Bab 11

1.1K 39 0
                                    

Hilman sudah berpeluk tubuh memandang ke luar pagar. Matanya tepat memandang Aidil yang sedang cuba memarkir kereta di luar rumah. Habislah aku, susah kalau macam ni. Aku yang tersepit.

"Kenapa? Dah tak percaya kat abang kandung sendiri ke nak menolong?" Hilman sudah tarik muka.

"Bukan macam tu. Aidil yang nak tolong. Jadi, orang biar ajelah. Dia nak cari pahala tu. Tolong orangkan dapat menambah pahala." Aku bagi jawapan selogik mungkin. Dengan Hilman jangan buat main, nak-nak bila dia sudah tarik muka.

Dia terus menoleh, memandangku.

"Orang pun nak tambah pahala juga." Ada sahaja jawapan balas daripadanya.

"Hilman tak apa, dah banyak pahala. Aidil tu macam... Kekurangan pahala." Sengaja aku melawak. Cuba menceriakan keadaan yang membuatkan aku seram sejuk sekarang.

Habis kepala aku kena lekuk dengan Hilman.

"Aduh, sakitlah!" Aku usap kepala yang tidak sesakit mana. Sengaja aku mengadu, nak mencambahkan rasa bersalah dalam hatinya.

"Isya guna apa ukur takat pahala orang lain? Suka-suka mulut aje bercakap, ya?" Rajin pula dia membela Aidil.

Aku tarik muncung.

"Orang gurau aje pun," kataku perlahan.

Mana boleh salahkan aku. Aidil yang bersungguh-sungguh nak menolong masa aku bagi tahu dia aku mahu pindah rumah hari ini. Takkan aku nak menolak pula? Nanti apa pula dia kata. Tup tup pagi tadi Hilman pula telefon kata mahu menolong aku mengangkut barang, dah tentulah aku terpaksa tolak.

Berapa banyak kereta nak angkat barang-barang aku? Bukannya banyak pun, barang peribadi sahaja. Perabot di rumah tu semua tuan rumah yang punya. Lagipun di rumah ini semua peralatan Hilman sudah sediakan. Aku cuma perlu cuci kaki sahaja.

Tiba-tiba sahaja Hilman berpusing menghadapku. Aidil yang sudah keluar dari kereta dan mengeluarkan barang-barangku sudah tidak dihiraukannya.

"Betul ke Isya dengan Aidil tu teman tapi mesra aje?"

Soalan sama yang sudah biasa aku dengar. Setiap kali soalan itu keluar, aku akan berikan jawapan yang sama. Takkan hari ini pun nak berikan jawapan yang sama juga? Biarlah, bukan Hilman ada skema permarkahan pun untuk soalan itu.

"Ya, teman tapi mesra. Titik, noktah!" Aku perdengarkan lagi jawapan yang sama seperti selalu.

"Apa benchmark teman tapi mesra?" Soalan tambahan kedengaran.

Aku sudah garu kepala. Ada pula soalan tambahan hari ini. Selalunya lepas aku bagi jawapan seperti tadi tiada lagi soalan susulan. Hari ni ada pula. Kalau soalan yang senang-senang tak apalah juga. Ini soalan yang boleh buat aku terdiam.

"Erk..." Otak masih lagi mencari idea. Rasa macam mahu suruh Aidil sahaja jawab soalan itu. Tapi aku yakin Hilman tidak mahu jawapan daripada Aidil, dia mahu jawapan daripadaku, adiknya.

"Erk? Apa erk erk?"

Aku menjeling. Tak sabar-sabar. SPM pun ada masa diperuntukkan untuk menjawab. Inikan pula soal hati dan perasaan. Kenalah ambil masa untuk berfikir jawapan yang sepatutnya.

"Hah, benchmark dia macam orang dengan Aidillah."

Berkerut dahi Hilman.

"Jawapan apa macam tu? Macam tak logik aje?"

Memanglah tak logik sebab aku main hentam sahaja.

Kenapa aku kata kami teman tapi mesra? Sebab kami tidak pernah meluahkan rasa cinta antara satu sama lain. Yang aku tahu, selepas berkenalan dengan Aidil, aku dan dia memang rapat. Yang aku pasti, dia suka aku dan aku pun sememangnya suka dia. Yang aku yakin, rasa cinta itu sudah lama bercambah dalam hati kami berdua.

MR. ANONYMOUSWhere stories live. Discover now