MENCARI HAKIKAT KEHIDUPAN

30 2 0
                                    

   Sahabat-sahabatku yang baik, apa agaknya status emosi kita ketika ini? Mungkin kita sedang rasa gembira yang teramat sangat, atau barangkali sedang bersedih, murung, geram, kecewa atau boleh jadi juga kita hanya rasa hambar sahaja. Seperti tidak ada 'rasa' apa-apa.

  Begitulah ...  Perasan atau tidak, sebenarnya, kita sentiasa bergelumang dengan 'rasa-rasa' seperti itu. Sekejap kita sedih, sekejap lagi kita sudah boleh tersenyum dan ketawa berdekah-dekah. Kerana itu, biar apa pun perasaan kita sekarang ini, pujuklah hati. Perasaan itu tidak lama. Sekejap ada, sekejap sirna. Sekejap datang, sekejap lagi hilang.

  Hakikatnya, dalam mengendalikan hati, kita mesti sedar satu perkara. Tidak Sempurna kejadian seseorang manusia, jika tidak diuji oleh Tuhannya. Firman Allah menerusi kalam-Nya yang mulia jelas mengingatkan kita bahawa manusia akan sentiasa diuji. Bukan sekali, malah berkali-kali. Jika diandaikan kita berada di tengah lautan, tentu kita tahu bahawa pada bila-bila masa sahaja kita akan dipukul gelombang. Tatkala ia datang memang kita terpaksa berhabis-bahisan tenaga untuk menghadapinya.

  Namun pengalaman kita sendiri sudah cukup menjadi bukti. Bukan setiap masa kita diuji. Ada masa-masanya, keadaan tenang sahaja. Kita sempat menarik nafas lega. Kita sempat ketawa dan tersenyum gembira. Cuma, sudah tentu putaran itu akan terus berulang. Laut yang tenang, sudah pasti akan kembali dipukul gelombang. Namun, antara sela gelombang yang menghempas dan rasa damai yang bertunas, ternyata hingga ke hari ini, kita terus menghela nafas.

  Kalau kita sedar hakikat itu, mudahlah bagi kita memujuk hati. Tatkala hati kita mebara-bara berdepan dengan kemarahan, mudahlah bagi kita membawa hati kembali kepada Tuhan. Tatkala kita tidak diasak kesedihan, mudahlah bagi kita memberi kefahaman kepada fikiran. Ini ujian. Aku sedang diuji, dan aku mahu lulus ujian ini.

  Manusia ialah sebaik-baik kejadian. Itu jaminan Allah. Jika seorang manusia mampu mengendalikan hatinya seiring kehendak Yang Maha Esa, maka dia jauh lebih mulia daripada para malaikat yang tidak pernah melakukan dosa. Namun, bukan mudah untuk sampai ke tahap itu. Mengalahkan musuh yang nampak sahaja pun sudah terasa letihnya, apatah lagi berdepan dengan musuh yang tidak ketara. Setiap masa kita terpaksa bergelut dengan bisikan jahat syaitan yang tidak pernah berputus asa. Ditambah pula dengan bisikan nafsu yang celaka. MashaAllah, semua itu cukup meletihkan kita!

  Namun, Allah Yang Maha Sempurna membekalkan kita dengan fitrah. Fitrah untuk sentiasa bermujahadah. Dalam pada kita hanyut seketika malayan nafsu, dijentiknya kita agar kemvali kepada fitrah itu. Ingat Allah. Ingat Allah. Ingat Allah. Hanya dengan mengingati Allah, yang tersungkur, mampu bangkit kembali. Yang tergelincir mampu kembali berdiri.

  Begitulah putaran kehidupan seorang manusia, hingga sampai ketikanya di mana semuanya sudah berakhir buat kita. Masa yang diberi sudah tamat tempohnya. Nyawa yang dipinjamkan perlu diambil semula. Sebelum detik itu tiba, kita perlu yakin dan percaya bahawa, hidup ini adalah medan ujian. Kemarahan dan kesedihan yang kita lalui adalah ujian. Bahkan harta dan kesenangan juga adalah ujian. Dia mahu melihat bagaimana kita berdepan dengan segala ujian. Semakin mendekat kepada-Nya atau semakin hilang pedoman?

  Sebab itu, kalau ketika ini kita sedang bersedih dan menderita, pujuklah hati untuk menerima ujian itu dengan gembira. Benar, sepatutnya kita gembira setiap kali menerima ujian. Sungguh! Ujian merupakan petanda bahawa kita sedang dalam perhatian. Tahukah kita bahawa perempuan sufi bernama Rabiatul Adawiyah menangis dan merintih kalau sudah lama tidaj sakit atau diuji dengan kesusahan? Lihatlah, bagaimana dia begitu bimbang dilupakan Tuhan. Lalu, kita bagaimana pula? Tidakkah sedetik rasa malu di hati tatkala mulut lancar sekali mengeluh ketika diuji?

  Sahabat-sahabatku yang baik hati, mari kita memujuk hati. Kalau mahu menangis pun, menangislah sepuas hati kita. Sememangnya Allah mencipta air mata untuk digunakan oleh manusia. Lepaskan semua yang terbuku di hati. Namun, apabila tekanan berasa lega, pujuklah hati sendiri. Ujian ini tanda kasih sayang Allah pada kita. Kesedihan tidak akan kekal selamanya. Ia akan berakhir. Ada tempoh tamatnya. Selepas semua penderitaan ini, kita pasti akan tersenyum semula dan ketawa seperti biasa. Bukankah sering dikhabarkan kepada kita bahawa hidup ini ibarat putaran roda? Sekejap kita di atas, sekejap lagi kita di bawah. Sekejap tadi kita bersedih, sekejap lagi okaylah.

  Sebaliknya pun begitu juga. Kalau ketika ini kita sedang rasa seronok dan begitu teruja. Kawallah kegembiraan kita. Jangan sampai keterlaluan. Apa pun anugerah atau pencapaian yang kita dapat ketika ini, jangan lupa bahawa itu pemberian Tuhan. Jadi di samping kegembiraan itu, sertakanlah rasa syukur kepada-Nya. Selain itu jangan lupa selitkan juga rasa malu. Malu kerana walaupun dengan dosa demi dosa yang kita buat, Allah masih sudi memberikan nikmat demi nikmat.

  Malah jangan lupa, di sebalik kegembiraan yang kita kecap ketika ini, timbulkan juga sedikit rasa waspada. Adakah nikmat yang diberikan Allah ini benar-benar satu anugerah yang dihulur Allah dengan penuh kasih sayang dan hidayah? Atau adakah satu istidraj yang dicampak Allah dengan penuh murka kerana ingin kita semakin hanyut dan jauh daripada petunjuk-Nya? Nauzubillah ... semoga kita dijauhkan daripada sesuatu seperti itu. Jesturu, semaklah hati kita selalu.

  Tidak ada suatu kesusahan atau bala (bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. (ingatlah) Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Al-Hadid 57: 22-23)

                ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

" Jangan Benci Hujan

Hujan yang berpanjangan
Akan membuatkan kita
Lebih menghargai kehadiran matahari.
Ujian yang berterusan akan
Membuatkan kita semakin kuat
Dan mengerti hakikat hidup ini. "

°°°°°°°°°°°°°°°°

Kata HatiWhere stories live. Discover now