Sudah masuk hari kedua Ashwadi di sempadan Mastazadi. Berjalan dari hujung ke hujung menuntun kudanya sambil memasang telinga di celah lautan manusia. Kadangkala dia akan menyapa dan memulakan perbualan. Semuanya untuk mendapatkan maklumat berkenaan sekumpulan pemuda pemudi dan seorang wanita tua.
Setakat ini dia tidak punya maklumat yang memuaskan.
"Apakah aku perlu ke Kaminari? Berbaloikah?"
Perjalanan ke Kaminari memakan masa seminggu berjalan kaki, dan sekitar tiga hari menunggang kuda dengan kelajuan yang sederhana. Kaminari lebih besar dan luas berbanding kawasan sempadan ini. Dikelilingi pula oleh hutan tebal dan gunung-ganang. Belum ditambah dengan kehadiran tentera yang tinggi di ibu negara Mastazadi tersebut.
Ashawadi tahu, walaupun Negara-Negara Timur terpisah dari Mukan'Aja, terputus hubungan telekomunikasi antara mereka, Negara-Negara Timur tetap punya mendapat maklumat dan khabar perkembangan Mukan'Aja melalui pedagang-pedagang.
Bahkan, Ashwadi yakin, pedagang-pedagang yang sering berulang alik antara Negara-Negara Barat dan Negara-Negara Timur itu, ada di kalangan mereka merupakan pengintip yang memang bertugas untuk mendapatkan maklumat sensitif.
Ashwadi tidak mahu dirinya mencetuskan peperangan antara Mastazadi dan Mukan'Aja, selagi belum tiba masanya yang sesuai. Ashwadi yakin, berita bahawa dia merupakan Wirawan terbaru Mukan'Aja, menggantikan Uytur yang mati dibunuh Ariki, telah diambil maklum pemerintahan di sini.
Kemungkinan untuk identitinya terdedah sentiasa ada. Kerana itu Ashwadi perlu berhati-hati, dan sentiasa menimbang tindakannya di sini.
Ashwadi mengambil keputusan untuk mengubat keletihannya terlebih dahulu. Sebaik sahaja sampai ke sempadan ini semalam, dia tidak berehat. Tidur, makan dan minum diabaikan. Dia terus sahaja ke hulu dan ke hilir memasang telinga.
Perjalanan Ashwadi mencari makanan terhenti apabila dia melihat sebuah restoran mewah sedang memberikan makanan kepada peminta-peminta sedekah. Sesuatu yang asing, memandangkan restoran mewah sering mengabaikan orang-orang susah. Peminta sedekah dianggap kotor dan jijik, boleh merosakkan imej kemewahan yang dipamerkan.
Ashwadi mengambil keputusan untuk mendekati restoran tersebut.
"Jemput masuk Tuan." Pelayan wanita di muka pintu yang sedang mengedarkan makanan percuma, menunduk dan melemparkan senyuman tatkala Ashwadi menghampiri restauran itu.
Ashwadi membalas tunduk hormat itu, sebelum melangkah masuk. Dia dibawa oleh seorang lagi pelayan, ke sebuah meja kosong. "Jemput duduk dahulu, ini pula ialah senarai menu. Tuan akan dilayan sebentar lagi." Lembut dan mesra.
Ashwadi memerhatikan menu. Pada masa yang sama, telinganya difokuskan untuk mendengar segala perbualan di restauran tersebut.
"Aku dengar hari ini mereka akan mendapat hukuman setimpal!"
"Ya, aku juga dengar begitu."
Ashwadi mengerutkan dahi. Perbualan itu hanya dengan suara rendah seperti berbisik, namun pendengaran Ashwadi cukupn tajam untuk menangkapnya. Ashwadi menoleh. Sekitar lima orang askar Mastazadi sedang duduk di sebuah meja bulat, berbual sambil menjamu selera.
"Aku dengar, salah seorang daripada mereka ialah yang buat kecoh di restauran ini."
"Ah tukang masak itu. Tetapi tak dinafikan, kemahiran memasaknya sangat tinggi! Aku sempat menjamah kuih masakannya tempoh hari."
YOU ARE READING
Hikayat Satria-Satria Sejati: Arus Perubahan
AçãoHikayat Satria-Satria Sejati: Arus Perubahan - Enam bulan telah berlalu selepas tragedi di Wagangada. Enam bulan juga Ariki dan rakan-rakannya berkampung di Hutan Maut bersama Ibu Umeira. Enam bulanlah juga Ishmakil tidak pulang-pulang kepada mereka...