Bab 80- Mayat Berbau Wangi

2.4K 50 1
                                    

"Begini" Alang Abdul Rauf menggosok-gosok badan cawan dengan jari kelingkingnya. Lagi sekali ia merenung ke kiri dan ke kanan. Ia menarik nafas panjang. Kesan air kopi yang melekat di bibir bawahnya terus dikesat dengan hujung jari telunjuk. Saya masih menanti, apakah petua-petua yang akan diucapkannya kepada saya.
"Begini Tamar, orang tua-tua kita dulu, banyak mengamalkan petua terutama bila berdepan dengan minuman dan makanan," Alang Abdul Rauf memulakan," petua tu digunakan untuk menjaga diri, mungkin makanan atau minuman yang diberi atau dihidangkan oleh orang lain pada kita, ada benda-benda bisa yang termasuk secara tidak sengaja," tambahnya dengan nada suara yang lembut.
Wajahnya nampak tenang sekali. Saya anggukkan kepala beberapa kali sambil merenung tangkai cawan.
"Apa dia petuanya pak cik?"
"Selalunya, orang menaruh guna-guna dalam minuman, juga makanan dengan tujuan untuk menjadikan seseorang tu bodoh, ada juga yang cuba menaruh racun," Alang Abdul Rauf membetulkan duduknya, supaya selesa.
"Cara pertama gunakan lidah untuk menjolok lelangit, kalau terasa geli, bolehlah minum dan makan benda yang dihidangkan, kalau tidak terasa apa-apa semacam kebas jangan makan atau minum, itu merbahaya," Alang Abdul Rauf meluahkan petua pertama. Saya mendengar dengan penuh minat.
"Lagi petua yang ketiga macam mana pula?"
"Sebelum makan atau minum, gosok rambut dengan telapak tangan, biasanya, jika rambut digosok terasa kesat dan mengeluarkan bunyi, jika tak dengan bunyi, jangan minum dan makan barang yang dihidangkan di depan kamu," Alang Abdul Rauf meluahkan semua petua yang diketahuinya pada saya.
Saya mengaru-garu batang leher yang gatal. Mata terus merenung ke setiap sudut kedai kopi. Saya kira petua-petua yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf itu memang baik untuk diamalkan.
"Tetapi, orang-orang muda sekarang mana mahu amalkan semua petua, Bismillah pun jarang dibaca bila mahu makan atau minum,"kata Alang Abdul Rauf dan saya merasakan kata-kata itu, bagaikan menyindir diri saya sendiri. Muka Alang Abdul Rauf saya pandang sejenak.
"Tapi, aku yakin kamu selalu baca Bismillah setiap kali minum dan makan, bukan begitu Tamar?"
"Insya-Allah pak cik," balas saya dengan segaris senyum.
"Mari kita pergi Tamar."
Alang Abdul Rauf terus bangun. Ia menuju ke meja tuan punya kedai kopi. Alang Abdul Rauf bayar harga kopi dan kuih. Kedai kopi kami tinggalkan dan saya terus duduk di pelantar basikal menuju ke rumah adiknya yang terletak kira-kira sebatu dari kedai kopi tersebut.
ADIK
Tujuan utama Alang Abdul Rauf menemui adiknya untuk membincangkan tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Alang Abdul Rauf mahu menjual tanah pusaka itu pada orang lain.
Tetapi adiknya tidak setuju dengna alasan tanah pusaka itu mahu ditanam dengna pokok durian dan langsat. Sedangkan Alang Abdul Rauf berpendapat cara yang mahu dilakukan oleh adiknya itu tidak sesuai kerana kedudukan tanah itu jauh dan tidak pernah dijaga.
"Dari tanah tu terbiar ada baiknya kita jual, duitnya kita bagi sama, selama ni duit cukai tanah aku yang membayar hasilnya tak ada apa-apa," ujar Alang Abdul Rauf pada adiknya.
"Saya tak mahu jual, kalau abang jual juga, kita bukan lagi adik beradik," suara adiknya keras.
"Kalau sudah begitu kata kamu, tak jadilah aku nak jual tapi, cukainya kita bayar sama-sama."
"Abang saja yang bayar, saya mana ada duit, anak-anak saya ramai, bila saya ada duit nanti saya bayar."
"Itulah yang selalu kamu cakapkan, bila aku datang minta duit kamu lari," suara Alang Abdul Rauf meninggi. Adiknya terus membisu.
Mungkin kerana sifat penyabarnya, Alang ABdul Rauf tidak mahu menyebut-nyebut soal tanah pusaka dalam perbincangan berikut dengan adiknya. Anehnya, sebelum Alang Abdul Rauf pulang, adiknya meminta wang darinya. Alang Abdul Rauf hulurkan wang dua puluh ringgit pada adiknya.
"Itulah adik aku Tamar, namanya Mat Judin, susah mahu diajak berunding," bisik Alang Abdul Rauf pada saya, ketika turun dari rumah.
"Adik nombor berapa pak cik."
"Adik bongsu, yang dia tahu minta duit tak beri tarik muka, kerana tak mahu bergaduh dengan adik-beradik, terpaksa aku ikut cakapnya," terang Alang Abdul Rauf.
"Apa pendapat kamu tentangnya."
"Tak ada apa-apa pak cik," balas saya dengan senyum pendek. Saya tidak mahu melibatkan diri dalam urusan keluarga orang lain.
Kami tinggalkan rumah Mat Judin, ketika matahari sudah condong. Seronok naik basikal di bawah lindungan pokok-pokok getah. Terasa cukup redup dan selesa sekali. Peluh tidak sehebat tadi mercik di dahi dan tubuh. Alang Abdul Rauf cukup rancak bercerita tentang keluarganya. Saya cuma anggukkan kepala. Sesekali, saya ketawa, bila terdengar peristiwa lucu terjadi antara Alang Abdul Rauf dengan adik bongsunya.
Tiba-tiba, Alang Abdul rauf brek basikalnya dengan mengejut. Saya terpelanting ke tanah. Siku kiri saya berdarah kena tunggul getah. Dengan susah payah saya bangun. Pada mulanya saya mahu marahkan Alang Abdul Rauf tetapi, bila saya lihat dirinya terkial-kial ditindih basikal dan baju Melayu cekak musangnya koyak, saya tidak jadi marah.
"Kenapa pak cik," tanya saya.
"Tengok tu,"
"Ha," mulut saya ternganga. Kepala lutut saya terasa lemah. Seekor ular tedung sela memanggungkan kepalanya separas dada saya. Ular itu kelihatan seperti berdiri atas ekornya.
"Kamu jangan bergerak, Tamar," perintah Alang Abdul Rauf. Saya mematikan diri. Tegak macam patung.
Ular tedung selar itu menggerakkan kepalanya ke kanan mengikut gerakan tubuh Alang Abdul Rauf yang cuba mendirikan basikalnya. Ular tedung sela itu terus mematuk ke arah tubuh Alang Abdul Rauf. Anehnya patukan ular itu bagaikan tidak sampai ke tubuh Alang Abdul Rauf, macam ada sesuatu yang menghalangnya.
Ular tedung sela berhenti mematuk tubuh Alang Abdul Rauf . Basikal tua berjaya ditegakkan. Ular tedung sela masih berdiri dengan kepala yang terkembang.
Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf membongkokkan badannya. Ular tedung sela turut merendahkan badannya dan bersedia untuk melepaskan patukan pada ubun-ubun kepala Alang Abdul Rauf.
Belum pun sempat ular tedung sela membenamkan siungnya yang bisa ke kulit Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf terus melompat dengan sekelip mata sahaja, bahagian bawah kepala ular tedung sudah berada dalam genggamannya. Cepat-cepat Alang Abdul Rauf menekan siung ular tedung pada besi galang basikal.
"Kau ambil mangkuk getah dan tadah," perintah Alang Abdul Rauf. Saya segera mengambil mangkuk yang tersangkut pada pohon getah lalu menadah bisa ular tedung yang keluar. Badan ular terus melilit lengan Alang Abdul Rauf. Pada mulanya lilitan itu cukup kuat dan kejap. Sepuluh minit kemudian, lilitan ular tedung menjadi lemah dan badannya terus lurus ke bawah, tidak bermaya.
"Balik ke tempat kamu," kata Alang Abdul Rauf meletakkan ular tedung sela atas tanah. Beberapa minit kemudian, ular tedung sela itu menggerakkan ekornya beberapa kali. Panggungkan kepala separas lutut Alang Abdul Rauf untuk beberapa saat. Badannya direndahkan lalu melata atas bumi masuk ke dalam semak di sebelah kanan jalan.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 5 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now