BELAJARLAH UNTUK BERSYUKUR

17 1 0
                                    

Ada seorang sahabat mengeluh. Katanya, sudah betahun-tahun kahwin masih tidak dapat anak juga. Kata saya, "Tidak ada anak tidak mengapa. Bukankah masih ada suami yang menemani?" Dia pantas membalas sambil ketawa. "Memanglah ada suami, tapi anak pun mahu juga!"

Saya cuba menduganya lagi, "Kalau sudah dapat anak perempuan, mesti mahu pula anak lelaki." Sahabat tadi masih ketawa. Jawabnya, "Tentu. Mestilah nak juga!" Melihatnya beria-ia berkata sambil cuba membeliakkan mata, saya pula yang ketawa. Tenggelam sekejap masalah yang dibincangkan.

Memikirkan persoalan tadi, teringat saya tentang sabda Nabi SWT :"Manusia kalau diberi dua gunung emas sekalipun, dia tetap akan minta gunung emas yang ketiga!" Aduhai ... tajam sungguh sindiran Baginda tetapi itulah hakikatnya. Kita sentiasa berasa tidak puas hati dengan apa yang kita ada. Belum kahwin, risau memirkirkan soal jodoh. Apabila sudah berkahwin, memirkirkan soal anak buat kita terus mengeluh. Sudah ada seorang anak, terasa mahu tambah seorang lagi. Apabila sudah ramai anak, kita merungut dengan belanja yang berganda-ganda dan keletihan melayan kerenah mereka. Alahai, bila agaknya hati kita akan tenang?

Sahabat-sahabatku yang baik, perasaan tidak puas dengan apa yang ada sememangnya lumrah manusia. Namun, berpada-pada melayan rasa. Belajarlah untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki. Pujuklah hati. Bukankah Allah sudah berjanji bahawa jika kita bersyukur, Dia akan tambah lagi pelbagai nikmat untuk kita? Jika kita kufur, maka nikmatnya teramat pedih. Jadi, mari kita berhenti daripada sibuk berkeluh-kesah dan bersedih. Pujuklah hati kita sendiri.

Saya pernah mendengar tentang kisah seorang hamba Allah yang terlibat dengan satu kemalangan. Natijah kejadian, kakinya lumpuh, mukanya cacat dan hidupnya jadi serba kekurangan. Namun, dia masih boleh ketawa dan ceria seperti biasa. Tatkala ditanya rahsia ketabahannya, dia menjawab dengan begitu selamba. "Kalau aku mahu bersedih sebab tidak boleh berjalan lagi atau sebab muka aku sudah tidak cantik lagi, tentu sahaja aku terus merintih. Tetapi lebih baik aku pilih untuk bersyukur dan bergembira sebab pada masa ini aku masih hidup, masih boleh bercakap, masih boleh melihat dan masih banyak lagi nikmat yang Allah pinjamkan untuk aku. "

Aduhai, tidakkah kita terasa malu mendengar jawapan setulus itu? Tepuk dada tanya iman kita. Mampukah kita memujuk hati agar menghargai apa yang ditakdirkan Allah untuk kita? Bolehkah kita berhenti berdukacita terhadap sesuatu yang kita tidak ada? Sudahlah, jangan bersedih lagi. Kalau terasa sedih kerana tiada kasut baru, insaflah kerana ada ramai lagi manusia yang bukan sekadar tiada kasut, malah kaki pun mereka tidak ada!

Kalau kita bersedih sebab dilahirkan sebagai anak yatim, bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya kita telah terselamat daripada dosa menjadi anak derhaka. Bahkan, kalau ketika ini kamu tiada suami, bersyukurlah juga kerana setidak-tidaknya kamu tidak akan masuk neraka sepeti kebanyakan wanita yang disabdakan Nabi SWT bahawa mereka adalah isteri yang tidak tahu bersyukur terhadap suaminya. Fikir-fikirkan!

Lihatlah orang di bawah kamu. Jangan lihat orang yang di atas kerana dengan melihat ke bawah, lebih cepat buat kamu untuk tidak meremehkan nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Penyakit Yang Tersembunyi

Kalau kita tidak bahagia
dengan apa yang Allah beri,
Itu tandanya hati kita ada penyakit
Yang sedang kita deritai.
Kalau kita tidak pernah puas
Dengan apa yang diberi,
Itu tandanya kita menghidap penyakit hati,
Itu tandanya Allah sedang 'menghukum' kita
Dengan azab yang tidak kita sedari.
Bersyukurlah.
Kerana pada saat ini,
Kita telah dapat lebih banyak,
Daripada apa yang layak kita nikmati."

°°°°°°°°°°°°°°°°

Kata HatiWhere stories live. Discover now