KEMBARA 4

557 10 0
                                    

"Lepaskan aku, kekanda." Suara itu disertai hentakan pada jeriji penjara.

Ryuken yang sedang khusyuk menggilap senjatanya, berhenti. Dia menoleh ke arah suara itu hadir. Sebuah penjara, tetapi kelihatan di dalamnya selesa dengan kewujudan tilam, bantal serta tandas yang tertutup. Seorang lelaki, berperawakan kusut, rambut panjang tidak terurus, sedang mengetuk jeriji penjara sambil kedua-dua belah tangannya kekal tergari.

"Masanya belum tiba untuk engkau dilepaskan, Ishmakil."

"Enam bulan telah berlalu kekanda!"

"Engkau di sini diberikan tempat tinggal yang selesa. Makan dan minum yang terjaga. Engkau berada di penjara khusus aku usahakan untukmu, kerana engkau adindaku." Ryuken tersengih, sambil menyambung urusannya.

"Aku punya misi kekanda! Sekiranya engkau tidak lagi mahu menyebelahi kami, maka engkau lepaskan sahaja aku. Tidak perlu aku dihalang sebegini!"

Ryuken tertawa sambil menggeleng.

"Misi apa? Engkau mahu menyertai Gidaya, Mordekai dan Shankara dalam usaha sia-sia mereka menumbangkan Mukan'Aja? Untuk apa?"

"Untuk menyinari kembali dunia ini dengan cahaya kebenaran." Ishmakil menjawab yakin, sambil dua tangannya menggenggam jeriji.

Tawa Ryuken spontan pecah. Dia ketawa berdekah-dekah beberapa ketika. Urusannya sekali lagi tergendala, dan kini sebelah tangan diangkat, menyeka air mata yang mula meleleh.

"Lucu, lucu. Cahaya kebenaran apa? Islam? Tidakkah engkau tahu siapa mengkhianati kita saat kita di ambang kemenangan menentang Lutello dahulu?"

Tawa Ryuken terhenti. Dia kini menghalakan pandangannya yang tajam terhadap Ishmakil.

Ishmakil diam tidak segera membalas.

"Tanah Suci mengkhianati kita!" Ryuken mengherdik dengan suara yang tinggi.

Aura yang tinggi dilepaskan, menggegar ruangan tersebut. Jeriji tempat Ishmakil berpegang turut bergetar.

"Orang-orang Islam telah bersekongkol dengan Lutello. Mereka menarik sokongan terhadap perjuangan kita, mengisytiharkan kita murtad dan menggelar kta sebagai Penyangak Sesat! Mereka sudah jauh dari amalan Islam, agama sekadar menjadi ritual. Mereka menjahanamkan diri mereka sendiri, maka untuk apa kita berjuang?"

Suasana di ruang tersebut menjadi sepi seketika sebaik sahaja Ryuken melontarkan soalan. Ishmakil masih membisukan diri. Tinggal pandangannya tidak tewas dengan tikaman tajam pandangan Ryuken. Dia kekal menatap kekandanya itu.

"Engkau dan aku tahu, bahawa kerosakan di atas muka bumi ini terhasil dari tangan insan itu sendiri. Allah telah berfirman akan hal tersebut di dalam Kitab Suci. Tugas kita ialah mengeluarkan insan dari kerosakan tersebut!" Ishmakil bersuara apabila Ryuken tidak lagi mahu menyambung bicaranya.

"Jadi engkau merancang untuk mengeluarkan masyarakat dunia ini dari kegelapan, dengan bantuan sekumpulan budak?" Ryuken tersengih, jelas menghina.

Katana di hadapannya diangkat. Ryuken meneliti bilah senjata tersebut, sebelum tangan kirinya mencapai sarung yang tersadai di sisinya. Ryuken memasukkan bilah katana itu ke dalam sarung, kemudian berdiri, sebelum meletakkannya dengan penuh cermat di sisi pinggangnya.

"Mereka yang engkau gelar sebagai budak-budak itulah yang mengeluarkan aku dari lembah putus asa. Mereka mengingatkan aku kepada kita dahulu, kekanda."

Hikayat Satria-Satria Sejati: Arus PerubahanWhere stories live. Discover now