"KAKAK, ada surat!"
Malas aku bangun menuju ke pintu. Perkara pertama yang kupandang setelah daun pintu bilik dibuka adalah sengih Farah yang melebar dah sampai ke telinga. Sambil surat bersampul biru di tangannya dikucup bertalu.
Aku merengus marah lantas merampas surat itu. Daun pintu dihempas kuat di depan mukanya.
"Amboi! Sama-sama!" Farah menjerit di depan pintu. Wajah mencuka.
Aku mencebik sendirian.
"Terima kasih," laungku. Tahu itu yang Farah maksudkan.
Aku kembali naik ke katil. Meniarap atas tilam mengadap kertas kerja yang belum siap sepenuhnya. Tumpuanku teralih pada surat bersampul biru di tangan. Surat yang memiliki haruman yang sama walau lima tahun sudah berlalu.
"Kak Mira, mak suruh mandi," jerit Farah disusuli bunyi pintu bilik yang sengaja ditendang.
"Iyelah," aku sahut kuat. Seketika terdengar hentakan kakinya menuju ke ruang tengah. Tanda protes yang tak berkesudahan.
"Anak dara apa mandi pun kena suruh. Patutlah tak ada orang masuk meminang. Huh!" telinga sempat mendengar omelan dari mulut adik bongsuku yang berusia 16 tahun.
Aku ketap bibir geram. Nemo juga jadi mangsa dibaling ke pintu.
"Sibuk!"
Aku kembali berbaring sambil membelek surat bersampul biru di tangan. Bertahun sudah berlalu namun tulisannya tetap sama. Langsung tak berubah. Kelihatan kemas, cantik dipandang.
Betapa setianya si pengirim itu. Tak pernah mengenal erti jemu mengutuskan surat walaupun tak berbalas. Sedangkan cara perhubungan melalui surat sudah ketinggalan zaman.
"Daniel," tanpa sengaja bibirku menyebut nama itu.
Seketika aku mengeleng laju mengusir wajah yang mahu menjengah ingatan. Bersama keluhan yang terluah, aku bangkit menuju ke meja tulis.
Surat bersampul biru itu disimpan bersama surat-surat lain yang tak teringin aku membaca isi kandungannya. Lima tahun berlalu sudah berkotak surat itu aku simpan. Niatku, bila tiba saatnya surat itu akan kukembalikan kepada pengirimnya.
Aku menyimpan kotak besar ke bawah meja komputer sebelum kembali ke katil. Tubuh dihempas ke tilam. Mata memandang kipas yang berputar perlahan. Sesaat kemudian ruang siling mula berubah corak. Walau sudah dihalau namun wajah Daniel tetap muncul bersama senyuman manis milik lelaki itu. Hanya seketika sebelum digantikan dengan wajah Syela.
Apa yang mampu aku lakukan hanyalah mengeluh dan terus mengeluh.
Aku pejamkan mata tak mahu memandang dua wajah yang terbias itu. Tak disangka ia muncul di ruang ingatan pula. Akibatnya aku dihambat kegelisahan. Kembali diamuk rindu yang bagai tak berkesudahan.
YOU ARE READING
© ANTARA KAU DAN DIA ©
Romance1st ShortStory by EYRA_SHAZLEYRA. Aku lebih rela memilih persahabatan walau hati kecewa kerana cinta yang tak kesampaian. # PLEASE DO NOT COPY! # FEEL FREE TO VOTE & COMMENT. # EyraShazleyra@Terpelihara