Part 10

11.6K 592 73
                                    

My love is a diary

that spells the pages of my life

.

.

Terlalu asyik bercerita, Putra tidak sedar si kecil sudah tertidur. Sekali lagi menoleh, bibir kecil itu sudah terbuka sedikit di dalam tidurnya. Entah faham atau tidak dengan hikayat Si Papa tentang cinta hatinya. Mungkin dia terlena dalam keterpingaan.

Putra bergerak perlahan ke birai katil. Selimut ditarik kemas melindungi puterinya dari kesejukan malam. Baru saja tangannya bergerak untuk membuka lampu tidur di tepi kepala katil, pergerakannya kaku. Tangan terhenti di bingkai gambar yang tegak berdiri di tepi kaki lampu.

"Manja." Ada getar dalam suara Putra. Ada lirih yang tak mampu diluah dalam kata.

"Abang rindu Manja. Do you miss me my love?" Gambar itu direnung lama sebelum diambil dan dilekapkan ke dada untuk beberapa saat.

Tiga tahun masa mereka bersama, segala-galanya indah belaka. Putra benar-benar memaknakan apa yang dijanji. Tekad untuk mengukirkan senyum di bibir Leyla sentiasa diangkat menjadi yang teratas.

Di hadapannya, Leyla berubah menjadi seorang wanita yang tidak pernah terlintas akan mampu dimiliki sehayat ini.

Manjanya Leyla, hanya Putra saja yang tahu.

Mulianya hati Leyla, hanya Putra saja yang tahu.

Indahnya hidup bersama wanita sesempurna Leyla, hanya Putra saja yang tahu.

Dan selamanya akan kekal begitu. Hanya Putra saja yang akan tahu. Kerana Leyla sudah pergi meninggalkan memori indah untuk Putra. Kali ini pergi yang selamanya. Pergi yang tidak akan pulang lagi.

Dahulu, selepas mereka mampu membicarakan Maira tanpa sebarang rasa sangsi di hati, Leyla sering mengatakan yang wanita sebaik Maira disayangi Allah. Dan apa yang disayangi-Nya, akan diambil lebih awal dari yang lain. Kerana Allah mahu dia menikmati indahnya dunia sana yang menanti. Langsung tidak Putra sangka, ayat itu akan diulang pakai untuk Leyla pula selepasnya.

Tak terbilang air mata yang menitis setiap kali Putra menziarahi kubur Leyla yang letaknya bersebelahan dengan pusara Maira. Dua wanita yang sangat dicintainya, rupa-rupanya sangat disayangi oleh-Nya. Beruntungnya mereka kerana dipanggil lebih awal. Dan dalam semua takdir itu, Putra ikut sama beruntung kerana hidupnya pernah dicorakkan dengan kehadiran dua wanita hebat itu.

Maira, hadir membawakan cinta sejenak yang akhirnya membawa Putra kepada cinta yang lebih hebat, dan lebih sempurna.

Leyla Manja. Cinta sempurna yang kekal abadi hanya milik Putra Amar.

"Abang rindu Manja..." Akur pada kehendak hati, Putra tidak menahan tangisannya. Rindu yang teramat sering menyusup masuk ketika sunyi malam menjelang.

Kesibukan membesarkan Si Kecil Hanani tidak pernah mampu menyahkan rindu yang menggebu pada Leyla. Tiga tahun bersama dalam erti kata sebenar sebagai suami isteri tidak cukup untuk Putra curahkan segala kasih dan sayangnya untuk Leyla.

Tak pernah luput dari ingatan saat berkali-kali dikucup dahi Leyla sebelum kain kapan menutup wajah bersih isterinya. Berkali juga dia mengesat air matanya supaya tidak jatuh menitik di wajah Leyla.

"Mungkin ini ujian Allah untuk jadikan abang insan yang lebih kuat. Abang terima..." Wajah tersenyum Leyla yang terpotret di dalam gambar diusap dengan hujung telunjuk. Setitis air mata menitik jatuh, tepat di atas wajah tersenyum Leyla.

'Allah bagi kita rezeki lagi. Itu maknanya DIA sayang kita.' Petang Leyla menyampaikan berita dirinya berbadan dua, adalah satu dari memori terindah mereka bersama. Seri yang terlihat di wajah mulus isterinya, tidak pernah sedikit pun kurang sepanjang tempoh dia mengandung. Sehingga ke saat dia sudah pergi pun, wajahnya kelihatan seperti sedang nyenyak tidur. Seperti yang biasa Putra lihat saban pagi setiap kali dia terjaga lebih awal dari isterinya.

'Manja tak pernah rasa bahagia macam ni sepanjang hidup Manja.' Dua bulan selepas disahkan mengandung, Leyla jadi semakin manis. Manis dalam bicaranya. Manis dalam setiap tingkah lakunya. Sentiasa manis di mata Putra. Tidak pernah walau sekali Putra benarkan rasa duka datang singgah ke hati Manja nya.

Sungguh, Allah sayangkan setiap hamba-Nya. Sebelum Leyla diambil pergi, DIA titipkan Hanani sebagai amanah yang perlu Putra galas sekaligus menjadi tempat untuknya berpaut kasih.

"Abang pun tak pernah rasa sebahagia tu sepanjang hidup abang. Terima kasih Manja, sebab muncul dalam hidup abang." Bingkai gambar tersebut diletakkan kembali ke tempatnya. Perlahan dia berbaring mengiring menghadap bingkai gambar tersebut.

Bayangan Leyla yang suka berbaring mengiring menghadap Putra saban malam dahulu muncul di hadapannya. Leyla suka aktiviti yang itu. Sama-sama diam bertentang mata. Sama-sama mengulit jemari. Sama-sama menghantar senyum bahagia.

"Manja..." Putra tersenyum pada bayangan mindanya.

'Abang.' Seruan Putra berbalas dengan suara Leyla yang terakam kemas di minda. Lengkap bersama senyuman manis Leyla yang tidak pernah lekang di bibir sejak Putra diberi peluang sekali lagi untuk hidup bersama dengannya.

"Abang rindu Manja." Sekali lagi Putra mengulang rintihannya tadi. Rasa terubat rindunya membayangkan Leyla ada berbaring di sisinya seperti dulu.

'Kalau rindu, titipkan doa untuk Manja selalu."

Putra tersenyum. Dulu Leyla tidak pernah bosan mengajak Putra untuk sama-sama menghadiahkan bacaan Yasin untuk Maira. Kalau rindu, titipkan doa dan sedekahkan bacaan Yasin. Itu pesan Leyla. Dan sehingga kini, pesan itu tidak pernah lekang dari mindanya.

'Abang jangan sentiasa ingatkan kisah lama. Yang berlalu tu, biarkan berlalu. Manja dah maafkan abang. Hati Manja, dah sarat dengan kasih sayang abang. Tak ada lagi parut yang lama.' Mata Putra yang baru layu tertutup kembali terbuka saat ingatannya memutarkan kembali kata-kata Leyla satu masa dulu. Serentak matanya kembali bertemu dengan mata Leyla di dalam bayangannya. Tangan Putra bergerak. Berniat mahu mengelus rambut wanita yang dahulu pernah terluka disebabkan ulah bodohnya.

Tapi tangannya terhenti separuh jalan. Tahu itu semua bayangan semata. Mustahil dia dapat menyentuh lagi walau seinci pun jasad isterinya.

'Bila Manja ingat semula kisah lama, tak ada lagi rasa sakit hati yang tinggal. Itu bermakna, Putra Amar dah berjaya membahagiakan wanita yang bernama Leyla Manja.'

"Manja maafkan abang kan?" Putra ulang soalan yang dahulu sering diulang tanya kepada Leyla. Cuma bezanya, kali ini soalannya hanya mampu dihantar melalui angin lalu. Dan seperti selalu juga, Leyla akan mengulang jawapan yang sama.

'Manja dah maafkan abang. Terima kasih abang, untuk cinta yang abang sudi bagi pada Manja.'

Putra tersenyum. Membalas senyuman wanita yang terkunci dalam kepingan waktu beku di hadapannya ketika itu. Kelopak matanya kembali rapat tertutup.

"Terima kasih Manja... sebab setia mencintai lelaki macam abang."

Tidur Putra malam itu, sekali lagi ditemani hati yang sarat dengan rindu. Manisnya rindu itu, terasa menyelam sampai ke dasar hati. Si kecil Hanani berguling di dalam tidurnya. Berhenti bila tubuhnya bertemu belakang tubuh Si Papa. Tangan kecilnya tanpa sedar mengepal secebis baju Putra. Baru lenanya diam tidak berkutik.

Dalam sunyi malam itu, seekor kelip-kelip yang entah dari mana datangnya, tiba-tiba hinggap di atas bingkai gambar Leyla. Cahaya kerlipannya sesaat menyirami wajah di dalam gambar tersebut sebelum serangga kecil itu kembali terbang menjauh.

Kelip-kelip cinta, wujudnya satu dalam sejuta. Tapi sayang ... hayatnya tidak menentu. Ada yang memilih untuk menjadi pemuja di dalam diam. Ada juga yang memilih untuk menyimpannya sebagai hiburan.

Saat Leyla memilih untuk menjadi pencinta sejati, dia menjarakkan diri. Menjadi pemerhati cantiknya kerlipan cahaya di dalam gelap malam.

Saat Putra sedar dan mahu kembali menjadi pencinta abadi, hayat si kelip-kelip sudah mula mencapai penghujungnya. Diberi perhatian yang sepatutnya, kelip-kelip itu berjaya bersinar terang. Secantik yang dulu.

Tetapi tidak lama.

Hukum alam mengatakannya begitu.

Yang harus pergi, akan pergi.

Dan yang harus meneruskan hidup, perlu menguatkan hati dan meneruskan langkah kaki.

~ Leyla Manja, kelip-kelip cinta milik Putra Amar ~

Kelip-Kelip Cinta ( OV ) ( ✔ )Where stories live. Discover now