Bab 6

2K 62 0
                                    

"Assalamualaikum."

Aku mengambil tempat duduk di depan Chik Hani dengan senyuman lebar. Chik Hani memandang aku sekilas kemudian dia mengemas al-Quran yang berada di atas mejanya. Selepas Chik Hani memasukkan senaskhah al-Quran di dalam begnya, aku cepat-cepat letak tafsir al-Quranku ke atas meja.

"Tengokkan Isya punya bacaan, boleh?" Lembut aku bersuara.

Terkebil-kebil matanya memandang.

"Insir!" pintaku dalam bahasa Arab.

"Mulakan dengan al-Fatihah."

Buat pertama kalinya Chik Hani bersuara. Membuatkan aku tersenyum lebar.

"Okey." Aku betulkan duduk. Memperdengarkan bacaan sepertimana yang Chik Hani minta. Kemudian aku teruskan dengan bacaan surah al-Baqarah.

Beberapa kali juga Chik Hani membetulkan bacaanku. Teguran turut diberikan tentang sebutan dan makhraj huruf. Oh... Banyaknya yang masih aku perlu perbaiki. Selesai sahaja bacaan hingga ayat kedua puluh empat, Chik Hani meminta supaya aku menghentikan bacaan. Maka aku tamatkan bacaan dengan ummul kitab.

Selepas selesai dia terus bangun dan aku terus mendongak, mencari wajahnya.

"Nanti ajar Isya lagi, ya?"

"Insya-Allah." Selepas mengukir janji, dia terus berlalu.

Aku tersenyum, nampaknya hari ini aku sudah dapat mendengar suaranya. Memang itu niatku memintanya mengajarku mengaji. Bukan sahaja aku akan dapat ilmu sekali gus membetulkan bacaanku, malah dalam masa yang sama aku mahu dia terasa dekat dan rapat denganku. Sebab tu selesai sahaja dia mengajar penghuni pusat jagaan ini, aku sudah siap sedia mengambil tempat.

"Bagus, Isya. Misi hari ni berjaya." Aku ucapkan tahniah pada diri. Memberi galakan. Perkara biasa yang aku lakukan untuk diriku sendiri.

Tafsir al-Quran aku tutup dan simpan dalam beg galas. Semua lampu dan alat pendingin hawa aku matikan suisnya sebelum keluar dari bilik pengajian ilmu.

"Astaghfirullahalazim." Aku mengurut dada. Terperanjat melihat sesusuk tubuh berada di muka pintu sebelum sempat aku melangkah keluar.

"Assalamualaikum." Abang nurse melambai tangan padaku.

Aku mencebikkan bibir.

"Waalaikumussalam." Aku jelingkan sekali sebelum menutup rapat pintu yang terbuka luas tadi.

Badan aku pusing, ingin segera melangkah pergi tanpa menghiraukannya. Sayangnya abang nurse sedia menghalang laluan. Pergerakanku terbatas. Dalam diam, aku sudah meremang semacam. Teringat kata-katanya pagi tadi. Kalau dia ni bukan abang nurse tapi makhluk lain seperti apa yang dikatakannya pagi tadi macam mana? Aku peluk tubuh. Tayangkan muka garang. Ketakutan tadi aku pendam sahaja.

"Buat apa kat sini?" soalku.

"Cari awaklah. Dia orang semua bagi tahu awak ada kat sini. So, saya datang sinilah cari awak."

"Nak cari saya buat apa? Ada benda yang tak puas hati ke?" Aku menyinga.

Dia senyum panjang.

"Bukan sebab tak puas hati, tapi sebab dah jatuh hati." Abang nurse tersengih-sengih.

"Eleh!" Aku terus bergerak meninggalkannya. Malas nak melawan dia merapu yang bukan-bukan. Sweet talker betul!

"Isya, nantilah dulu." Dia bersuara dari belakang.

Tahu pula dia namaku? Pagi tadi bukan main berlagak, pura-pura tidak tahu namaku. Aku menghentikan langkah dan terus berpaling.

"Awak ni manusia ke jembalang tanah?" Aku tuding jari padanya. Alang-alang dia yang mempersoal tentang statusnya pagi tadi, baik aku tanya terus.

Dia tergelak besar.

"Saya?" soalnya semula.

"Yalah."

"Manusialah. Saya kan abang nurse awak." Lembut dia mengingatkan.

Tapi kelembutan yang dipamerkan itu menyakitkan hati. Pagi tadi bukan main kasar lagi, sekarang lain pula. Dia ni kenapa siang perangai lain malam perangai lain. Keliru betul aku dengan mamat seorang ni. Ada masalah apa sebenarnya dia ni?

"Jadi, awak ingatlah saya ni Batrisyia, kan?"

"Mestilah ingat, kan semalam awak dan bagi tahu nama awak kat saya. Saya baru 23 tahun tau. Belum nyanyuk lagi."

"Habis tu, kenapa pagi tadi awak tak mengaku yang awak jumpa saya malam semalam. Kenapa nak buat-buat lupa?"

"Kita jumpa pagi tadi?" Dia cuba memikirkan sesuatu.

Aku sudah menarik nafas panjang. Dia ni memang nak kena agaknya.

"Betul ke kita ada jumpa pagi tadi?" Dia cuba mengesahkan.

Yalah! Hendak sahaja aku menjerit kuat. Tapi aku simpan sahaja rasa itu. Menjerit di Al-Husna pada malam hari begini memang sengaja cari nahas dengan Kak Win. Mahunya aku balik kena tarik telinga nanti.

Seketika kemudian dia ketawa sambil menggelengkan kepala.

"Awak ni dah kenapa? Ke awak ni ada amnesia? Tak pun DID?"

"DID?" Dia tidak faham.

"Dissociative Identity Disorder. Split personality atau apa-apa ajela." Malas aku nak terangkan dengan lebih terperinci.

"Oh... Erm... Tak mungkin saya ada amnesia. Tapi kalau DID tu... Maybe!" Dengan penuh yakin dia bersuara.

Aku sudah kecut perut. Tidak terfikir pula kalau dia ada DID, aku cuma bercakap ikut sedap mulut sahaja tadi. Tidak, tak mungkin dia penghidap DID. Tapi kalau betul-betul dia adalah salah seorang di antara mereka yang jarang ditemui itu bagaimana? Aku sudah menelan air liur. Pelbagai perkara masuk ke dalam minda sedarku.

"Takut ke?"

Aku tersedar semula dari khayalan apabila ada soalan menujah.

"Buat apa nak takut? Penghidap DID pun manusia juga, bukan jembalang tanah. Dahlah, saya nak balik." Aku putuskan begitu sahaja. Malaslah aku nak fikirkan tentang perkara-perkara tu semua. Lantak dialah nak jadi apa pun.

"Isya, sekejap."

"Apa dia?" Aku tidak jadi melangkah.

"Esok pagi awak ada kat sini, kan?"

"Tengoklah kalau saya rajin." Saja aku tidak mahu dia tahu rencana aku untuk esok hari.

"Isya."

Aku matikan langkahku sekali lagi apabila mendengar panggilannya.

"Apa lagi?!" bentakku.

"Sorry, semalam tak sempat nak bagi tahu. Nama saya, Aidil." Dia memperkenalkan diri secara rasmi.

"Apa-apa ajelah." Aku sudah malas mahu melayannya. Sekali lagi namaku dipanggil. Kali ini aku biarkan sahaja tanpa menoleh ke belakang. Serabut otakku dengan dirinya. 

MR. ANONYMOUSWhere stories live. Discover now