KEMBARA 5

463 10 0
                                    

Kata-kata terkunci dari bicara mereka. Mikail sudah terlopong mulutnya. Manakala Ariki, Jilani, Runihara dan Aifer melihat Kaminari terbentang luas di bawah telapak kaki mereka. Tinggal Yusuf sahaja hanya membatu, topeng yang dikenakan menghalang reaksinya diketahui orang sekeliling.

Mereka sedang terapung diangkat bongkah tanah yang besar.

Walhal takjub mereka ke atas suasana Kaminari yang nyaman, indah, tenang, belum lagi menghilang. Walaupun penuh dengan penduduk, juga para pelancong dan pelawat, Kaminari tidak bising dan riuh. Masyarakat di situ hidup dengan teratur, tenang, tertib.

Ariki berani menyatakan, sepanjang hidupnya di istana Lutello, dan pemerhatiannya di Ismura, Ibu Negara Mukan'Aja, rakyat Mastazadi di Kaminari ternyata seribu kali lebih sopan.

Kaminari juga sangat bersih, bau di sepanjang jalan sangat menyenangkan. Bangunan-bangunannya, tidak terlalu tinggi kecuali untuk beberapa menara. Tradisional dan mungkin boleh dikatakan sebagai kuno, tetapi jelas bersih dan tersergam megah mempamer disiplin Mastazadi yang sebenar.

Mereka sempat melalui beberapa sekolah persilatan, yang nampaknya menjadi tarikan utama di Kaminari, berbanding medan perniagaan untuk sempadan Mastazadi. Rupa-rupanya, tarikan perlancongan di Kaminari ialah seni mempertahankan diri, dan juga pertandingan seni bela diri yang rancak berjalan.

Rakyat Mastazadi jelas tertib dan berdisiplin. Manusia, tetapi mereka seakan berada di satu tahap yang lebih tinggi.

Kini takjub mereka ditambah dengan berada di tengah-tengah udara, tinggi, menuju bongkah tanah gergasi yang tergantung di atas langit.

"Tiada pengguna unsur tanah di sini, dan mustahil pengguna unsur tanah mampu mengapungkan bongkah sebegini tinggi. Bagaimana Mastazadi mampu mengusahakan semua ini?" Ariki yang masih dalam keadaan takjub, melontar soalan.

Jeneral Himura yang berada di sisinya kekal bersahaja dengan dua tangan bersatu di hadapan pinggangnya.

"Teknologi. Saki baki tinggalan teknologi lama. Setiap negara di dunia ini mewarisi sebahagian teknologi silam. Fungsinya sudah tidak meluas, memandangkan sumber untuk memperbanyak teknologi-teknologi ini telah pupus. Aku percaya dahulu teknologi ini dipanggil 'Anti-Graviti'." Runihara bersuara.

Ariki, Mikail, Aifer dan termasuk Yusuf, menoleh ke arah Runihara.

"Apa? Aku suka membaca." Runihara tersengih.

"Benar. Kadangkala aku perlu berkawal di luar perpustakaan Wagangada kala tengah malam, hanya untuk Runihara membaca." Jilani menambah.

"Bijak. Benar apa yang diperkatakan. Selepas muka bumi berubah dek hujan meteor pada alaf yang lepas, kebanyakan teknologi di dunia ini telah terhapus. Apa yang kalian lihat ini hanyalah tinggalan projek yang asalnya terbengkalai. Tetapi kemudian selepas dekad demi dekad, manusia yang hidup selepas tragedi hujan meteor telah berjaya mengusahakan ini semua berlaku." Jeneral Himura mendepangkan tangannya.

"Keajaiban buat Mastazadi. Kekuasaan buat Maharaja!"

"Aku tidak sabar mahu bertemu dengan Maharaja ini. Engkau kelihatan sangat menghormatinya."

"Semestinya. Untuk kami di sini, Maharaja ialah Tuhan."

Ariki mengerutkan dahi. Wajah Jeneral Himura ditatap dengan pandangan tajam.

"Tidak ubah seperti ayahandaku. Dia turut menganggap dirinya setaraf dengan Tuhan."

"Ah, tetapi Lutello tidak akan setaraf dengan Maharaja Arata." Jeneral Himura tertawa. "Dia hanya orang tua yang takut kehilangan takhtanya. Tidak mampu menguruskan sekumpulan kanak-kanak."

Hikayat Satria-Satria Sejati: Arus PerubahanWhere stories live. Discover now