A: "Berapa harga buku yang kau jual ni? Alah, berilah diskaun! Takkan dengan kawan pun nak ambil untung? Berkiralah kau ni!"
B: "Aku nak beli dua buah buku kau ni, ya. Satu untuk aku, dan satu lagi bolehlah aku hadiahkan kepada sesiapa nanti. Eh, tak payah beri diskaun. Kira macam biasa sahaja. Kawan memang kawan, tapi bisnes tetap bisnes, tahu!"
Begitulah. Dua contoh dialog mudah yang biasa saya terima. Berkecimpung dalam dunia perniagaan menemukan saya dengan dua jenis manusia. Ada orang yang apabila sahabanya berniaga, dia akan rasa seronok sebab dia boleh dapat potongan harga. Pendek cerita, ada sesuatu yang boleh dia manfaatkan daripada perkenalannya dengan sahabat tadi. Manusia jenis ini pada perkiraannya, dia sentiasa mahu untung sahaja.
Jenis manusia yang kedua pula, dia akan rasa seronok sebab dia boleh menunjukkan sokongan terhadap perniagaan kawannya. Dia membeli, kadangkala bukan kerana terlalu perlu kepada barangan yang dijual, tetapi sekadar mahu menunjukkan sokongan terhadap perniagaan kawannya. Dia gembira jika perniagaan sahabatnya 'menjadi' dan dia seronok jika sokongannya terhadap perniagaan sang sahabat akan menaikkan lagi semangatnya untuk maju dalam perniagaan.
Begitu juga sebenarnya dalam hidup, saya perhatikan ada dua jenis peniaga. Ada peniaga yang apabila berniaga dengan kawan-kawannya, dia berniaga seperti biasa juga. Baginya, bisnes tetap bisnes. Kenapa pula perlu beri diskaun? Dia tidak mahu rugi kerana matlamat perniagaannya hanya untung. Namun begitu, ada juga peniaga yang apabila berurus niaga dengan sahabatnya, dia rasa seronok untuk menjual dengan harga yang lebih murah daripada biasa. Malah, ada kalanya dia tidak fikir dua kali untuk menghadiahkan sahaja apa yang sepatutnya diperniagakan itu. Dia seronok melihat sahabatnya tersenyum. Hatinya puas jika dapat memberi dan mengembirakan orang lain.
Baiklah. Kita dalam kumpulan yang mana? Yang seronok memberi atau menerima? Kita seronok menunggu hari jadi kita atau rasa seronok dan tidak sabar ingin meraikan hari jadi orang lain? Apabila tiba hari ulang tahun perkahwinan, kita sibuk merancang hadiah yang ingin diberi kepada pasangan kita, atau sibuk memikirkan hadiah apa yang kita akan terima daripadanya? Tanyakan kita soalan-soalan seperti ini dan kita akan tahu kita dalam kelompok manusia yang bagaimana. Yang seronok memberi atau seronok menerima? Yang berfikiran tangan di atas atau tangan di bawah?
Kata Nabi SWT, sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling banyak memberi manfaan kepada orang lain. Justeru, lihatlah sekeliling kita. Siapakah yang perlu kita bantu? Siapakah yang memerlukan pertolongan kita? Apa yang boleh kita bagi? Mungkin dengan meminjamkan sahabat yang terdesak dengan sedikit duit. Mungkin dengan membantu seorang tua yang tidak tahu menggunakan mesin ATM, atau mungkin sekadar menjadi pendengar setia kepada seorang sahabat yang ingin meluahkan masalahnya. Bantulah mereka, sumbangkan sesuatu. Jadilah seorang pemberi.
Namun bergitu, ada syaratnya. Jangan pula kita memberi kerana minta dibalas. Jangan pula kita merosakkan niat yang ikhlas. Jangan batalkan pahala yang sudah kita dapat ketika memberi dengan mengungkit-ungkitnya semula pada kemudian hari. Alangkah ruginya jika begitu. Alangkah ruginya jika kita ditimpa penyakit ini.
Sahabat-sahabatku yang baik, rajin-rajinlah memberi. Namun jangan sesekali kita harapkan sebarang balasan daripada manusia kerana kita akan kecewa sudahnya. Orang yang ikhlas hatinya kerana Allah, dia tidak akan kecewa dengan apa juga tindak balas yang diterimanya daripada manusia. Dia sudah cukup yakin bahawa Allah sudah mengkreditkan sesuatu dalam 'akaun kanannya' dan dengan penuh yakin juga dia tahu Allah akan membalas pemberiannya bukan sahaja di akhirat, malah balasan nikmat Allah itu boleh dituai didunia juga!
Kerana itu, jika hati kita tiba-tiba terasa sakit kerana rasa tidak dihargai atau kerana orang tidak membalas budi kita, beristighfarlah segera. Sindrom 'asyik-asyik aku' yang menganggu fikiran kita itu harus diubati segera kerana kita hanya hamba Allah. Kita memberi pon dengan rezeki yang dipinjamkan oleh Allah. Oleh itu, kita tidak layak merungut mengenainya. Sejukkan hati dengan mengingati pesan Nabi SWT bahawa antara amalan hebat yang meninggikan darjat ialah memberi kepada orang yang tidak memberi kepada kita. Betapa sukarnya amalan itu dan betapa bertuahnya kita jika mampu melakukannya. SubhanAllah.
Kerana itu, mulai hari ini, kuatkanlah azam dan semangat kita. Kita ingin memilih untuk menjadi seorang pemberi, bukan seorang penerima. Kita akan mencari orang yang boleh dibantu, bukan orang yang boleh diampu. Kita ingin mencuri perhatian Allah dengan keikhlasan kita, bukan mensia-siakan keredhaan Allah dengan mengungkit-ungkitnya semula. Percayalah, dengan memberi kita akan jadi seorang yang lebih gembira. Dengan memberi kita akan berjaya menyuburkan hati yang bahagia.
Sesungguhnya sedekah seseorang Muslim itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (daripada pemberiannya). (Riwayat Bukhari)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Teruslah Memberi
Berilah dan teruslah memberi,
Jangan difikirkan apa yang akan kita terima sebagai balasan dan berilah setiap hari,
Jangan terjerat dengan tipu daya syaitan yang memperdayakan,
Bergembiralah jika Allah memilih kita,
Menjadi seorang yang mampu memberi,
Kerana menjadi seorang yang hanya mahu menerima,
Jauh lebih menghinakan.Jadilah seperti wanita kesayangan Rasulullah,
Yang hidupnya sentiasa memberi dan memberi,
Biar hinggal ke akhir hayatnya.Kata Saiyidatina Khadijah,
"Wahai kekasihku Muhammad, setelah aku meninggal dunia, jika tulang-belulangku boleh dijual, maka juallah tulang-belulangku untuk menegakkan agamamu."Allahu! Dia benar-benar wanita ahli syurga,
tidak hairanlah jika
Allah sendiri telah berkirim salam kepadanya!°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°

YOU ARE READING
Kata Hati
AcakBukan setiap masa kita diuji. Ada masa-masanya, keadaan tenang sahaja. Kita sempat menarik nafas lega. Kita sempat ketawa dan tersenyum gembira. Cuma, sudah tentu putaran itu akan terus berulang. Laut yang tenang, sudah pasti akan kembali dipukul ge...