BAB 1

85 1 0
                                    


Tahun 2016

Universiti Islam Antarabangsa, Gombak...

MAYA berjalan menuju ke arah perpustakaan yang terletak di tengah-tengah pusat pengajian tinggi itu. Sebuah beg sandang kelihatan terpikul kemas di bahu. Beberapa buah buku berkulit tebal selesa dikelek di tangan sahaja. Beberapa orang pelajar berjalan berpapasan dengannya. Kesemua mereka kelihatan ligat mengejar masa.

Minggu itu adalah minggu yang diperuntukkan oleh pihak universiti untuk mereka mengulangkaji pelajaran sebelum demam peperiksaan akhir bermula. Sebagai pelajar jurusan Undang-Undang di tahun akhir, dia tidak mahu membuang masa. Saki-baki tempoh pengajian yang ada perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya demi memastikan senarai dekan yang disandang berjaya dikekalkan.

"Maya!"

Langkah Maya terhenti. Spontan dia berpaling ke belakang. Kelihatan seorang gadis berbaju kurung moden berwarna merah jambu lembut berlari-lari anak mendapatkannya.

"Kau nak pergi library ke?" soal Julia sebaik menghampiri Maya. Nafasnya kedengaran sedikit termengah-mengah.

Maya mengangguk.

"Haah. Aku nak buat revision sikit. Tak bestlah study dalam bilik. Panas," ujar Maya seraya mengatur langkah memasuki perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah yang terletak berhadapan dengan bangunan perpustakaan itu. Beberapa orang pelajar daripada luar negara kelihatan sedang berjalan memasuki kawasan masjid itu bersama buku-buku di tangan masing-masing.

"Aku nak join!" Julia tersengih-sengih merenung Maya yang serius memandang ke hadapan.

"Jomlah. Tapi jangan kacau aku. Bukan aku tak tahu perangai kau. Time orang sibuk nak study tu lah yang kau sibuk nak copy nota aku!"

Julia tergelak kecil.

"Taklah. Aku nak study jugak. Nextweek start dengan subjek susah kot," rungut Julia. Hatinya sedikit risau. Berada di tahun akhir sememangnya bukan satu perkara yang mudah. Subjek yang dihadapinya menuntut otaknya untuk bekerja dengan lebih ligat. Timbunan buku akta yang berbagai warna turut membuatkan nafasnya menjadi sesak.

Waktu yang tinggal untuk mereka menelaah hanya singkat. Sedangkan persediaan yang telah dibuat masih tidak mencapai 50%! Tidak semena-mena jantung Julia mengepam pada kadar yang laju. Hatinya menjadi bertambah walang.

"Eh, tu Audra kan?" soal Maya sebaik melihat kelibat teman sebiliknya yang sedang berjalan seorang diri.

Julia menjenguk ke arah sebuah lorong yang menghubungkan bangunan itu dengan Kuliyyah Ekonomi. Seorang gadis berjubah merah hati sedang berjalan melintasi kaki lima perpustakaan itu. Tangkah demi tangkah anak tangga dipanjat sebelum gadis itu menghilangkan diri di dalam perpustakaan bersama timbunan buku rujukan di dalam pelukannya.

"Dia nak study jugak kot," balas Julia.

"Yelah kot," ujar Maya seraya meluru masuk ke dalam perpustakaan.

Beg sandang yang dipikulnya diletakkan ke dalam locker. Sebuah buku nota dan sebuah kotak pensil dibawa bersama dengannya. Langkahnya diikuti oleh Maya. Kad pelajar digeserkan di atas sebuah papan pemuka di pintu masuk ke perpustakaan. Sebaik palang terangkat secara automatik, kedua-dua gadis itu berjalan masuk ke dalam bangunan itu. Masa semakin pantas berjalan. Dan mereka perlu cepat membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan akhir itu.

Waktu sudah hampir senja ketika kedua mereka sampai ke bilik masing-masing. Maya dan Julia menginap di Mahallah Hafsa. Bilik mereka yang saling menghadap di antara satu sama lain membuatkan mereka kerap mengulangkaji pelajaran bersama-sama.

Projek Seram Mitos - MaryatiWhere stories live. Discover now