BAB 8

165 6 1
                                    

Restoran Pelita, Bangsar
INSPEKTOR Remy dan Hazwadi berhenti seketika di restoran. Mereka mahu berehat dan menikmati makan tengahari di sekitar Bangsar itu. Asalnya Hazwadi agak keberatan tetapi setelah dipaksa oleh inspektor Remy, akhirnya Hazwadi terpaksa akur. Inspektor Remy bimbangkan keadaan Hazwadi. Lelaki itu bagaikan lemah, mungkin tidak cukup rehat dan makan. Itulah yang bermain di fikiran pegawai polis berkumis nipis itu.

“Aku fikir tugas aku sudah selesai untuk hari ini, kalau boleh aku nak mintak tolong kau hantar aku ke Central Market. Ada banyak tempahan lukisan yang perlu aku siapkan.” Kata Hazwadi serius dan mendatar.

“Eh tadi bukan ke kau nak balik rumah rehat?”

“Aku dah okey sikit.”

“Kot ya pun makanlah dulu, penat-penat mamak tu gorengkan mi goreng untuk kau. Isi perut yang kosong tu dulu.” seloroh inspektor Remy sambil menyuapkan cebisan tosai ke dalam mulutnya.

Hazwadi kembali diam, ingatannya terhadap seorang lelaki yang muncul secara tiba-tiba di belakang kereta inspektor Remy. Kewujudannya seperti roh orang yang tidak aman. Bayangan itu seperti membawa petanda atau ingin memberi amaran buatnya? Berat sekali Hazwadi memikirkannya. Terkadang kuasa psikik yang dimilikinya itu sukar untuk dirinya tafsirkan.

“Pembunuh sekarang semuanya bijak-bijak. Pandai menyembunyikan bukti pembunuhan. Tetapi sebijak-bijak mereka, bijak pihak polis lagi. Betul tak Wadi?”

“Oh. Ah...? Iya...” teragak-agak Hazwadi menyokong kata-kata rakannya itu.

“Tetapi apa motifnya dia membunuh pasangan kekasih? Kerana dendamkah, cemburu atau mungkin sakit mental? Apa pendapat kau Wadi?”

Soal inspektor Remy sekali lagi. Wajah jernihnya bersahaja tika mengaju soalan tersebut. Tetapi roman Hazwadi sebaliknya. Keruh dan bagai berselirat dengan masalah.

“Er... entahlah,”

Hazwadi tidak tahu hendak berkata apa. Dia yang sudah terbiasa membantu pihak polis jikalau melibatkan jenayah yang sukar, turut merasakan kes pembunuhan yang berlaku ke atas Farrah dan pasangannya sedikit aneh dan rumit. Bukan kematian Farrah sahaja yang muncul di dalam gambaran Hazwadi. Tetapi telah ramai pasangan kekasih mati dibunuh. Cuma gambaran dan bayangan tatkala Farrah dan pasangannya disembelih benar-benar dirasakan cukup dekat. Seolah dia sendiri yang melakukan pembunuhan itu.

“Wadi, aku sebenarnya ada perkara yang ingin aku tanyakan. Aku harap kau tak keberatan berkongsi cerita tentang kuasa psikik kau, bagaimana kau boleh milikinya? Jarang orang boleh memiliki kuasa psikik ini, kalau tak keberatan, aku nak dengar cerita dari kau.” Ujar inspektor Remy bereaksi penuh tandatanya.

Hazwadi diam sejenak, dia menoleh ke arah inspektor Remy sebelum kembali memandang ke hadapan. Agak teragak-agak untuk dia berceritakan perihal yang sebenarnya.

“Entahlah, apa yang aku ingat, sejak aku kecil lagi aku dah mampu melihat sesuatu yang bakal berlaku. Aku tidak pernah terfikir untuk memiliki semua ini. Dan aku sendiri tidak tahu, adakah kuasa yang aku miliki ini satu anugerah ataupun satu sumpahan ke atas diri aku. Aku sendiri tidak tahu kenapa harus aku memikul bebannya.” Keluh Hazwadi.

Inspektor Remy diam, tiada ada langsung celahan yang hendak diperkatakan. Dia seperti dapat merasakan apa yang dirasakan oleh Hazwadi. Terkadang kita manusia biasa terlalu inginkan satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh manusia lagi. Namun kita tidak terfikir akan bebanan yang mereka manusia terpilih itu lalui. Hebat nampak di luar, di dalam hanya ALLAH sahaja yang tahu. Secara tiba-tiba inspektor Remy berasa bersalah pula bertanyakan perihal terbabit.

“Aku pun tak tahu nak kata apa. Cuma apa yang boleh aku katakan semuanya adalah pemberian TUHAN kepada kau, dan kau harus bersyukur dengan kurniaan ini. Jarang sekali ada orang yang memiliki kelebihan seperti kau,” jelas inspektor Remy mendatar. Melapik perasaan tercalar Hazwadi.

Hazwadi tersenyum kelat dengan kata-kata inspektor Remy. Baginya amat sengsara memiliki keupayaan sepertinya. Hidupnya bagaikan tidak tenteram, dirinya sering diburu dengan pelbagai gambaran yang seram dan tidak menyenangkan. Terutama sekali kejadian pembunuhan. Seperti dari kata-kata inspektor Remy, anugerah TUHAN yang harus dijaga dengan sebaik-baiknya. Hanya yang terpilih sahaja yang mampu merasai semua itu. Namun jauh di sudut hati, Hazwadi tidak menginginkan semua itu, dia mahu hidup seperti manusia biasa yang lain.

“Tentang pembunuhan itu, senjatanya tidak dijumpai.” Celah inspektor Remy.
Dia kembali membincangkan perihal pembunuhan yang terjadi tempohari. Hazwadi mengambil sedikit masa untuk bertindak balas apa yang diucapkan oleh rakannya itu.

“Mungkin senjata yang digunakannya itu dibuangnya di tempat lain.” Teka Hazwadi bersahaja.

“Jangan-jangan hantu yang membunuh kot. Tapi kalau hantu, takkan pakai topeng kot?” tertawa inspektor Remy dengan selorohnya sendiri. Dia sebenarnya ingin melihat Hazwadi tersenyum.

“Mana ada hantu boleh bunuh orang!

Memang pembunuh itu manusia biasa, Remy, kalau kau tak serius macamana aku nak bantu kau selesaikan kes ini?” tukas Hazwadi keras. Dia tidak ada masa untuk bercanda.

“Er... aku bukannya tak serius, tapi aku tak mahu stress sangat nanti naik tekanan darah kau. Lagipun aku tengok kau macam tertekan saja.”

Hazwadi kembali diam, lambat-lambat dia mengangkat bekas minumannya, sebelum meneguk minumannya itu perlahan-lahan. Wajahnya jelas sekali berserabut.

“Er, kau ada bawak lakaran pembunuh dalam mimpi kau itu?” sambung Inspektor Remy. Dia cuba mengalih topik bicaranya.

“Ada, aku tinggalkan di rumah. Nanti aku beri pada kau,” ujar Hazwadi tenang. Kemudian mi goreng mamak di dalam pinggan mula dijamahnya perlahan-lahan. Dia cuba untuk membuka kembali seleranya yang tumpul.

“Hm… dalam mimpi kau, dia ada berkata-kata semasa membunuh tak? Tona serta lenggok suaranya bagaimana?” inspektor Remy menerjah Hazwadi dengan pelbagai soalan.

“Dia ada bercakap dan suaranya garau dan kasar. Cara dia membunuh dan membelah dada mangsa umpama seorang pakar bedah yang terlatih. Dan apa yang pasti pembunuh itu memakai topeng seperti... topeng tengkorak.” Cerita Hazwadi dengan mendatar.

“Ada apa-apa lagi yang kau ingat dalam mimpi kau itu?” soal inspektor Remy lagi. Tosainya di dalam pinggan sudah tidak disentuhnya lagi. Penumpuannya kini teralih ke wajah Hazwadi.

“Aku tak berapa ingat sangat. Apa yang aku ingat pembunuh itu menggunakan pisau bedah semasa mengeluarkan jantung mangsa. Selepas itu dia mencalit darah mangsa ke bahagian bawah mata topeng yang dipakaikannya itu, benar-benar seperti mengalirkan air mata... yang berdarah.”

Jelas Hazwadi mendatar. Sesekali dia mengerut-ngerutkan wajahnya tatkala dia cuba mengingati mimpinya kembali.

“Air mata? Darah? Pisau bedah? Cara dia membelah dada mangsa bagaikan pakar bedah? Hm… mungkin pembunuh itu nak tiru gaya Jack The Ripper? Pembunuh yang membunuh mangsa menggunakan pisau bedah, dan setiap mangsanya adalah golongan pelacur.” Cerita inspektor Remy dengan bersungguh-sungguh.

“Jack The Ripper? Heh…! Satu teori yang tidak masuk akal, tapi sekurang-kurangnya kau pandai meneka dan bergurau.” Sinis Hazwadi.

“Aku bukannya apa cuma cara pembunuhan persis dengan pembunuhan yang menjadi lagenda kat London sana tu. Mayat mangsa dibunuh, dibedah, dilapah seperti bahan uji kaji hanya kerana dendam. Dendam terhadap pelacur-pelacur di sana.” Tingkah inspektor Remy, dia terasa dengan sindiran Hazwadi.

Hazwadi sekadar diam dan meneguk perlahan-lahan airnya. Dia tidak mahu bertegang urat dengan inspektor Remy. Malah cerita tentang kisah yang dipaparkan inspektor Remy seperti tidak menarik perhatiannya. Sudahlah dia masih pening memikirkan apa yang terjadi di tempat pembunuhan seawal tadi. Dia seperti dapat merasakan sesuatu, sesuatu yang amat rapat dengan dirinya. benaknya kini sarat dengan persoalan yang berat.

“Tapi jika teori aku benar, mungkin pembunuhnya adalah golongan doktor. Bukankah Jack The Ripper tu seorang doktor?” serkap inspektor Remy lagi.

“Kau terlalu banyak menonton DVD tentang Jack The Ripper, Remy. Tak semestinya pembunuh yang menggunakan pisau bedah itu seorang doktor, lagi pun, terbuktikah yang Jack The Reaper itu seorang pakar bedah? Teorinya masih kabur kau tau tak?” tingkah Hazwadi mendatar tetapi kata-katanya tegas.

“Apa pendapat dan pandangan kau pula Wadi? Mungkin juga pembunuh itu seorang doktor bedah? Kemungkinan itu tetap ada, sebab badan mangsa dibelah dengan cukup baik dan kemas, betul tak?”

Soal inspektor Remy kembali setelah agak lama dia diam. Inspektor Remy masih tetap mahu mengguna pakai teorinya bahawa pembunuh bertopeng itu seorang pakar bedah.

“Entahlah, kadang-kadang aku jadi bosan dengan hidup aku ni. Tak fasal-fasal aku jadi sebahagian dari permasalahan pihak polis. Lepas ini aku tak mahu terlibat apa-apa lagi. Aku nak hidup aman tanpa perlu fikirkan perkara yang menyakitkan kepala aku ini lagi.” Sela Hazwadi.

Inspektor Remy terdiam. Dia tahu Hazwadi begitu tertekan semenjak kebelakangan ini. Wajah Hazwadi memang ketara sekali dia tidak dapat menenteramkan dirinya. Jelas kusut sekali wajahnya.

“Wadi, aku tahu. Tapi sebelum kau tarik diri dan berhenti membantu pihak polis, kau tolonglah aku sehingga kes ini benar-benar selesai.” Bujuk inspektor Remy.

“Sudahlah... Aku dah pening. Kau tolong hantar aku, nanti aku akan serahkan potret pembunuh itu kepada kau.” Ujar Hazwadi.
Inspektor Remy sekadar mengangguk kecil. Dia sendiri bagaikan tidak tahu hendak berbicara bagaimana lagi dengan Hazwadi. Milo aisnya disedut dengan straw lambat-lambat, kedinginan ais mula menjalar di rengkungannya. Amat lega sekali.

TOPENG BERDARAHWhere stories live. Discover now