Bab 2

3.8K 88 0
                                    

"Wei, sini!" jerit Zaini dan Nora padaku yang baru sahaja melepasi pintu kaca White Cafe.

Mataku membulat memandang mereka berdua yang duduk di samping dua kawanku yang lain. Aku ketap bibir dan menarik nafas sedalam mungkin. Suka hati dia saja mahu menjerit di tempat awam sebegini. Nampak sangat tidak beretika. Langkahku makin perlahan menuju ke meja yang berada paling tengah. Terasa jauh benar meja itu dengan diriku apabila semua mata pelanggan di situ memerhatikanku setelah mendengar jeritan Zaini dan Nora.

Terpaksa juga aku memaniskan wajah dan melontarkan senyuman pada semua pelanggan yang memandang, sebagai tanda meminta maaf akan sikap rakan-rakanku yang kurang kesedaran sivik.

"Cepatlah!" jerit Nora lagi.

Aku sudah hilang sabar. Terus sahaja mataku memandang Nora. Aku tunjukkan penumbukku padanya.

Mulutku sudah membebel tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Sakit dalam hati terpaksa diluahkan dengan cara begitu. Sampai sahaja di meja nanti tahulah aku nak bahasakan mereka berdua.

Aku terus duduk berhadapan dengan Nora apabila sampai ke meja. Ingin sahaja aku cekak kolar bajunya, namun aku sabarkan diri kerana masih ada mata-mata yang memerhati setiap tingkah kami di meja.

"Kau orang berdua ni boleh tak sopan sikit? Terjerit-jerit macam beruk masuk kampung ni kenapa? Kau ingat ni kafe uni kita ke?" kataku perlahan pada mereka tapi mataku masih memandang pelanggan yang tetap memandangku dan Nora. Aku lebarkan senyuman pada pasangan yang berada di sebelah meja kami. Hanya mata mereka yang tidak henti-henti memerhati.

Melihat tindakanku, Nora turut tersenyum pada mereka sambil menundukkan sedikit kepala tanda memohon maaf. Dan kini barulah mereka meneruskan perbincangan mereka yang tergendala tadi. Aku mengerling memandang meja mereka. Banyak sungguh fail dan kertas di atasnya, mengalahkan mejaku sewaktu aku mahu menyiapkan assignment.

"Mana kita orang tak jerit? Dah kau tu lambat sangat kenapa? Bukannya lima minit. Sejam tahu kau lambat, mengalahkan labi-labi," rungut Nora.

Amboi, sedapnya bahasa. Ini yang membuatkan aku hendak mengungkit kisah lama.

"Ewah, bukan main marah nampak. Eh minah, ni baru kali pertama aku lewat tau. Yang selalu kau lewat tu ada kau fikir? Kadang-kadang sampai dua jam aku kena tunggu kau tau?" balasku namun masih cuba mengekalkan momentum suara agar tak keterlaluan.

Akhirnya Nora hanya mampu membalas kata-kataku dengan senyuman simpul. Aku tengah marah boleh pula dia tersenyum begitu?

"Aku lain." Dia sudah tersipu-sipu malu.

Pelik dengan tingkahnya itu aku terus bertanya. "Apa yang lainnya?"

Kawan-kawanku yang lain sudah tidak mahu ikut campur. Kalau aku dan Nora sedang bertegang urat memang mereka tidak akan masuk campur. Mungkin takut dengan mereka sekali kena bambu.

"Aku kalau lambat pun atas sebab munasabah."

"Apa sebabnya?"

"Sebab waktu tu aku tengah study dengan Mokhtar."

Tergelak sinis aku dibuatnya. Belajarlah sangat, bukan baru sehari dua aku kenal dia dengan Mokhtar, sudah bertahun. Kalau ke perpustakaan tu niatnya memang baik hendak belajar tapi bila sudah berjumpa berbual mengalahkan sudah bertahun tak berjumpa. Tapi kalau sudah bergaduh pula, macam nak runtuh perpustakaan jadinya.

"Ini kau punya study." Aku mengepal penumbuk ke arahnya.

Nora masih dengan senyumannya. Kalau sesiapa sebut sahaja nama Mokhtar atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Mokhtar memang begitulah jadi dirinya, angau tak mengira tempat.

MR. ANONYMOUSWhere stories live. Discover now