KEMBARA 3

534 9 0
                                    


Aifer dan Runihara beriringan merentasi lautan manusia. Langit sudah mempamerkan bias merah, tanda waktu senja telah pun tiba. Mereka perlu kembali di tempat yang dijanjikan.

Namun semakin hampir ke destinasi, langkahan mereka terganggu. Riuh rendah kedengaran dari restoran berhampiran. Orang ramai pula berkumpul dan tertumpu di situ.

"Apa yang berlaku?" Runihara yang sedikit pendek, cuba menjengket.

"Entah." Aifer yang lebih tinggi berbanding Runihara pun tidak dapat melihat apa yang berlaku.

"Apakah kita patut ambil kisah...." bicara Aifer terpotong. Hidungnya mengesan bau yang sangat harum. "...apakah ini?"

"Ya, harumnya! Ah, terus jadi lapar!" Runihara terus menghidu.

Mereka berdua sedar bau tersebut datang dari punca keriuhan. Orang ramai yang berkumpul di situ tidak lama kemudian bersorak dan bertepuk tangan. Menambah kehairanan Aifer dan Runihara.

"Ha, belum lagi masakanku dirasai, aku sudah tahu yang pemenangnya adalah aku." Suara itu kedengaran kuat, diikuti tawa yang sangat ceria.

Runihara dan Aifer saling berpandangan. "Mikail?"

Akhirnya mereka berdua membuat keputusan untuk meredah juga lautan manusia di hadapan mereka, dan tidak lama kemudian, berjaya melihat apa yang berlaku.

Dua orang lelaki, berpakaian tukang masak, sedang berada di balik sebuah meja panjang. Di atas meja itu jelas terdapat dua tempat masak, dengan pelbagai bahan-bahan masakan. Di sebelah kanan, berdiri Mikail, yang kini bersahaja sambil menyilang kedua-dua belah tangannya. Di hadapan Mikail, sudah tersedia sekitar lima juadah yang berbeza. Mengiurkan!

Seorang lagi tidak Aifer dan Runihara kenali, dan lelaki itu baru sahaja berjaya menyempurnakan juadahnya. Lima juadah juga. Kelihatan bertungkus lumus dan kini sedang menyeka keringat di dahi dengan lengannya.

"Juri-juri, sila." Mikail menjemput dengan yakin.

Lima orang berpakaian rasmi restoran, bergerak ke hadapan meja. Mereka pergi ke bahagian lawan Mikail. Juadah-juadah di situ dirasa. Ketika ini, Mikail kelihatannya menyedari kehadiran Aifer dan Runihara. Segera Mikail melambai dengan ceria.

Aifer dan Runihara mengerutkan dahi, sambil membuat muka. "Apa yang engkau buat hah?" Suara itu hanya tersekat pada kerongkong mereka, kerana tidak mahu menganggu suasana. Namun wajah mereka jelas menterjemahkan soalan tersebut.

Mikail sekadar mengangkat ibu jari.

Aifer dan Runihara menepuk dahi. "Kalau tak buat kecoh, tak sah Mikail ni." Runihara memberikan komentar, sambil menyilang tangan pada dada.

Aifer tertawa.

"Baik, seterusnya." Salah seorang juri bersuara. Kelima-lima mereka bergerak ke bahagian Mikail.

"Dari segi persembahan, hebat. Teknik masakan engkau juga, kelihatan tiada tolok bandingnya. Bau semerbak dan mengiurkan. Persoalan terpenting ialah rasa." Juri-juri mengambil sudu dan garfu, mula menjamah masakan Mikail.

Kemudian suasana menjadi sunyi sepi. Juri-juri tersebut kaku.

Aifer dan Runihara berdebar. Apa yang sedang berlaku?

Hikayat Satria-Satria Sejati: Arus PerubahanWhere stories live. Discover now