KEMBARA 1

1.5K 24 2
                                    

Kegelapan menyelimuti langit. Bintang-bintang pula menyembunyikan diri, dan rembulan menyorok di sebalik awan. Suasana itu menaungi hutan nan tebal, menjadikannya gelita, kecuali di satu tempat.

Asap berkepul naik melepasi rimbunan pokok.

Sebuah unggun api menyala, dan di atas unggun api itu terdapat sebuah kuali. Di sisi kuali itu wujud seorang pemuda, sedang asyik memasak menggunakannya. Pemuda itu dikelilingi sekumpulan manusia lain, yang kurang lebih sebaya dengannya.

"Kalau tak ada Mikail, aku tak tahu kita akan dapat teruskan perjalanan kita bagaimana." Ariki yang duduk di samping dua orang pemuda, Yusuf dan Jilani, bersuara.

Pemuda di sisi kuali itu berpaling dan memandang ke arahnya. Dialah Mikail. "Ah, terharunya aku." Tawa menghiasi wajah, disambut dengan gelak daripada Ariki dan senyuman daripada Jilani.

"Bukankah engkau dan Aifer sama-sama berjaya mengharungi hutan belukar selepas melarikan diri daripada Lakshamana dahulu?" Jilani menalakan pandangan ke seberang, di mana dua orang pemudi berpakaian labuh, dengan kain litup menutup kepala, sedang duduk.

Aifer berhenti dari berbual dengan Runihara seraya Jilani menyebut namanya.

"Kalau boleh, kita tidak mahu mengulangi pengalaman itu, bukan?" Aifer mengerling kepada Ariki.

Ariki mengangguk. Kenangan pahit. Wajahnya yang tadi manis dengan sisa tawa, menjadi sedikit tawar. Mengimbau pengalaman tersebut, menjaidkannya teringat kepada Kabeer, bapa kepada Aifer, yang terkorban selepas membantu mereka melarikan diri dari ancaman Lakshamana, Wirawan Utama Mukan'Aja.

Menyedari perubahan riak wajah Ariki, Jilani terus memanjangkan lengannya, memaut ke bahu Ariki.

"Maafkan aku, kerana mengungkit kenangan pahit."

Ariki tersenyum. Menggeleng. "Tidak mengapa. Benar seperti kata Aifer, jika boleh, kita tidak mahu mengulangi pengalaman tersebut."

Yusuf hanya membisu melihat semua itu. Riak wajahnya juga tersembunyi di sebalik topeng, yang hanya mendedahkan kedua-dua matanya sahaja. Pemuda itu masih kekal misteri kepada rakan-rakannya. Dalam apa jua keadaan, Yusuf kekal bertopeng dan mengunci bicara. 6 bulan telah berlalu semenjak mereka bersembunyi di dalam Hutan Maut, sepanjang waktu itu jualah Yusuf tidak pernah sekali mentuturkan apa-apa bicara.

Dia hanya berbicara dengan isyarat tangan.

Apabila Ariki memandangnya, Yusuf menunjukkan isyarat agar Ariki bertabah. Kemudian menunjukkan isyarat bahawa dia dan rakan-rakan yang lain akan bersamanya dalam perjalanan ini.

Ariki tersengih. Walau tanpa riak wajah, Yusuf tetap berjaya menyuntik ketenangan.

"Baik, makanan sudah siap!" Mikail menuang lauk ke atas enam helaian daun besar yang sudah siap menatang nasi.

"Wah, baunya sangat menaikkan selera!" Jilani saling menggosok kedua-dua tangannya.

"Bismillahirrahmanirrahim!" Runihara turut teruja seperti abangnya. Segera mengambil bahagiannya, dan menjamah dengan penuh berselera.

"MasyaAllah, sedap!" Aifer memuji selepas menelan makanan itu buat kali pertama. "Seperti biasa Mikail, setiap makanan yang engkau masak, sangat istimewa. Kalah aku sebagai seorang perempuan."

Mikail tertawa. Tetapi kemudian tawanya terhenti apabila dia perasan Yusuf tidak duduk bersama mereka. Yusuf duduk sedikit jauh dari mereka berlima, dan tidak pun menghadap ke arah mereka.

Hikayat Satria-Satria Sejati: Arus PerubahanWhere stories live. Discover now