BAB 4

38 0 0
                                    


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak...

SETELAH hampir dua minggu berperang dengan kertas peperiksaan dan nota-nota yang bersusun di atas meja, akhirnya Maya sudah boleh menarik nafas lega. Apa yang terbayang di depan matanya hanyalah bantal berwarna hijau yang paling empuk dan tilam yang paling lembut di dalam biliknya.

Dia berjalan selama hampir lima belas minit untuk pulang ke bilik. Rasa lapar yang bergendang di dalam perut tidak dihiraukan. Dia hanya mahu sampai ke biliknya secepat yang boleh dan melelapkan mata. Otaknya benar-benar letih. Seluruh tubuhnya terasa lelah tidak bertenaga.

Sebaik sebelah kakinya mencecah masuk ke dalam bilik, wajahnya disapa angin yang menderu daripada putaran bilah kipas di bilik Audra. Daun pintu segera ditutup rapat. Punatnya ditekan. Lalu dia berjalan masuk ke dalam biliknya.

Kotak pensil yang dikeleknya sejak tadi diletakkan ke atas meja. Tudung berwarna hitam yang melekap di atas kepala ditanggalkan. Pakaiannya diganti dengan sehelai tshirt dan seluar track berwarna kelabu. Suis kipas ditekan. Beberapa saat kemudian bilah kipas mula berputar.

Maya menghampiri jendela. Bidai jendela dirapatkan ke bawah. Serta-merta pencahayaan di dalam bilik itu menjadi sedikit gelap. Dia menguap seketika. Tidak semena-mena, kelopak matanya terasa memberat. Tanpa bertangguh lagi, dia terus mendapatkan tempat di atas katil. Kedua-dua biji matanya terasa seperti digam-gam. Sebaik kepalanya bertemu dengan bantal, dia terus terlena.

Tetapi lena Maya terganggu. Bunyi bising membuatkan Maya tersedar daripada tidur. Dia berkerut menahan rasa pedih yang menujah mata. Kepalanya terasa berpinar. Sisa mengantuk masih ada, tetapi bunyi bising membuatkan dia terjaga lebih awal daripada sepatutnya.

Telefon bimbit yang terselit di bawah bantal ditarik keluar. Maya merenung skrin telefon yang gelap itu dengan mata yang terkebil-kebil. Jarinya menggeser permukaan skrin itu. Waktu yang tertera di bahagian atas kiri skrin telefon bimbit itu diperhatikan sebelum gadget itu diletakkan semula ke atas tilam.

"Baru pukul 1.30... Apa ajelah yang si Audra ni buat..." omel Maya dengan muka yang berkerut.

Bunyi pintu almari yang dihempas dan kotak-kotak yang bergeser di atas lantai benar-benar membuatkan dia berasa tertekan. Seharian dia tidak cukup tidur. Kali ini dia diganggu pula dengan bunyi bising sebegitu.

Maya mendongak ke atas. Seketika dia berdecit. Rasa geram membuak-buak. Tetapi dia tidak mahu mencetuskan pergaduhan dengan Audra. Apatah lagi gadis itu bakal pulang ke Indonesia dan mereka mungkin tidak berpeluang untuk bertemu lagi selepas ini.

Dengan rasa penat dan mengantuk yang masih bersisa, dia mencapai sebiji bantal yang tergeletak di hujung kaki. Posisinya diubah kepada mengiring menghadap dinding. Bantal itu pula ditekap ke atas telinga.

"Lantak kaulah Audra. Jangan memekak dalam bilik aku ni sudah..." bebel Maya lalu memejamkan mata.

Tidak semena-mena bunyi bising yang membingit tadi hilang mendadak. Maya terpempan.

"Dia dengar ke apa yang aku cakap?" bisik Maya dengan kening yang berkerut.

Perlahan-lahan dia mengalihkan bantal di tangannya. Maya bingkas bangun dan duduk bersila di atas katil. Telinganya dipicing tajam. Tetapi ruang bilik itu bertukar sunyi-sepi. Dia menjenguk ke bahagian atas almari. Melalui ruang yang terbuka di bahagian atas, dia dapat melihat bayangan bilah kipas yang sedang berputar di dalam bilik Audra. Tetapi keadaan tetap serupa. Senyap dan sunyi.

Projek Seram Mitos - MaryatiWhere stories live. Discover now