Jasmine terus menuju ke sekolah anaknya selepas habis makan tengahari. Di dalam kereta, fikirannya tidak lagi memikirkan soal suaminya sebaliknya apa yang diceritakan oleh Zahira tadi. Dia tahu dia tidak seharusnya meragui apa yang baru diceritakan oleh orang baru tapi tak salah rasanya untuk berjaga-jaga.
Lagipun, mustahillah Amelia akan terpikat pada suaminya. Handbag mak datin itu sebiji sama dengan jumlah gaji kasar suaminya. Memang taklah suaminya akan digoda oleh Amelia.
Jasmine melihat anaknya keluar dari perkarangan sekolah lalu menuju ke keretanya. Mujurlah ada anak penyejuk hati. Tidak pernah sekali Jasmine tidak senyum tatkala melihat wajah polos suci anaknya itu.
"Mama, tadi Cikgu Karina cakap Fahrin balik dengan kita." Oh ya, Fahrin itu nama anaknya Amelia.
"Ha'ah. Danial ada nampak dia tak?"
"Ada tadi. Tapi dia kelas lain. Danial baliklah dulu."
"Hmm, Danial pergi cari dia kejap boleh tak? Mama rasa dia tak tahulah kereta mama."
"Okey, mama."
Anaknya itu akur.
Danial mewarisi wajah Zikry sebenarnya. Jasmine selalu katakan hal itu kepada anaknya. Anaknya, walaupun masih muda untuk memahami, hanya mampu mendengar.
Tidak lama menunggu, Danial kembali dengan seorang budak lelaki seusianya. Jasmine mempamerkan senyum kepada budak lelaki sebaik dia masuk ke dalam kereta. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Jasmine.
"Terima kasih, Aunty Jasmine."
"Sama-sama, Fahrin."
Kereta pun mula dipandu oleh Jasmine meninggalkan perkarangan sekolah itu. Danial dan Fahrin galak bermain di seat belakang membuatkan Jasmine tersenyum sendirian. Maklumlah, di kondominium baru mereka ini, Danial masih belum mempunyai kawan lagi. Jadi, masa bermainnya hanyalah di sekolah. Cuma di rumah Murni mungkinlah ada kelihatan dia bermain.
Semasa tiba di hadapan rumah Amelia, Jasmine tercengang sedikit. Ya, dia tahu majikannya itu seorang Datin tapi rumah agam yang berada di hadapannya ini sangatlah mewah dari apa yang dia bayangkan. Tapi, siapa dia untuk menilai?
Keluar saja dari kereta, Fahrin sudah menarik tangan Danial masuk ke dalam rumah tanpa sempat Jasmine menghalang. Jasmine serba-salah untuk masuk ke dalam atau sekadar menunggu sahaja di luar banglo itu.
"Puan Jasmine, Datin Amelia jemput masuk dulu." Seorang pembantu rumah yang pada tekaan Jasmine, berasal dari Indonesia, memanggilnya masuk. Jasmine menurut ajakannya itu.
Melangkah masuk ke banglo besar itu, Jasmine terpesona dengan apa yang ada di dalam rumah tersebut. Lantai marble hitam itu memang sejuk sahaja dipijak ditambah lagi dengan penghawa dingin menyejukkan ia lagi.
"Silah, Jasmine dah masuk ke?" Kedengaran suara Amelia di tingkat atas.
"Sudah, Datin."
Kemudiannya di foyer tingkat tiga rumah itu yang boleh dilihat dari tingkat satu itu, berdirinya seorang wanita berkemban dengan berus rambut masih tersemat di tangannya. Melihat Jasmine di bawah, senyuman mesra mekar terukir di wajahnya.
"Hai, Jasmine. Jemput masuk dulu. Tunggu kejap eh. I put on my dress kejap."
Jasmine kemudian menurut pembantu rumah bernama Silah itu ke satu ruangan khas di dalam banglo itu. Di ruangan itu terdapat dua buah kerusi dan juga sebuah meja. Ruangan itu lebih kurang sebuah balkoni yang menghadap kawasan ibu kota. Maklumlah, banglo orang kaya ni memang over the top sikit designnya.
YOU ARE READING
Secawan Teh Strawberi
Mystery / ThrillerNak minum teh? Teh berperisa rahsia silam, dendam, cemburu dan tikam belakang? Hiruplah teh ini...