BAB 15

107 5 0
                                    

Kuala Lumpur
DR. RAZLI lebih banyak termenung, air kopinya langsung tidak tersentuh. Hari ini dia mengambil cuti rehat. Dia lebih banyak mengelamun dari menikmati minumannya. Dia juga banyak mengeluh, hujan renyai-renyai di luar kopitiam langsung tidak dihiraukan. Dr. Razli perlahan-lahan menyogok air kopi ke mulutnya. Ingatannya kini lebih banyak berkisar pada dua orang perempuan. Satu yang pernah menjadi cinta hatinya, dan satu lagi telah mula membenih perasaan yang begitu menggebu di dalam hatinya. Namun memori bersama Farrah masih tetap berbekas dalam hatinya.

Imbas kembali
LAMPU neon berwarna-warni berkemilau bersama dengan bingitnya muzik yang berkumandang. Kelab malam yang suram dan kelam itu dipenuhi dengan pelbagai watak manusia yang rata-rata ingin mencari hiburan duniawi.

Dr. Razli mengambil tempat yang agak terpinggir di dalam kelab malam itu. Ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki ke tempat hiburan ini. Apabila pelayan datang menyapa, dia sekadar memesan minuman ringan sahaja. Agak kekok tatkala dia didatangi beberapa orang gadis cantik berpakaian menjolok mata dan cuba untuk menggodanya. Dia tahu gadis-gadis yang datang itu semuanya adalah GRO yang bertugas untuk menghiburkan pelanggan yang bertandang.

Dr. Razli sekadar menolak dengan baik. Niatnya bukan untuk berhibur tetapi lebih menjadi seorang ‘pengintip’ kepada gerak-laku Farrah. Dia juga terkejut dengan perubahan Farrah yang ternyata sudah berubah semenjak menjejakkan kaki ke ibu kota. Air perahan oren segar diteguknya perlahan-lahan. Anak matanya liar memerhatikan setiap individu yang bertandang. Dia mendapat tahu dari rakan serumah sewa Farrah, bahawa teman wanitanya itu sering berkunjung di kelab malam di mana dia sedang berada sekarang ini.

Dr. Razli mengeluh kecil, kerana sudah lama dia berada di dalam kelab malam itu tetapi tidak juga kelihatan kelibat orang yang dicari-carinya. Dan pada ketika waktu dia ingin berganjak pulang, retina matanya mula terpandang sesusuk tubuh yang amat dikenalinya. Terdiam terpaku Dr. Razli melihat orang yang dicari-carinya itu sedang asyik berpelukan di medan tarian bersama dengan seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Dr. Razli mengetap bibir menahan kemarahan. Mahu sahaja dia memukul lelaki yang berani merangkul erat teman wanitanya. Lelaki itu berkulit cerah bertubuh gempal dan berambut ikal. Lelaki itu sedang asyik merangkul Farrah yang pada ketika ini bagaikan terlupa serta mabuk dengan keasyikan duniawi. Dia membiarkan sahaja tubuhnya diraba dan diramas lelaki si hidung belang itu. Semakin lama semakin asyik pula dia diperlakukan sedemikian. Apa yang Farrah tahu dirinya senang dan seronok menikmati dosa-dosa yang sengaja dipilihnya. Hati lelaki Dr. Razli ternyata terbakar membara dengan melihat aksi yang dipamerkan oleh Farrah itu. Sedih dengan perlakuan di luar batasan Farrah.

“Faiz, I nak minum sekejap. Dahagalah…” suara Farrah kedengaran tenggelam-timbul di dalam alunan muzik yang bernada rancak.
 
Selajur itu juga Farrah bergerak menuju ke mejanya yang terletak seberang medan tarian itu. Dr. Razli hanya melihat Farrah dengan renungan yang ternyata tajam menikam. Dia sedang menanti saat dan ketikanya untuk pergi menyapa teman wanitanya itu. Dr. Razli mengalih pandangannya pada lelaki yang mendampingi Farrah itu pula. Mahu sahaja dia melepaskan amarahnya sekarang ini, tetapi akal warasnya masih mampu mengawal nafsu panasnya itu.

Faiz Hafiz masih asyik menari dan dia bagaikan berada di dunianya sendiri tanpa menghiraukan dirinya yang sedang diperhatikan dari sudut yang agak terpencil. Dia yang bertukar-tukar pasangan seperti tiada salah baginya. Apa yang penting keseronokan nikmat dunia terus ingin dikecapinya.

Manakala Farrah pula berjalan sedikit terhoyong-hayang. Sebelum dia sampai ke mejanya, dia terlanggar seorang lelaki bertubuh tinggi dan tegap. Farrah terjatuh seraya mengaduh kesakitan. Dr. Razli melihat Farrah terjatuh dia mula resah, dan mahu bergerak ke arah kekasihnya itu. Rasa sayangnya masih menebal walaupun kecurangan Farrah telah terserlah di hadapan matanya. Dr. Razli menelusuri orang ramai yang sedang asyik digonggong dosa di kelab malam itu, dia terpaksa melewati medan tarian sebelum dia sampai ke tempat yang dihajatinya. Kerana kesesakan di medan tarian, Dr. Razli menghadapi sedikit kesukaran untuk bergerak. Entah berapa kali dia terpaksa berhenti melangkah.

“Awak tak apa-apa?” sapa lelaki tinggi lampai itu seraya menghulurkan tangan ingin membantu Farrah agar bangkit semula.

“Sakit tau tak…”

Gerutu Farrah yang masih lagi tidak melihat wajah lelaki itu dengan betul-betul. Lagipun suasana kelam di dalam kelab malam itu sedikit menyukarkan pandangan Farrah.

“Maafkan saya, awak nama apa?” tanya lelaki itu penuh tenang.

Dalam kebingitan alunan muzik suaranya masih tetap jelas di telinga Farrah. Farrah mendongak memandang wajah lelaki yang membantunya dan dia terkesima sejenak. Mungkin kerana mabuk, Farrah melihat wajah lelaki itu seperti bintang filem melayu yang terkenal, Hans Isaac, kacak!

“Nama saya Farrah…” jawab Farrah dengan senyuman yang mula terukir di bibirnya.

Hilang rasa marah akibat dari perlanggaran yang berlaku sebentar tadi. Renungan mata Farrah dan lelaki itu mula bertaut. Farrah melihat retina mata lelaki itu lama-lama. Jantungnya terasa berdegup kencang. Debar tatkala melihat renungan menawan dari lelaki berupa paras segak itu.

“Oh, hai Farrah, nama saya…”

“Farrah!”

Baharu sahaja lelaki itu ingin memperkenalkan dirinya kepada Farrah, tetapi dia telah dipintas oleh satu suara keras dan lantang dari belakangnya. Dr. Razli terus berjalan melepasi lelaki yang mempunyai ketinggian hampir setara dengannya. Dengan kasar dia menolak lelaki itu ke tepi dengan tanpa menoleh pandang pada lelaki yang menolong Farrah itu. Dr. Razli terus menarik lengan Farrah dengan kasar. Lelaki itu hanya mengundur tanpa ingin bertindak balas.

“Abang?”

Farrah terkebil-kebil memandang wajah Dr. Razli. Dia masih lagi dalam keadaan kebingungan bercampur mabuk arak. Bau sendawa masam arak yang terbit dari mulut Farrah menambah rasa hangat perasaan Dr. Razli.

“Apa yang Farrah buat ini? Farrah curang dengan abang?! Sudah pandai mabuk-mabuk sekarang? Kenapa Farrah? Kenapa buat macam ini? Kenapa sanggup curang dengan jantan lain?!” Dr. Razli benar-benar naik angin.

“Ikut abang balik!” bentak Dr. Razli kali ini dengan keras. Wajahnya kemerahan menahan rasa kemarahan yang membuak-buak dari dalam.

Lelaki yang membantu Farrah itu pula semakin mengundur sedikit ke belakang, dia sekadar melihat sahaja tingkah laku Dr. Razli dan Farrah yang baharu dikenalinya. Sebolehnya dia tidak mahu masuk campur, hendak-hendak lagi dia seperti mendapati Dr. Razli itu adalah kekasih Farrah. Dalam kelam dan samar-samar dia masih mampu melihat wajah Dr. Razli dan Farrah. Perkataan curang yang dilaungkan kedengaran amat jelas ke telinganya. Dan ketika baharu dia ingin berlalu pergi, secara tiba-tiba datang seorang lelaki dengan tanpa sebarang amaran terus melepaskan satu penumbuk tepat ke muka Dr. Razli.

Dr. Razli tersungkur dan kepalanya terhantuk ke meja. Mata Dr. Razli berbinar, sakit dipukul curi dan terhantuk ke bucu meja. Dia cuba untuk bangun tetapi rebah semula apabila lelaki yang bersama dengan Farrah di medan tarian itu datang lagi dan melepaskan satu tendangan ke perut Dr. Razli. Faiz Hafiz bagaikan ingin terus menghukum Dr. Razli.

“Sudah saudara, cukuplah… dia sudah tidak terdaya itu.” Halang lelaki segak sebentar tadi agar Faiz memberhentikan kekerasannya.

Faiz sekadar merenung lelaki yang menghalangnya itu sepintas lalu sahaja. Dia kemudiannya kembali mencerun pandangannya kembali ke arah Dr. Razli.

“Farrah, lelaki lembik macam ini yang kau nak buat kekasih?”

Sela Faiz seraya meludah ke arah Dr. Razli. Pergaduhan kecil yang sedang berlaku telah menjadi tontonan mata-mata pengunjung di kelab malam yang kelam dan bingit itu.
Farrah sempat melirik pandang pada wajah lelaki segak yang berlanggar dengannya sebentar tadi, ternyata pandangan lelaki itu membuatkan Farrah bagaikan tidak dapat menghalang retina matanya dari terus tertancap ke anak mata lelaki itu. Seperti ada satu tarikan magnet kala direnung tajam oleh lelaki berbadan tegap itu. Farrah seperti tergoda dengannya. Sedangkan ketika ini dua orang lelaki yang rapat dengannya sedang bergulat antara satu sama lain. Akhirnya Farrah seperti baharu tersedar tatkala lelaki yang menolongnya itu tadi menukar cerlungan matanya. Renungannya itu membuatkan Farrah tertunduk, alah dari terus bertentangan mata. Matanya seperti memancarkan api. Lekas-lekas dia mengalih perhatian kepada Faiz yang kelihatan menyinga terhadap Dr. Razli yang masih di atas lantai. Dr. Razli bagaikan tidak berdaya untuk bangkit. Tetapi sebenarnya hati Dr. Razli lebih remuk kala melihat kekasihnya begitu mesra dengan jantan lain. Hilang sudah semangat kelakiannya. 

“Sudahlah Faiz, marilah kita pulang. Malu orang tengok.”

Farrah menarik lengan Faiz meninggalkan kelab malam itu. Dan semuanya disaksikan dengan mata dan kepala lelaki tegap dan tinggi itu. Sekarang dia sudah tahu bahawa perempuan yang bernama Farrah itu telah berlaku curang terhadap Dr. Razli yang terkial-kial cuba untuk bangkit dari rebah akibat dipukul Faiz.

Apabila Dr. Razli mulai mampu bergerak, lelaki itu kemudiannya berlalu dan hilang di celah-celah orang ramai entah ke mana. Dr. Razli mencari kerusi dan melabuh duduk buat seketika. Kekecohan kecil yang terjadi itu membuatkan banyak mata memandangnya. Dia tidak kisah kalau ada orang yang tertawa akibat kekalahannya, tetapi hatinya itu bagaikan tidak mampu menahan kesakitan akibat dari sebuah kecurangan. Semangat melawannya gugur serta-merta tatkala melihat Farrah merangkul erat lengan kekasih baharunya, Faiz Hafiz. Hatinya benar-benar pecah berderai, seperti kaca yang terhempas jatuh di atas batu kerikil.

“Farrah...” getus Dr. Razli penuh emosi.

Lamunan Dr. Razli tersentak apabila telefon bimbitnya bergetar dan menjerit nyaring. Lekas-lekas dia meletak cawan kopinya dan menjawab panggilan dari pemanggil yang amat dikenalinya. Dia kini sudah kembali ke dunia nyata. Ingatan lama itu bagai terpecah kala diganggu bunyi bingit dari telefon bimbitnya.

“Guiza?”

“Razli, kau ada di mana? Malam nanti jom kita keluar berseronok.”

Terdengar suara Dr. Guiza dari corong telefon bimbit Dr. Razli.

“Malam karang? Nak ke mana?” soal Dr. Razli, dahinya berkerut.

“Hey I know you are alone in KL, apa kata kita ke kelab malam! Kita enjoy dan kita cari bunga-bunga yang wangi untuk temani kita.” saran Dr. Guiza dengan nada yang gembira.

“Kelab malam?”

“Alah kita masih muda, apa salahnya kita enjoy!”

“Umm… maaflah, saya tak berapa nak sihat sekarang.” Dr. Razli mengelak.

“Hei jangan macam itu, I tahu you bosan, apa kata kita puaskan hati kita malam ini.” Ajak Dr. Guiza dengan selamba.

“Tak mengapalah, doktor pergilah berhibur. Saya nak berehat di rumah saja. Terima kasih.”

“Okeylah, kalau macam itu I ikut ajelah cakap you. But if you ubah fikiran, just call me, okay?”

“Okey.”

Dr. Razli tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya setelah perbualan mereka ditamatkan. Memang begitulah perangai Dr. Guiza, suka sangat berhibur. Namun dia tidak pernah ketepikan tugasan beliau. Mungkin itu salah satu cara untuk memberikan ketenangan di jiwanya. Masing-masing punyai cara tersendiri untuk melepaskan rasa sesak di dalam diri. Dan itu adalah cara Dr. Guiza membuang segala kebosanannya. Dr. Razli kembali menikmati kopinya dengan perlahan-lahan. Hatinya dan mindanya lebih banyak terpandang wajah gadis yang muncul di dalam hidupnya. Namun wajah Dr. Jane tetap hadir bersilih ganti dengan wajah bekas kekasihnya, Farrah. Dr. Razli melepaskan keluhan.

“Kenapa aku asyik teringat kat Jane?” gumam Hazwadi.

“Farrah...” kini giliran bekas kekasihnya pula dicanang namanya. Dr. Razli terdiam sejenak sebelum kembali bermonolog.

“Semoga aman di sana.” Hela Dr. Razli mendatar.

Tetapi jauh hingga ke dalam lubuk hatinya, Dr. Razli seakan puas melihat mayat kaku Farrah bersama pasangannya. Entah kenapa dia berasa sedemikian rupa. Mungkin kerana dendamnya sudah terbalas. Lambat-lambat tersungging satu senyuman puas di bibir Dr. Razli.

TOPENG BERDARAHWhere stories live. Discover now