Bab 78-Kakinya Dipaut Bumi

2.4K 46 2
                                    

DALAM keadaan begini, tentu sahaja saya tidak dapat melakukan petua dari orang tua-tua yang pernah saya dengar itu. Saya hanya berserah pada Allah sahaja. Tiba-tiba ketua komunis itu memerintah tiga orang komunis berdiri di depan datuk dalam jarak dua puluh kaki. Mereka juga diarah menyediakan peluru dalam senapang.
"Semua mesti tembak tepat di kepalanya," kata ketua komunis itu.
"Baik," serentak anggota komunis itu menjawab.
"Kalau sesiapa tidak tembak tepat di kepalanya, orang itu saya tembak dengan pistol ini," ketua kornunis itu memusingkan pistolnya di tangan. Langkahnya tidak ubah macam seorang koboi.
"Sedia," kata ketua komunis. Tiga anggota komunis halakan muncung senapang ke arah datuk. Dada saya berdebar. Datuk nampaknya menyerahkan dirinya pada Allah. Ia tidak bimbang. Sesekali terdengar ia membaca ayat At-Fatihah dengan agak lantang.
"Hei Melayu tua, sekarang kita tengok siapa kuat, senapang orang aku atau kamu punya Allah," sindir ketua komunis itu.

"Allah Hu Akbar," jawab datuk perlahan.

"Dia panggil dia punya Tuhan," ketua komunis itu ketawa terkekeh. Kemudian ia memerintah tiga orangnya melepaskan tembakan pada datuk.

Semua orang yang berada dalam bas menekup muka. Tidak sampai hati melihat peristiwa yang amat menyeramkan. Badan saya menggigil dalam gema tembakan yang bertalu-talu itu. Tiba-tiba tembakan itu berhenti. Saya membuka mata.

Saya gembira, bila melihat datuk tidak apa-apa. Ia berdiri dengan tenang di pangkal pokok. Tali sabut yang membalut tubuhnya sudah hancur dimamah peluru. Datuk terus meluru ke arah saya. Anggota komunis yang ada di situ bagaikan terpaku, tidak berani menyapa atau menahan datuk memeluk tubuh saya.

"Tuk kebal," tanya saya padanya.

"Tidak, cuma peluru tidak kena tubuh aku, aku mohon Allah melindungi diriku, syukur permintaanku telab diperkenankan oleh Allah yang maha besar," bisik datuk dan segera menarik tangan saya untuk menuju ke bas. Ternyata datuk tidak mahu bergaduh dengan anggota komunis yang jumlahnya bukan sedikit.

Tiba-tiba ketua komunis itu menghampiri datuk. Wajahnya cukup bengis. Ia merasa kecewa kerana datuk tidak menemui ajal di hujung senapang anak buahnya. Ketua komunis itu menekan muncung pistolnya ke telinga datuk. Datuk menahan nafas kemudian menjatuhkan badannya ke bumi lalu memaut lutut ketua komunis tersebut.

Ketua komunis itu terjatuh. Tetapi bangun dengan cepat, sebelum Ia melakukan sesuatu pada datuk. Saya lihat datuk sudah pun berdiri. Sandarkan badan ke pangkal getah. Datuk terus memeluk tubuhnya. Matanya mula kelihatan kemerah-merahan.

"Tangkap dia lagi sekali, kali ni kita sumbat dia dalam sangkar babi, kemudian rendam dalam telaga," secara mendadak anggota komunis Melayu bersuara dengan nyaring.

Anggota komunis yang lain segera patuh. Tetapi, sebelum mereka memulakan langkah pertama. Datuk segera menghentakkan telapak kaki kanannya ke bumi. Tiba-tiba anggota komunis Melayu itu menjerit. Ia tidak terdaya melangkah kakinya bagaikan terbenam dalam tanab. Begitu juga dengan anggota komunis yang lain.

Datuk terus menghampiri auggota komunis bangsa lndia dan Cina. Datuk terus menjentik hidung mereka. Mereka terpekik terlolong, macam kena sengat tebuan.

"Sekarang pulangkan barang-barang yang kamu rampas pada tuannya, kalau tidak kamu dan orang-orang kamu susah nanti," kata datuk pada komunis.

"Baik, sekarang saya pulangkan," jawabnya.

Tetapi, ia menghadapi masalah yang lain pula, orang-orangnya tidak boleh bergerak, walaupun diperintah berkali-kali dengan suara yang nyaring. Datuk tahu di mana silapnya perkara itu. Ia segera membongkok dan menepuk muka bumi dengan tangan kanannya. Bila semuanya dilakukan oleh datuk, baru anggota komunis itu boleh bergerak.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 5 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now