Bab 79- Wanita Tanpa Wajah Jalan Malam

2.7K 44 0
                                    

PEMILIK lombong itu membeli tanah milik orang Melayu dengan harga yang mahal. Dan orang Melayu yang menjual tanah itu diberi tapak rumah yang terletak di satu kawasan lain. Tidak lama lagi tulang mayat yang ada di tanah perkuburan tersebut akan dipindahkan ke tempat lain. Segala perbelanjaan ditanggung oleh pihak tuan punya lombong.
"Tidak lama lagi kampung kami tinggal nama saja, semua rumah yang ada ini, paling lama boleh bertahan lima enam bulan saja lagi, lepas tu terpaksa pindah. Di bawah tempat kita berdiri ini penuh dengan bijih," kata Ramli.
"Macam mana kalau mereka tak mahu pindah?"
"Mana boleh semuanya sudah dijual duit pun dah ambil dari tauke lombong," jawab Ramli.
"Rugi mereka jual tanah," kata saya.
"Awak tak boleh cakap macam ini, kalau mereka tak jual tanah, mereka juga tak boleh kaya, takkan nak cangkul tanah cari bijih, lagipun tawaran yang datang ni memang tinggi," kata Ramli. Bila saya fikirkan dengan halus cakapnya itu memang ada benarnya.
Rupanya Ramli yang hampir sebaya dengan saya itu, terlalu pintar bercakap. Ia boleh bercerita tentang apa sahaja yang ada hubung kait dengan Kampung Bakap. Kami terus bercerita panjang. Kami berpisah ketika azan Maghrib dilaungkan.
Ramli kini menjadi pelombong Melayu yang berjaya, setelah ia meletakkan jawatan sebagai Pengarah Galian Negeri Perak. Anak sulungnya menuntut ilmu kedoktoran di England.
Kawan datuk itu namanya, Alang Abdul Rauf. Datuk memanggilnya Rauf sahaja. Sebagai orang kampung yang sederhana, ia mempunyai dua ekar tanah dusun dan tiga ekar ladang getah. Hasil dari tanah miliknya itu menjadi sumber pendapatannya.

Sejak enam bulan kebelakangan ini, ia membuat kerja tambahan menggali kubur lama waktu malam. Tulang-temulang dari kubur lama itu dikumpulkan lalu ditanam di kawasan perkuburan yang baru. Semua pembiayaan kerja itu diuruskan oleh pihak tuan punya lombong yang mahu mencari bijih di kawasan tersebut.

Alang Rauf dibantu oleh empat orang lain. Mereka menjalankan kerja selepas waktu Isyak hingga ke Subuh. Sepanjang tugas itu dilaksanakan mereka tidak menghadapi sebarang kejadian aneh. Semua kerja berjalan dengan lancar.

"Bagaimana, kalau kamu dengan cucu kamu ikut kami malam ini," Alang Abdul Rauf membuat tawaran pada datuk setelah selesai sembahyang Isyak. Bulu tengkuk saya jadi meremang mendengar pelawaan itu. Ah, itu kerja gila, pergi kubur waktu malam dan menggalinya pula, rungut saya dalam hati.

"Minta maaf, malam ni saya ada berjanji dengan orang yang berniaga di pasar Batu Gajah," ajar datuk tenang.

"Nak ke mana pula?"

"Orang tu beritahu saya, di kampung tempat dia menyewa rumah dikawal oleb satu lembaga putih, sesiapa yang datang ke kampungnya dengan niat nak mencuri atau mengambil sesuatu lembaga putih akan menganggunya."

"Aku tahu cerita tu kalau tak silap di Kampung Dhobi di Pekan Lama."

"Agaknya, begitulah," datuk menelan air liur. Alang Abdul Rauf menggaru pipi kiri. Kemudian menyedut rokok daun dengan penuh nafsu. Suara cengkerik jelas kedengaran menendang gegendang telinga.

Alang Abdul Rauf pun terus bercerita pada datuk. Kira-kira tiga bulan yang latu, waktu musim buah durian gugur. Tiga orang pemuda India yang nakal telah datang ke kampung tersebut untuk mencuri buah durian waktu malam.

Sedang mereka mengutip buah durian, tiba-tiba mereka terpandang lembaga putih memakai kain telekung. Pada sangkaan pemudapemuda India itu, orang-orang kampung cuba menakutkan mereka.

Mereka terus membalingkan kulit durian dan dahan kayu ke arah lembaga tersebt. Lembaga itu tidak bersuara malah terus duduk di tunggul buruk. Kerana memikirkan yang bertelekung itu orang perempuan, ketiga-tiga pemuda India ini terus rapat ke arah lembaga tersebut.

Bila sahaja lembaga itu merenung ke arah mereka. Ketiga-tiga pemuda India itu terus menjerit dan lari lintang-pukang. Dua hari kemudian seorang daripada pemuda India itu mati gantung diri. Manakala yang dua orang terus gila dan dihantar ke hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 5 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now