspektor Remy sudah sedia maklum tentang kebolehan Hazwadi. Akan tetapi dia tidak pula menduga pembunuh itu mampu melihat akan kewujudan pelukis psikik itu, walaupun keberadaan Hazwadi hanyalah melalui batin yang dijanakan dari kuasa psikik yang dia milikinya.
“Apa lagi yang kau tahu Wadi?” soal inspektor Remy inginkan kepastian.
Hazwadi diam, dia cuba untuk mencari ketenangan di dalam dirinya demi menjawab soalan rakan polisnya itu.
“Wadi...?” gesa inspektor Remy.
“Namanya Algojo.” Ringkas Hazwadi setelah dia cuba meraih kembali semangatnya.
“Algojo? Maksud kau Algojo si pelaksana hukuman bunuh? Wah dah macam watak dalam komik,”
Hampir terletus ketawa besar dari mulut inspektor Remy di kala terdengar nama pembunuh yang dicanang Hazwadi. Akan tetapi dia terdiam dan kembali serius selepas melihat air muka Hazwadi ternyata tidak bergurau. Rasa bersalah mulai terguris di dalam diri pegawai polis itu.
“Dia memperkenalkan namanya kepada kau?” inspektor Remy seperti tidak mempercayai apa yang telah Hazwadi nyatakan.
“Kau tak percaya? Remy, aku sudah fikir dalam-dalam. Semangat aku bagaikan tercampak jauh. Aku fikir... aku tak mahu berurusan dengan kau lagi, aku nak pindah dari sini. Semua ni buat aku jadi tak tenteram!” Hazwadi sedikit menekan suaranya.
“Pembunuhan yang berlaku kali ini berbeza. Pembunuh itu boleh merasakan kehadiran aku! Aku... aku berasa seperti terancam! Selama ini aku tak pernah berasa sedemikian rupa. Aku nak pindah dari sini. Aku nak berhenti!” tekad Hazwadi, wajahnya cukup tegang seraya merenung tajam kepada inspektor Remy.
“Bawak bertenang Wadi, pihak polis akan uruskan kes ini dengan secepat yang mungkin. Percayalah, kami yakin pembunuh itu pasti akan dapat diberkas tak lama sahaja lagi. Lagipun kamu dah banyak memberi maklumat termasuk melakar wajah pembunuh itu. Akan sukar buat aku seandainya kau tak lagi bekerja sama dengan pihak polis lagi. Please Wadi, aku harap kau dapat bersabar. Selagi aku ada, keselamatan kau akan terjamin.”
Pujuk inspektor Remy. Dia tidak pasti adakah dakwaan Hazwadi itu betul atau hanya perasaannya sahaja. Namun dia perlu menenangkan Hazwadi.
“Aku takut selepas ini aku pula yang akan disembelih dan jantung aku dihancur-hancurkannya. Entah-entah segala organ dalam tubuh aku dikeluarkan olehnya hidup-hidup! Aku tak mahu mati!” bentak Hazwadi yang jelas tegang riak wajahnya.
Sepanjang dia membantu pihak polis, belum pernah berlaku di mana pembunuh mampu melihat akan kewujudannya. Walaupun kehadiran Hazwadi bersifat halimunan. Kuasa psikiknya kini bagaikan mempunyai lohong kelemahan. Ini kerana pembunuh bernama Algojo itu bagaikan mampu menghidu kehadirannya.
“Kau jangan bimbang, aku akan arahkan orang bawahan aku agar sentiasa mengawasi dan menjaga kau, supaya kau tidak diapa-apakan. Keselamatan kau aku berani jamin Wadi. Janganlah bimbang.” Janji inspektor Remy dengan bersungguh-sungguh.
Hazwadi terdiam, entah kenapa dia seperti tidak yakin akan kata-kata inspektor Remy. Dia masih teringat renungan mata Algojo yang bagaikan bersinar memancarkan aura membunuh. Walaupun renungan itu tidaklah bermaksud Algojo mahu mencincangnya, tetapi sedikit sebanyak membuatkan Hazwadi berasa gentar. Dan dia juga melihat dengan sendirinya bagaimana Algojo menumbangkan lawan yang lebih besar daripadanya. Tergugah keyakinan Hazwadi terhadap janji-janji inspektor Remy. Namun dia harus yakin dengan kata-kata rakannya itu, sekurang-kurangnya masih ada jaminan keselamatan buat dirinya.
“Terima kasih.”
Pendek dari Hazwadi bersama keluhan yang kedengaran begitu memberat. Mungkin satu hari nanti dia akan bersua lagi dengan si Topeng Berdarah itu. Hanya waktu sahaja yang akan menentukannya.
YOU ARE READING
TOPENG BERDARAH
Mystery / ThrillerSEJARAH hidupnya cukup tragis. Dia melihat dengan sendirinya di hadapan mata, bagaimana bapa kesayangannya mati dibunuh. Ibunya berzina dengan lelaki lain, kasih dan sayangnya terabai. Sejak itu dia mulai kenal apa itu erti kecurangan. Dendam mula m...