Bab 4

2.4K 77 0
                                    

Sehingga waktu malam, para sukarelawan Kami Prihatin masih mencurahkan bakti. Ada yang masih mengecat pada dinding luar bangunan dan ada yang sedang memulakan sesi ramah mesra bersama para penghuni sebaik sahaja selesai solat isyak.

Aku juga masih di sini. Malam ini dan sepanjang minggu ini aku akan tidur di rumah Kak Win, jadi aku menunggunya untuk pulang bersama-sama. Kak Win selalunya akan pulang pada jam 10 malam selepas memastikan beberapa perkara di sini selesai terlebih dahulu. Lagipun kalau balik lambat pun tak apa, sebab rumah Kak Win bukan jauh sangat dari sini.

Bosan juga hanya menunggu dari tadi jadi aku mengambil keputusan untuk membantu seorang sukarelawan wanita yang sedang mengecat bingkai tingkap dengan cat minyak.

"Tepi sikit kak, saya nak cat sini pula."

Fokus mengecatku mula terganggu. Konsentrasi hilang serta-merta. Aku melirik ke bawah, melihat gerangan yang bersuara. Rupa-rupanya lelaki pagi tadi. Siap duduk bersila di atas lantai yang sudah dilapik dengan surat khabar lama.

Aku mencebikkan bibir. Suka-suka dia nak panggil aku kakak. Entah-entah dia lagi tua daripada aku. Ada juga yang makan malam dengan penampar Jepun.

"Macam tak ratalah cat kat dinding ni. Siapa yang cat dinding ni tadi, kak?" Dia mula membelek dinding di hadapannya.

Amboi, suka-suka nak komen kerja orang lain. Macam dia cat bagus sangat. Mamat ni memang jenis berlagak agaknya. Sabar ajelah. Dahlah tak sudah-sudah panggil aku akak.

"Kak..." panggilnya sambil mendongakkan kepala memandangku.

Apabila mata kami bertembung aku cepat-cepat bagi satu jelingan yang amat tajam. Padan muka, terbalas juga dendam aku pagi tadi.

"Eh, awak. Buat apa kat sini?" soalnya.

Aku berpaling mendengar soalannya. Dia sudah tidak lagi duduk, elok saja dia berdiri tegak di sebelahku. Cepat betul dia bangun. Wajahnya cukup ceria saat ini tidak macam pagi tadi, muka orang tiada perasaan. Sempat juga dia membetulkan rambutnya sambil memandangku. Ceh, ingat handsome sangatlah buat macam tu. Menyampah pula rasanya.

Kali ini aku betul-betul pulangkan paku buah keras. Langsung aku tidak tunjukkan minat untuk teruskan perbualan. Lelaki itu tidak aku hiraukan. Kerja-kerja mengecat bingkai tingkap ini dengan warna hijau aku teruskan. Bukan mahu membalas dendam. Sebenarnya aku mahu dia rasa bagaimana perasaan tidak dilayan apabila orang bertanya.

"Awak buat apa kat sini?" Masih lagi soalan yang sama berulang. Aku juga masih lagi mendiamkan diri seperti tadi.

"Berhentilah buat kerja sekejap, saya tengah bercakap ni." Dia mula merampas berus cat yang sedang bergerak di tanganku. Lalu berus itu dicampakkan ke atas surat khabar yang digunakannya untuk duduk sebentar tadi.

"Eh, apa ni? Suka-suka dia aje nak rampas-rampas. Saya tengah buat kerjalah." Aku cuba untuk ambil kembali berus cat. Namun pergerakanku dihalang dengan badannya.

"Tak baik tau sombong-sombong. Tuhan marah," sinis dia mengenakan.

"Huh, kalau awak yang sombong tak apa pula?" Aku tidak mahu berdiam diri. Dia yang sombong dari pagi tadi, sekarang nak mengata aku pula. Memang saja nak cari pasal namanya.

"Bila masa saya sombong? Awak yang sombong."

Hesy, geram pula aku dengan dia ni. Takkan tak ingat kejadian pagi tadi? Takkan nak aku ingatkan semula? Takkan tak sampai 24 jam sudah hilang ingatan? Ke ada masalah amnesia dia ni?

"Sebelum nak mengata orang lain sombong, cermin dulu diri tu. Berlambak cermin kat dalam bangunan ni. Tak pun dalam bangunan utama tu hampir setiap bilik ada cermin. Guna aje, tak ada orang nak kenakan bayaran." Berapi sungguh aku pada malam yang dingin.

"Awaklah yang sombong. Masa jumpa kat White Cafe bulan lepas buat-buat tak kenal saya. Saya bagi nombor telefon pun awak tak telefon saya balik. Ni dah jumpa depan-depan pun tak nak tegur saya, kan? Sampai hati," terangnya panjang lebar.

White Cafe? Aku terdiam sekejap dan memandang ke atas sambil berfikir. Itu bukan kafe yang aku dan yang lain buat perjumpaan dengan usahawan yang berlagak tu ke? Jadi dia ni... Aku masih berfikir. Aduh, kenapalah lambat sangat otakku nak mengimbas kejadian bulan lepas?

Lelaki yang bagi nombor telefon pada aku hari tu...

"Hah, abang nurse!" Aku memetik jari sambil memandangnya. Patutlah macam kenal.

"Abang nurse?" Dia sudah tergelak besar.

"Abang nurse awak panggil saya ya? Erm, tapi tak apa. Comel juga nama tu." Senyumannya makin melebar.

"Maknanya awak ingatlah kita pernah jumpa sebelum ni? Tapi kenapa buat-buat lupa pagi tadi? Saja nak kenakan saya ke apa?"

"Pagi tadi? Buat-buat lupa? Bila masa pula? Takkanlah saya tak ingat orang yang saya nanti-nantikan panggilan dia."

Ceh, ayat taraf mat romeo betul dia ni. Pagi tadi sikit punya dingin, sekarang bukan main peramah pula.

"Dahlah, tepi sikit. Saya nak sambung buat kerja."

Aku bergerak mendapatkan kembali berus yang dicampaknya tadi. Ingin menyambung kerjaku yang tergendala.

Dia juga terus mengambil berus cat, tapi bukan untuk menyudahkan bahagiannya. Sibuk pula menolongku mengecat bingkai tingkap.

"Eh, pergilah sambung buat kerja awak tadi." Saja aku menghalau. Bukan besar sangat bingkai tingkap yang harus aku cat ini, sekejap saja sudah boleh selesai.

"Tak apa. Biar abang nurse awak ni tolong awak dulu, okey?" Dia meneruskan mengecat bahagian yang belum sempat aku cat sebentar tadi.

Oh, sebut pasal abang nurse baru aku ingat.

"Terima kasih sebab tolong drive saya dan kakak saya ke hospital hari tu."

Sudah empat bulan berlalu. Sekarang baru aku berpeluang untuk mengucapkan kata-kata penghargaan itu.

"Kan awak dah ucap terima kasih hari tu," katanya.

Aku berhenti mengecat, wajahnya aku pandang.

"Ya ke? Bila?" Memang aku tak ingat.

"Masa kat hospital hari tu. Sebelum abang awak sampai. Sebelum awak tinggalkan saya macam tu aje."

Terdiam aku seketika, mengimbas kembali detik itu.

"Oh, dah ucap ek?" Aku garu kepala. Kenapa asyik pelupa sahaja aku ni?

"Tapi kalau awak nak ucap banyak kali pun tak apa," balasnya.

"Tapi saya tak serajin tu." Aku turut membalas. Seketika mataku berjaya menangkap kelibat Kak Win yang nampak sudah siap untuk pulang. Cepat-cepat aku meletakkan semula berus cat ke bawah.

"Saya balik dululah. Jumpa esok. Jangan lupa kemas ni semua ya?" Aku lambaikan tangan padanya kemudian terus berlalu.

"Eh, nanti dulu nama awak apa?!" jeritnya dari belakang.

Aku berpaling.

"Batrisyia. Panggil Isya aje." Aku lambaikan tangan sekali lagi. Kemudian kembali melangkah. Tiba-tiba kakiku berhenti. Mana adil dia sudah tahu namaku tapi aku tidak tahu nama dia. Ini berat sebelah. Aku pusing semula. Mahu mengambil tahu. Biar menjadi perkenalan rasmi. Mudah pada kemudian hari jika terserempak lagi.

"Aik, mana menghilang? Sekejapnya ghaib." Aku tersentak, mataku mencari kelibatnya. Cepatnya dia hilang, sama seperti kejadian di hospital empat bulan lalu.

"Isya, cepat!" panggil Kak Win.

Aku pantas bergerak menghampiri Kak Win bersama rasa curiga. Peliklah dia tu!

MR. ANONYMOUSWhere stories live. Discover now