Bab 3

3K 68 0
                                    

Semua barang yang baru dibeli tadi aku keluarkan dari bonet kereta. Kak Win sudah meluru ke dalam kerana ada hal penting yang ingin diuruskan. Nasib baik Pak Cik Khalid dan Pak Cik Yazid datang membantu. Walaupun mereka sudah tidak sekuat mana, mereka masih ringan tulang untuk membantu apa-apa yang patut.

Aku pula tidak mahu membebankan mereka dan hanya menyerahkan barang-barang yang ringan sahaja untuk dibawa masuk ke dalam stor barangan di belakang Pusat Jagaan Warga Emas Al-Husna.

"Ramai sangat hari ni kenapa, pak cik?" Aku memandang parkir yang berhadapan dengan pintu masuk utama Pusat Jagaan Warga Emas Al-Husna.

"Sukarelawan datang buat aktiviti. Awin yang panggil dia orang katanya," kata Pak Cik Khalid sebelum berlalu masuk ke dalam.

Oh, ya. Aku terlupa Kak Win ada bagi tahu aku semalam, sukarelawan daripada badan Kami Prihatin akan datang hari ini untuk melihat bantuan yang boleh disalurkan untuk bangunan yang baru siap dibina. Sekali gus meneruskan khidmat kasih yang dijalankan hampir setiap bulan untuk penghuni pusat jagaan ini.

Kak Win juga merupakan salah seorang ahli badan 'Kami Prihatin' jadi senang untuk Kak Win meminta bantuan pertubuhan tersebut bagi membantu Pusat Jagaan Warga Emas Al-Husna.

Aku cepat-cepat membawa masuk semua barang ke dalam stor. Sesudah menempatkan semua barangan pada rak yang disediakan, aku menutup pintu stor. Kawasan ruang utama yang sering menjadi tempat penghuni di sini bersosial sudah penuh dengan para sukarelawan dan penghuni.

Gelak ketawa sentiasa mengiringi setiap perbualan mereka. Aku turut tersenyum. Sukarelawan itu semua sudah selalu ke mari jadi penghuni di sini tentunya sudah terbiasa dengan kehadiran mereka.

Aku mengerling ke sudut bacaan, mencari seseorang dan ternyata orang yang aku cari ada di situ. Masih termenung jauh memandang ke luar jendela sambil memegang tasbih, bibirnya terkumat-kamit mengalunkan zikir. Aku bergerak menghampirinya.

"Chik Hani," panggilku apabila kehadiranku disebelahnya langsung tidak disedari.

Dia berpaling memandangku. Seperti biasa, dia hanya melemparkan senyuman kecil kemudian memandang ke luar jendela semula.

Aku mengeluh berat. Memang begitu sahaja reaksinya kepada sesiapa sahaja yang datang menyapanya. Sudah lima bulan dia di sini memang aku tidak pernah nampak dia berbual dengan sesiapa pun. Suaranya hanya akan keluar apabila dia mengajar penghuni di sini mengaji al-Quran. Jika tidak, hanya senyuman tawar yang dipamerkan kepada kami semua.

Aku menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengannya. Tangannya yang tidak bertugas memegang tasbih aku genggam lantas menghadiahkan satu kucupan lembut. Dia menoleh padaku sekali lagi.

Kali ini aku masih terus lemparkan senyuman, aku mahu dia rasa masih ada kasih untuknya melalui sentuhanku. Itu yang aku lakukan setiap kali aku bertemu dengannya. Seperti biasa, matanya bergenangan kemudian dia memalingkan mukanya ke luar semula.

Aku selalu berharap agar dia rasa selesa dengan kehadiranku dan mungkin satu hari nanti semua yang aku lakukan ini akan membuatkan bibirnya bergerak, mengeluarkan patah kata, bercakap dan meluahkan rasa hatinya padaku.

Aku tahu banyak yang dia pendamkan sejak pertama kali melangkah ke sini. Aku ingin tahu kisahnya. Apa yang menyebabkan dia sendiri menghantar dirinya ke sini? Kisahnya kelihatan berbeza dengan penghuni-penghuni lain yang kebanyakannya di sini kerana dibuang oleh anak-anak yang tidak mengenang budi. Aku benar-benar ingin tahu kerana aku ingin berkongsi rasa dengannya.

"Chik Hani tahu Isya sayang Chik Hani, kan?" soalku saja memancing untuk dia berbual.

Perbualan yang aku mulakan terbiar sepi begitu saja. Sama seperti hari-hari yang lalu. Namun aku juga tidak mahu mendesak dan memaksa. Biarlah. Mungkin wanita itu punya sebab yang tersendiri untuk terus berkelakuan begitu. Semoga satu hari nanti akan terbuka juga suaranya untukku dan orang lain.

MR. ANONYMOUSWhere stories live. Discover now