Bab 8

2K 63 0
                                    

Tujuh tahun kemudian...

Pendekatan baik pulih tetap terus dijalankan walaupun hanya aku seorang sahaja yang berada di restoran ini. Zaini tiba-tiba ada hal penting, jadi hanya aku seorang sahajalah yang akan meneruskan misi penting yang sudah kian lama tertangguh.

Jika tidak mengenangkan kes ini melibatkan kawan baikku Nora, tidak mungkin aku mahu diheret sama dalam kisah percintaan dia dan Mokhtar. Nora! Jika dia sudah bergaduh dengan Mokhtar, habis kawan-kawan akan terbabit sama. Tak kiralah sama ada secara langsung mahupun tidak. Sejak daripada mereka mula bercinta di universiti, sehinggalah sekarang, aku rasa sudah tidak terkira berapa kali mereka bergaduh. Yang pasti setiap kali itu jugalah aku dan Zaini yang akan menjadi penasihat tidak bertauliah. Bertugas menyelesaikan konflik peribadi mereka.

Jam di tangan aku teliti. Sudah hampir sejam aku menunggu, tapi bayang Nora mahupun Mokhtar masih tidak kelihatan. Aku keluarkan telefon bimbit cuba untuk menghubungi Nora.

Sudah puas aku hubungi Nora, dia masih juga tidak sampai-sampai. Tak ada cara lain, terpaksa aku menelefon Mokhtar pula. Mereka berdua memang jenis manusia yang suka membuatkan aku jadi penunggu. Nasib baik tahap kesabaranku masih tinggi, jika tidak sudah lama aku letak jawatan daripada menjadi kawan mereka berdua.

"Wei, kau kat mana ni? Bila nak sampai? Dah jenuh aku tunggu ni." Terus sahaja aku serbu dirinya dengan soalan. Malas mahu berbasa-basi dengan orang yang tidak menitikberatkan soal kepentingan menepati masa.

"La, kan aku kata aku tak datang. Aku ada hallah."

Amboi, senangnya dia bercakap. Hati yang masih lagi boleh bersabar sebentar tadi sudah mula berapi.

"Hei Mok, kau jangan nak banyak cakap ek. Aku suruh datang tu datang ajelah. Bukannya lama pun, sekejap aje."

Aku tidak kira, walau apa pun, dia perlu berjumpa dengan aku dan Nora sekarang juga. Aku dan Zaini sudah tidak sanggup mendengar Nora membebel tentang dia setiap hari. Itu belum masuk lagi kata-kata yang diluahkan Nora di Twitter miliknya. Aku sebagai pembaca hanya mampu menggelengkan kepala. Macam-macam luahan perasaan yang tertera.

"Aku memang tak bolehlah. Aku ada hal ni." Dia masih berkeras.

"Ala, sekejap ajelah. Aku tak kira... Kau kena datang juga. Kalau kau tak datang, kau tahulah nasib kau nanti."

Aku terus matikan talian setelah mengugut yang aku sendiri tidak tahu sama ada boleh menakutkannya atau tidak.

Suka-suka dia sahaja mahu mengelak daripada berjumpa denganku. Sejak dua hari lepas aku sudah membuat janji temu dengannya untuk bertemu pagi ini, boleh pula dia mahu mengelak. Nampak seperti aku sahaja yang bersusah payah mahu menyelesaikan masalah mereka berdua. Sehinggakan aku sanggup mengorbankan kelasku pagi ini. Boleh pula dia buat selamba. Memang dah kering agaknya hati dan perasaan Mokhtar sejak bermasam muka dengan Nora hampir sebulan lamanya.

Nora pula satu hal. Sama dan serupa. Dua kali lima. Sampai sekarang masih lagi tidak muncul-muncul. Pasti dia tidur semula selepas solat subuh, perangai sejak dahulu tidak pernah mahu berubah.

Dalam keterpaksaan, aku terus-menerus menghubunginya, walaupun dia tidak menjawab panggilanku. Bosan menunggu agar panggilanku yang sudah berpuluh-puluh kali itu berbalas, maka aku putuskan untuk mematikan talian dan log masuk ke dalam akaun Twitterku.

Susah sangat ke nak faham hati seorang wanita? #awakkejam @MokhtarAnuar

Terbeliak mataku melihat Tweet terbaru Nora yang baru beberapa minit. Aku mengetap bibir menahan marah. Boleh pula dia melayan Twitter tapi panggilanku langsung tidak mahu dijawabnya. Dengan rasa geram yang menebal aku terus membalas.

MR. ANONYMOUSWhere stories live. Discover now