AKU capai dairi ungu di atas meja terus dibelek. Mencari sekeping gambar yang merakamkan wajah kami. Berdua tanpa Syela. Gambar yang diambil di dalam kereta Pak Salleh ketika Encik Burn membawa aku pergi berurut. Di bahagian belakang tertulis sesuatu.
'Buat insan istimewa. Ketahuilah diri ini sentiasa menyintaimu.'
Ikhlas... Ahmad Daniel.
Aku mengeluh lagi. Gambar itu kuterima seminggu selepas kami menamatkan kem di Kuala Berang. Aku tahu Syela tak tak kewujudan gambar itu, samentelah bait-bait ayat yang tertulis di belakangnya. Aku juga tahu kalaulah semua itu sampai ke pengetahuan Syela, perang dunia ketiga pasti meletus.
Oh tidak! Aku tak sanggup persahabatan yang terbina sejak kecil terlerai hanya kerana seorang lelaki.
Tangan menyeka air mata yang mengalir di pipi. Esakan ingin meledak tapi untuk apa? Langsung tak ada guna. Aku bangkit. Dairi ungu dicampak ke atas katil. Tangan mencapai tuala lalu keluar dari bilik menuju ke dapur.
Aku mandi sepuas-puasnya. Dingin air tak dihiraukan tatkala perasaan dilanda sedih. Kecewa yang tak sudah-sudah. Harus kenapa perasaan ini yang terbeban?
Sedang aku menyental kaki, pintu bilik air diketuk dari luar.
"Ada oranglah!" laungku memberitahu sesiapa pun di luar sana.
"Tahulah!" suara Farah.
"Habis tu? Takde kerja lain?"
"Orang nak beritahu aje..." mengendur suara Farah.
Aku tahu Farah mula terasa dengan perubahan sikapku akhir-akhir ni. Marah memanjang. Kebetulan bulan tengah mengambang.
"Apa?" soalku dengan nada yang diturunkan.
Kesian Farah. Tak fasal-fasal terima tempias amarah aku. Semuanya gara-gara kerja yang menimbun dan terpaksa dibawa balik ke rumah. Ditambah kedatangan surat bersampul biru sekaligus membuat memori lalu menjengah ingatan.
"Nak bagitahu, Kak Syela datang. Nak jumpa akak," beritahu Farah sebal.
"Yelah. Suruh dia tunggu akak dalam bilik. Akak nak mandi kejap," balas aku perlahan.
Entah kenapa hati mula sakit mendengar nama itu? Sakit yang tak berkesudahan. Bukan salah temanku itu pun.
Ah! Perasaan memang sukar untuk dimengertikan.
Mendengar langkah Farah meninggalkan ruang itu, aku meneruskan mandian. Tiba-tiba juga aku teringat sesuatu.
Alamak!!
Aku bergegas masuk bilik setelah berkemban kain batik. Tapi bilik tidur kosong. Aku tergaru kepala yang tak gatal. Tertanya-tanya. Seketika mata terbuntang memandang kotak yang mengandungi surat-surat bersampul biru ada di atas katil.
Aku menerpa. Benar sangkaanku. Kotak peribadi mengandungi rahsiaku itu telah dicerobohi seseorang. Aku pasti siapa orangnya. Tapi... kalau betul Syela yang menyelongkar, keadaan pasti bertukar parah.
Tanpa membuang masa aku menyarung baju dan jeans. Seketika tergamam lagi. Diari unguku tiada di atas katil. Seingat aku di situlah tempat terakhir aku meletakkannya.
"Syela!!" aku berlari keluar. Farah yang sedang menonton TV tersentak.
"Kenapa, kak?" soal Farah. Mujurlah emak ada di dapur.
"Syela mana?" soalku cemas.
"Kat bilik akaklah," jawab Farah dengan dahi berkerut.
"Tak ada," balasku lalu berlari keluar. Langkah dibuka panjang menuju ke rumah Syela.
YOU ARE READING
© ANTARA KAU DAN DIA ©
Romance1st ShortStory by EYRA_SHAZLEYRA. Aku lebih rela memilih persahabatan walau hati kecewa kerana cinta yang tak kesampaian. # PLEASE DO NOT COPY! # FEEL FREE TO VOTE & COMMENT. # EyraShazleyra@Terpelihara