01 (333)

82 10 6
                                    

"3D dan yang lain F."

Pama senyap. Rokok di mulutnya dihisap dan dihembus kasar di hadapan mak. Serabut.

"Mak bercakap dengan kamu ni, Pama!" Terus, rokok di mulut Pama ditampar sehingga jatuh ke tanah. Terus amarahnya meluap naik. Suaranya dinaikkan.

"Mak! Kakak beli mahal tu!" Rokok yang jatuh ke tadi diambil semula. Tiup-tiup sedikit, kemudian dimasukkan semula ke dalam mulut. Wajah garang mak langsung tidak diendah.

"Habis? Duit mak bayar yuran kamu, kamu tak hargai?"

"Oh? Mengungkit? Eh kakak tak hadap la dengan duit mak tu! Kalau tak nak tanggung kakak, tak payah la! Ingat kakak nak sangat ke belajar apa semua ni? Arh! Bising!" Slip keputusan peperiksaan dirampas dari tangan mak. Wajah mak yang sedikit terguris dijeling dan terus Pama keluar dari rumah kayu kecil itu. Entah ke manapun mak tidak tahu.

"Melentur buluh, biar dari rebungnya."

"Awak jangan nak perli-perli saya. Awak ingat saya sengaja manjakan dia dahulu? Mak awak juga yang marah-marah saya bila saya pukul Pama." Mak menjeling ayah yang lenggang membaca surat khabar di kerusi malasnya.

"Betullah anak awak tu cakap, awak memang suka mengungkit, kan? Habis, saya nasihat awak dulu supaya jangan ambil hati dengan mak, awak tak nak ungkit pula?" bebel ayah pendek. Walau hakikatnya, nada suaranya santai sahaja. Matanya pun langsung tidak terarah kepada mak.

"Habis, salah saya lah ini?"

"Nampaknya begitulah," kata ayah sambil membelek lagi helaian akhbarnya.

Mak mengeluh panjang. "Habis? Macam mana?"

Ketika itu, barulah ayah menutup akhbarnya. Matanya melihat wajah mak sambil tersenyum sedikit sinis. "Awak sanggup ke nak habiskan duit untuk anak awak tu?"

"Jangan perli saya boleh tak? Saya sanggup buat apa sahaja untuk perbaiki akhlak Pama tu. Dia bukannya kecil lagi, dah 16 dah pun." Mak mengadu resah. Dia yang berdiri mula duduk di kerusi sebelah ayah.

Ayah senyum lagi, "Walaupun harga yurannya RM500?"

Mak senyap. Tahulah mak apa yang ayah ingin cadangkan. Serupa tahun-tahun lepas. Cuma dulu, dia lebih sayangkan wangnya. Tapi kini.... Mak mengeluh.

"Ya. Saya sanggup." Dan ayah pun tersenyum lembut.

PAMA Where stories live. Discover now