Bab 81-Dicakar Kucing Hitam

2.3K 45 0
                                    

DI bawah sinar lampu gasolin yang cerah, saya tatap wajah datuk. Datuk nampak tenang menarik dan melepaskan nafas. Alang Abdul Rauf terus menggosok batang cangkul dengan sepasang telapak tangannya. Kawan-kawannya terus menggali kubur dengan rancak sekali. Bau wangi terus menguasai tanah perkuburan.
Saya terus mendekati datuk.
"Bau apa yang wangi tu tuk?"
"Ada mata tengok, ada telinga dengar."
Jawapan yang datuk hamburkan itu amat mengecewakan diri saya. Suara cengkerik dan katak terus berlarutan. Angin yang bertiup membekalkan rasa dingin ke seluruh tubuh. Bunyi mata pencebak dan cangkul berlaga dengan tanah jelas kedengaran. Suara burung hantu dan jampuk sayup-sayup kedengaran.
Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf menghampiri kami. Badannya nampak peluh dan saya terhidu bau hangit yang meloyakan tekak. Saya paling hidung saya ke arah lain. Tetapi bau hangit itu tetap memburu hidung saya.
"Lap peluh kamu."
Alang Abdul Rauf mencampakkan kain padanya. Orang itu terus menyapu peluh yang melekat di badan. Ia tersenyum ke arah saya. Ia bagaikan tahu yang saya tidak menyenangi dirinya.
"Dah jumpa tulang orang mati?" Alang Abdul Rauf mengajukan pertanyaan padanya. Orang itu tidak menjawab, Ia mencapai botol air sejuk di hujung lutut Alang Abdul Rauf.
Saya lihat buah halkumnya bergerak kencang ketika ia meneguk air dari dalam botol. Kulit perutnya juga turun bergerak-gerak. Sebahagian dari air yang tidak masuk ke mulutnya terus jatuh atas dada bidangnya yang berbulu lebat. Ia berhenti minum. Botol diletakkan kembali dekat hujung lutut Alang Abdul Rauf.
"Kali ni bukan jumpa tulang," katanya sambil menyapu kesan air yang melekat di bibirnya. Saya angkat kepala merenung muka datuk yang kelihatan terkejut. Alang Abdul Rauf menujah-nujah permukaan tanah dengan ranting kayu.
"Kalau bukan tulang, kamu jumpa apa?" tanya datuk.
"Mayat tak reput."
"Mayat tak reput?" Alang Abdul Rauf terus berdiri.
"Ya bau wangi ini, datangnya dari mayat tu," orang itu tersenyum. Muka Alang Abdul Rauf nampak resah. Datuk terus menggigit kuku di jari. Saya teraba-raba batang leher beberapa kali. Badan terasa seram.
"Aku dah agak bau wangi tu dari kubur yang digali, waktu aku menolong kamu menggali tadi, makin jauh dikorek makin kuat bau tu menyumbat hidungku," Alang Abdul Rauf bersuara lemah. Ia merenung muka datuk sejenak.
"Aku berhenti mengorek tadi kerana pinggang aku terasa sakit, dan terus duduk dekat kawan aku ni tapi, bau wangi tu sampai ke sini," tambah Alang Abdul Rauf sambil menggeliat beberapa kali.
"Eloklah kita tengok Alang," datuk mengeluarkan cadangan. Alang Abdul Rauf mengekori langkah mereka yang tenang menuju ke kubur yang jaraknya dari tempat saya dan datuk, kira-kira sepuluh kaki. Datuk dan Abdul Rauf jengok ke lubang kubur. Kawan Abdul Rauf yang berbadan tegap bercekak pinggang merenung ke arah kawannya yang sedang berhempas-pulas mengorek kubur yang lagi satu.
Tiba-tiba saya bagaikan dipaksa untuk melihat ke dalam kubur. Tanpa memberitahu datuk dan Alang Abdul Rauf saya jenguk lubang kubur. Saya menarik nafas. Apa yang saya lihat ialah mayat seorang lelaki dalam keadaan yang baik. Wajahnya nampak bersih dalam keadaan yang tersenyum. Alang Abdul Rauf segera menyuruh kawannya mengambil kain untuk menutup mayat dalam lubang kubur. Perintah Alang Abdul Rauf segera dipatuhi.
"Sekarang kamu pergi ke balai polis, laporkan perkara ni pada tuk sarjan," kara Alang Abdul Rauf pada kawannya. Tanpa sebarang bantahan kawannya terus meninggalkan kami, meredah malam menuju ke arah jalan raya pergi ke balai polis. Embun jantan yang gugur dari langit terasa menyentuh muka.
Saya mula menguap, bau tanah kubur yang baru dikorek memang kurang menyenangkan hidung saya. Sesekali saya tercium bau kapur barus dan bau air mawar. Saya tidak tahu, apakah bau tersebut tercium oleh datuk dan Alang Abdul Rauf. Bunyi dedaun yang disentuh angin bagaikan bunyi tapak kaki orang memijak daun getah di musim kemarau. Bunyinya bersambung-sambung.
"Dah kurang bau wanginya," ujar Alang Abdul Rauf pada datuk yang sedang meraba-raba misainya. Mulut datuk tetap bergerak. Entah apa yang dibacanya saya sendiri pun tidak tahu.
"Ya, tapi bau ni takkan hilang terus," sanggah datuk.
"Mana awak tahu?"
"Bukankah bau tu datang dari mayat, waktu begini bau kurang, menjelang subuh dan pagi baunya bertambah harum dan kuat," jelas datuk lagi.
"Eh, macam mana awak tahu semuanya ni?" Alang Abdul Rauf tatap muka datuk di bawah sinar lampu gasolin yang memancar terang. Saya terus merenung ke arah kawan Alang Abdul Rauf yang sedang menggali kubur yang lagi satu.
Sesekali saya terdengar suara mereka ketawa berselang seli dengan suara batuk. Barang kali kawan Alang Abdul Rauf yang itu tidak menghadapi masalah. Kalau ada masalah terus mereka datang ke sini, kata hati saya sambil menggaru pangkal leher yang gatal akibat digigit nyamuk.
"Awak tahu makin terasa cuaca sejuk, makin kuat baunya, saya dah tahu, sebabnya dalam cuaca yang sejuk udara tidak dapat bergerak dengan lancar, sentiasa berpusing-pusing sebelum bergerak lebih jauh," saya lihat datuk bersuara dengan tenang dan penuh keyakinan.
Apakah cakap datuk itu memang benar atau sengaja di ada-adakan bagi menyenangkan hati Alang Abdul Rauf. Saya lihat Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diucapkan oleh datuk. Saya menggeliat, menghilangkan rasa lenguh di pinggang. Rasa seram tetap menguasai seluruh badan saya.
"Pak Alang ke mari."
Serentak kami memandang ke arah suara memanggil nama Alang Abdul Rauf. Dua orang lagi kawan Alang Abdul Rauf yang bersandar pada sebatang pokok terus mendekati datuk. Saya lihat muka keduanya sangat pucat.
"Kamu ke mana? Diam tak bercakap," Alang Abdul Rauf menyoal kedua-dua orang kawannya dengan wajah bersahaja.
PUTUS
Suara burung hantu dan jampuk masih berterusan. Laungan anjing tidak pernah putus. Tetapi, deru angin malam bertambah lemah.
"Kamu tengok apa yang dia orang mahu. Tolong dia orang, kalau ada apa-apa masalah datang bagi tahu aku di sini," Alang Abdul Rauf mengeluarkan penintah.
"Baiklah Pak Alang," kedua-duanya meninggalkan kami.
"Mari kita duduk di sana," Alang Abdul Rauf meluruskan jari kelingkingnya ke arah sebatang pokok kayu condong.
"Boleh juga, datuk.
"Mari."
Kami bertiga terus menuju ke pokok condong. Duduk di situ. Datuk dan Alang Abdul Rauf duduk berdekatan hingga berlaga bahu. Saya duduk berdepan dengan mereka. Saya lihat datuk resah tidak menentu.
Dalam saat yang sama saya bagaikan terasa ada sesuatu yang bergerak di ruang kosong, antara saya dengan Alang Abdul Rauf. Saya rasa benda yang bergerak dan tidak dapat dilihat itu seperti kaki gajah. Dedaun kering dan reranting kecil nampak bergerak dan terbenam di bumi macam dipijak sesuatu. Meninggalkan tapak yang besar. Bentuknya macam tapak kaki manusia yang berjari empat.
Alang Abdul Rauf segera bangun. Sebaik saja Alang Abdul Rauf berdiri. Ia terus jatuh terlentang macam ditolak sesuatu, baju Melayu yang dipakainya terkoyak bagaikan kena rentap oleh tangan manusia. Saya segera menghampiri Alang Abdul Rauf. Dadanya bercalar bagaikan dicakar oleh kuku kucing hutan. Muka Alang Abdul Rauf berkerut menahan kesakitan.
Datuk segera bertindak, merentap daun gelenggang yang berbunga tunggal di kanannya. Daun itu digosoknya dengan kedua belah telapak tangan hingga hancur dan mengeluarkan air. Kemudian, air dan daun gelenggang itu disapu ke dada Alang Abdul Rauf. Darah berhenti keluar dan bekas kena cakar itu nampak kering.
"Aduh!"
Saya terus berguling di tanah. Bahu kanan saya bagaikan ditikam dengan pisau belati. Pedih dan sakitnya hingga tidak terkata. Dalam pandangan yang berpinar-pinar itu, saya lihat datuk bergerak ke sana dan ke sini sambil mengembangkan tangannya. Menepis ke kiri dan ke kanan. Tidak tahu apa yang datuk tepiskan. Saya tidak nampak ada orang yang menyerangnya. Pokok-pokok kecil sekitar pokok condong jadi rata akibat dipijak oleh datuk.
Alang Abdul Rauf mula bertenaga. Duduk bersila di tanah sambil melagakan jari telunjuk dengan ibu jari berkali-kali seperti orang membilang tasbih. Pandangan saya jadi gelap dan saya terdengar suara orang membaca Quran. Saya mengikut pembacaan itu dalam hati sambil menyerahkan diri pada Allah yang maha besar. Saya terdaya membuka kelopak mata. Saya toleh ke kanan, saya lihat Alang Abdul Rauf sedang membaca ayat-ayat suci.
Datuk yang tertiarap di bumi bangun perlahan-lahan. Sekujur tubuhnya berpeluh dan baju yang dipakainya penuh dengan tanah kubur. Alang Abdul Rauf berhenti membaca ayat-ayat suci dan membantu datuk. Saya masih lagi terkapar menahan rasa sakit. Datuk menghampiri saya lalu menampar bahu saya yang sakit. Lagi sekali saya terus pengsan. Tidak tahu berapa lama saya tidak sedarkan diri. Bila saya sedar saya rasa bahu saya tidak sakit lagi.
Datuk terus mengikat ranting kering dengan kain hitam. Ranting kering itu ikat bersusun. Ranting kering yang sudah diikat itu terus dipijak hingga terbenam dalam bumi. Suasana terasa amat sepi sekali.
"Syaitan kacau kita," Alang Abdul Rauf.
"Saya tahu," balas Alang Abdul Rauf.
"Apa ikhtiar kita?"
"Usah bimbang, kuasa Allah tak ada sesiapa yang dapa menentangnya," balas Alang Abdul Rauf penuh keyakinan.
"Aghhhhh"
Serentak saya dan Alang Abdul Rauf serta datuk menoleh ke kanan. Kami terbangun. Dari celah pepohon di atas perkuburan kami terlihat satu lembaga yang amat menggerunkan, lembaga tanpa badan itu bagaikan muncul dari pohon. Kami berpandangan sama sendiri. Mata saya kembali tertumpu pada lembaga tersebut. Keadaannya amat menakutkan.
Mulutnya cukup lebar hingga bertemu dengan telinga. Bibir bawahnya nipis di pagar dengan gigi yang halus dan putih, macam gigi ikan haruan. Biji matanya agak tersorok jauh ke dalam, memancarkan sinar yang garang.
Datuk menarik nafas dengan kencang sekali. Alang Abdul Rauf toleh kiri dan toleh kanan. Kulit mukanya nampak pucat. Perhatian saya masih tertumpu pada lembaga tanpa badan. Rambutnya yang kusut masai menutup dahinya yang luas dan terdapat bekas jahitan hingga ke pangkal leher.
Kulit pipinya nampak lembik ke kanan dan ke kiri bersama gerak darah segar. Hidungnya rasa sama dengan kulit pipi. Bila matanya yang kebiru-biruan menatap muka saya seluruh badan saya menggeletar.
Bibir Alang Abdul Rauf membaca ayat Qursi lembaga itu membuka mulutnya lebar-lebar serta menjelirkan lidahnya yang panjang macam lidah cicak. Setiap kali lidahnya bergerak, keluar air lendir berwarna putih.
Alang Abdul Rauf terus membaca ayat-ayat suci. Saya terdengar bunyi ombak yang kuat. Aneh sekali, macam mana suara ombak boleh terdengar di tanah kubur sedangkan laut berpuluh-puluh batu jaraknya. Dalam gemuruh bunyi ombak itu lembaga yang berada di depan kami terus hilang.
Suasana kembali tenang. Tiada deru ombak, tiada lembaga putih tanpa kepala di depan mata. Tetapi, keresahan tetap terbayang di wajah Alang Abdul Rauf dan datuk. Mata mereka sentiasa saja mengawasi kiri dan kanan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk.
"Rasanya tak ada apa-apa yang nak ganggu kita," datuk renung muka Alang Abdul Rauf. Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf anggukkan kepala.
"Tapi, rasanya ada baik kita tinggalkan tempat ini," suara Alang Abdul Rauf lemah. Matanya tertumpu ke arah kawan-kawannya yang sudah berhenti menggali kubur.
"Kita ke sana, tengok apa yang dia orang dapat," tambah Alang Abdul Rauf.
"Mari," Alang Abdul Rauf cuit bahu datuk.
"Boleh juga," balas datuk.
Sebelum melangkah saya merenung arah kubur yang sudah digali. Teringin rasa hati mahu melihat mayat yang tidak reput dan berbau wangi. Tidak mungkin saya pergi ke situ sendiri tanpa ditemani oleh datuk dan Alang Abdul Rauf.
"Mari," datuk tarik tangan saya. Sinar lampu gasolin terus menerangi kawasan kubur. Sayang, sinar lampu tersebut tidak mampu menerangi jalan yang bakal kami lalui. Terpaksa menggunakan lampu picit.
Bila sudah hampir dengan kubur yang digali oleh kawan-kawan Alang Abdu Rauf lampu picit tidak perlu digunakan lagi kerana sinar lampu gasolin yang terpasang di tempat mereka bekerja cukup terang.
Apa yang menghairankan saya, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang berhenti rehat dan menggali kubur itu menutup hidung mereka dengan kain yang diikat ke belakang. Saya tersenyum melihat cara mereka yang sekaligus mengingatkan saya pada filem cowboy dalam adegan rompakan.
"Awak ada tercium bau busuk?" tanya datuk pada Alang Abdul Rauf.
"Ada, dahlah busuk hapak pula," Alang Abdul Rauf seperti merungut.
LUBANG
Kian hampir dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf, makin kuat bau busuk itu menyucuk lubang hidung. Saya tidak dapat menggambarkan bau busuk itu. Saya bagaikan mahu muntah tetapi, saya berusaha menahannya dengan menekan ibu jari ke pangkal dagu hingga terasa sakit.
"Dari mana bau busuk ini?" Alang Abdul Rauf menyoal kawan-kawannya. Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf meluruskan jari telunjuknya pada pada tanah kubur yang bertimbun.
"Dah jumpa tulang mayat?" tambah Alang Abdul Rauf.
Serentak kawan-kawannya gelengkan kepala. Datuk dan saya hanya berdiam diri saja.
"Kita tak boleh lambat, kita mesti selesaikan segera," Alang Abdul Rauf bersuara dalam nada yang penuh kesal. Kawan-kawannya berpandangan sama sendiri. Angin tetap bertiup. Suara lolong anjing kian menjadi-jadi. Suara jampuk dan burung hantu tetap rancak bersenandung riang. Saya menggaru batang leher dua tiga kali. Datuk memetik beberapa daun pokok yang berdekatan. Saya tidak tahu kenapa datuk memetik dedaun tersebut.
"Mari kita korek," Alang Abdul Rauf ambil cangkul dari salah seorang kawannya.
"Kami bukan tak mahu korek, kami tak tahan dengan bau busuk," kawan Alang Abdul Rauf menerangkan dengan penuh jujur. Alang Abdul Rauf melepaskan ulu cangkul yang dipegangnya. Sepasang matanya merenung tajam pada datuk. Datuk segera menghampirinya dan menyerahkan daun pada Alang Abdul Rauf.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 5 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now