Bab 84-Belah Perut Burung

2.1K 42 0
                                    

TERASA lucu sekali, bila nenek yang sudah tua itu, masih bertanya pada saya, kalau datuk terpikat pada wanita lain atau bercerita mahu kahwin lain.
"Datuk tu baik, ke mana-mana dia tak pernah lupa dengan nenek, nama nenek selalu dipujinya di depan kawan-kawan," ujar saya pada nenek. Ia tersenyum. Pipinya yang sudah berkedut kelihatan berpelohong ke dalam dan bibirnya kelihatan seperti menajam, melindungi giginya yang sudah hampir separuh tercabut dari gusi.
"Kenapa nenek tanya macam tu?"
"Kamu tahu Tamar, orang lelaki kalau badannya sihat, sampai umur seratus tahun pun nafsu dan keinginannya tetap kuat," sanggah nenek. Saya diam, tidak kuasa melawan cakapnya. Kalau dilawan mungkin boleh melukakan perasaannya.
Malam itu, hampir pukul dua belas baru saya masuk ke bilik tidur. dan datuk tetap dengan kegemarannya membaca Quran dan melakukan sembahyang sunat tengah malam sebelum masuk tidur.
Kali ini, saya dengan datuk agak lama berada di kampung. Hampir enam bulan tidak ke mana-mana. Datuk tetap dengan kegemarannya memburu
binatang pada sebelah petang. Waktupagi dihabiskan di kebun getahnya. Menanam anak-anak getah di celah pepohon getah yang sudah tua.
Menurut datuk bila anak-anak getah itu membesar dan boleh ditoreh. Pokok-pokok getah yang tua dan tidak mengeluarkan susu akan ditebang. Dalam seminggu cuma dua pagi saja saya menolong datuk.
Saya ada tugas lain yang diberikan datuk, saya disuruh mengurus kebun pisang. Menjual buah pisang dan menjual getah dari para penoreh di kebunnya adalah urusan saya. Saya kira taraf saya dengan taraf seorang kerani.
Walaupun saya tidak dibayar gaji tetap tetapi, pada setiap bulan saya menerima wang antara tiga puluh hingga empat puluh sebulan, bergantung pada hasil penjualan getah dan pisang.
Dengan wang itu, sayaboleh ke mana-mana dan berjaya membeli sebuah basikal lumba.
Saya berhasrat mahu menjadi seorang jaguh lumba basikal yang terkenal. Demi hasrat tersebut, pada setiap petang saya kayuh basikal keliling kampung, berlagak sebagai seorang juara.
Kawan-kawan rapat dan karib terus mengkagumi dan memuji saya kerana berani kayuh basikal lumba dengan laju. Bila dipuji begitu, saya terasa yang diri saya ini memang benar-benar seorang juara.
Anehnya, kehebatan dan kebolehan saya setakat keliling kampung saja. Tidak berani masuk gelanggang. Mimpi untuk jadi juara tetap datang dalam tidur saya. Datuk kurang senang melihat saya keliling kampung dengan basikal lumba, dia bimbang kalau perbuatan saya itu boleh menimbulkan fitnah atau mendorong saya mengusik anak dara kampung.
Bagi menghindar kejadian yang tidak diingini terjadi, datuk mengesyorkan supaya saya mengikuti ilmu persilatan dengan seorang jaguh silat yang tinggal kira-kira sepuluh batu dari kampung kami. Apa yang datuk utarakan itu segera saya patuhi.
"Aku mahu kamu pergi ke tempat kamu belajar silat dengan basikal," kata datuk dengan senyum. Terasa agak berat mahu kayuh basikal lumba ke tempat silat. Belajar silat kira-kira pukul sembilan malam dan tamat kira-kira pukul sebelas atau dua belas. Kemudian, kayuh basikal sepuluh batu pulang ke rumah.
Bagaimana? Kalau sedang saya asyik kayuh basikal dalam gelap, tiba-tiba harimau muncul di tengah jalan. Apa yang mesti saya lakukan? Menentangnya atau lari saja. Macam-macam yang saya fikirkan bila datuk menyuruh saya kayuh basikal ke tempat belajar silat.
"Sulit tuk," saya membantah.
"Apa yang sulitnya Tamar," datuk beliakkan biji mata.
"Jumpa gajah atau harimau tengah malam, hancur tulang-tulang saya dipatah-patahkannya."
"Kerana itu aku suruh kamu belajar silat, biar berani dan boleh mempertahankan diri bila diserang binatang atau manusia."
"Cara datuk mengajar saya supaya jadi berani ganjil sekali," nada suara saya agak keras. Datuk terus menggosok pangkal hidungnya berkali-kali sambil merenung basikal lumba yang saya sandarkan ke perdu pokok kelapa.

"Bagaimana? kalau kau setuju aku belikan motosikal untuk kamu, asalkan kamu mahu belajar jadi manusia berani," satu peluang yang terbaik dari datuk, tidak wajar dilepaskan begitu saja.

"Saya setuju tuk."

"Ada syaratnya Tamar."

"Syarat? Apa syaratnya tuk," saya terkejut.

"Mudah saja, kau belajar dulu enam bulan, lepas itu baru aku belikan motorsikal, itu pun bila kamu dah lulus ujian memandu." tersenyum simpul datuk memandang ke arah saya. Mudah sungguh ia mengeluarkan syarat tetapi, bebannya terasa amat berat sekali untuk saya laksanakan.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 5 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now