Kampung Rapik,
Daerah Gunung Sari, Balik Papan...
DADA langit sudah lama bertukar gelap. Hampir keseluruhan kawasan perkampungan itu dibungkus dengan suasana sunyi. Beberapa orang pemuda kelihatan berpeleseran di simpang masuk ke kampung itu. Selebihnya lebih suka berkurung di dalam rumah masing-masing.
Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk kampung itu untuk mengelak daripada berada di luar rumah sebaik senja menjengah tiba. Ada di antara mereka yang tahu tentang punca kebiasaan berkurung di dalam rumah sebaik senja berlabuh. Selebihnya hanya mengikut sahaja pantang-larang orang-orang tua di situ.
Faridah menatang sebuah dulang yang terisi dengan sebuah teko dan beberapa biji cawan. Sebuah piring yang diisikan dengan sedikit kuih turut diletakkan di atas dulang itu. Langkahnya diatur perlahan menuju ke ruang tamu. Bunyi siaran televisyen yang terpasang di ruang tamu menerobos masuk ke dalam gegendang telinganya.
"Ibu, mari minum. Hari ini Idah ada buatkan sedikit kuih," pelawa Faridah sebaik matanya tertancap pada seorang perempuan tua yang duduk merenung ke kaca televisyen.
Perempuan tua itu tidak menjawab. Sepasang anak matanya hanya terpaku pada televisyen seolah-olah dia memahami setiap butir patah perkataan yang disampaikan. Faridah menoleh seketika ke dada televisyen. Sebuah rancangan dokumentari berbahasa Inggeris sedang rancak ditayangkan. Seketika dia menggelengkan kepala.
"Ibu, ini air kopi panas. Ibu sukakan?" soal Faridah seraya menuangkan sedikit kopi ke dalam sebuah cawan kaca.
Bau wangi air kopi itu semerbak menusuk hidung. Faridah menyuakan cawan itu ke arah Faridah. Tetapi ibunya masih tidak memberikan sebarang reaksi.
Faridah mengeluh. Hari itu Sastra tidak berselera menjamah makan malam walaupun makanan yang disediakan olehnya adalah makanan kegemaran ibunya. Penyudahnya dia cuba memujuk Sastra untuk menjamah sedikit kudap-kudapan kerana bimbang Sastra akan kelaparan. Tetapi usahanya tetap tidak menunjukkan sebarang keberhasilan.
Bunyi pintu bilik dibuka membuatkan Faridah menoleh ke belakang. Seraut wajah manis berkulit cerah tersembul di muka pintu.
"Auni, mari makan di sini. Ibu ada buatkan kuih kesukaan Auni," ajak Faridah sebaik gadis itu melangkah menuju ke arahnya.
Auni tersenyum manis. Dia melabuhkan duduknya di sebelah ibunya sambil menjenguk ke atas meja. Barisan kuih yang tersusun di atas piring kelihatan menyelerakan. Tidak semena-mena seleranya membuak-buak walaupun dia baru sahaja mengisi perut.
"Wah, enak sekali ni, bu," ujar Auni seraya mengambil seketul kuih berwarna kuning itu. Lalu disuakan ke dalam mulutnya.
"Jangan gelojoh. Bismillah sudah dibaca belum?" tegur Faridah.
"Sudah. Dalam hati," jawab Auni. Tawa halus kedengaran meletus daripada mulutnya yang dipenuhi dengan isi kuih.
Faridah tersenyum tawar. Seketika wajah Audra menjengah masuk ke dalam fikirannya. Perasaan rindu tidak semena-mena mengetuk dada. Hati tuanya sedikit lega sebaik memikirkan yang Audra bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi.
Hatinya akan terasa tenang sekiranya kedua-dua anak perempuannya ada di depan mata. Jika tidak, setiap saat fikirannya akan sarat memikirkan tentang keselamatan dan kebajikan mereka berdua. Apatah lagi Audra berada jauh di Malaysia.
Auni menyentuh paha Faridah. Seketika Faridah menoleh ke arahnya. Keningnya dijongket tanda menunggu patah perkataan daripada Auni.
Auni memberikan isyarat mata ke arah Sastra yang masih jauh mengelamun. Faridah menarik nafas dalam-dalam.
YOU ARE READING
Projek Seram Mitos - Maryati
Horror"Pabila keangkuhan memakan diri, kemaafan dituntut sehingga mati!" Hidup Sastra dipenuhi perasaan dendam. Separuh daripada hayatnya dihabiskan dengan kemarahan yang tidak pernah pudar. Ada sesuatu yang berbekas di dalam jiwa. Ada hati yang sudah ter...