Bab 76- Uji Ilmu Pada Isteri Orang

2.3K 45 0
                                    

MATAHARI pagi memancar indah. Sinarnya jatuh pada dedaun dan rerumput di halaman. Sekawan itik air berlari di tanah lapang menuju ke arah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan kian menipis di puncak bukit.
Saya masih lagi berdiri di muka jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua belah tangan. Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh, membuat saya terasa seram dan sejuk.
Datuk terus bersenam. Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina. Sesekali terdengar suara isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya tidak berapa jelas.
Datuk berhenti melakukan senaman. Ia mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak kemerah-merahan dan berseri. Seimbas pandang datuk kelihatan lebih muda dari usianya. Dengan tenang datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki tangga.
Macam ada sesuatu yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, datuk mengajak saya turun atau memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu tidak datuk lakukan pagi ini? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
Datuk bergerak meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ sebentar. Kemudian datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun rumput hijau. Rumpun rumput itu datuk ramas dan datuk kenakan dengan air embun yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.
Semua gerak-geri datuk saya perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar-mandir mengelilingi halaman rumah. Sampai di sudut kanan halaman, datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari jatuh.
Perlahan-lahan datuk angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh kaki. Saya kagum, kerana datuk mengimbangi badannya dengan sebelah kaki. Saya kira, apa yang datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.
Senaman seperti itu, amat jarang sekali dilakukan oleh datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan. Kadang-kadang apa yang datuk lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai kerja orang yang tidak siuman. Terutama pada orang yang tidak mengenali diri datuk.
Saya membiarkan wajah disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam terlibat satu lintasan bayangan di halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.
Badan saya mula berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.
"Ya, dari pelepah kelapa dara yang ditiup angin."
Bisik batin saya. Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari yang mula keras tertumpu ke arah pelepah tersebut dan membentuk bebayang yang panjang di bumi.
Bila angin bertiup agak kencang pelepah kelapa itu tu bergerak dengan cepat, lantas membentuk lintasan bebayang yang panjang di bumi (untuk beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri. Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir. Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.
"Datuk kamu ke mana Tamar?"
Saya menoleh ke kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain pelekat kotak berwama putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya terserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan memutih.
"Itu dia"
Jari telunjuk saya menuding ke arah datuk. Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah datuk. Mereka berbalas senyum. Datuk bergerak menghampiri ke arah anak tangga. Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.
"Buat apa di situ?" Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah datuk. Biji mata saya juga tertikam ke muka datuk yang kelihatan kemerah-merahan. Tanda sihat.
"Bersenam," suara datuk lembut.
"Dab tua-tua mahu jaga badan."
"Bukan jaga badan, jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh Islam."
"Saya setuju dengan awak," Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.
Mereka ketawa serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampai di ambang pintu ia berdiri sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 5 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now