Kejadian

12.6K 150 3
                                    


Sudah hampir 4 minggu Zandra mengalami kejadian yang sama. Setiap kali dia ingin tidur, dia rasa seperti ditindih oleh sesuatu yang sangat berat. Kaki, tangan dan seluruh tubuhnya tidak dapat bergerak. Lebih kurang dalam dua tiga minit kejadian itu berlangsung dan sebaik sahaja berakhir, Zandra pasti kehabisan nafas tercungap-cungap kerana sesak nafas seperti ditindih. Dia tidak pernah mengalami kejadian seperti itu selama ini. Dia pasti itu bukan mimpi atau khayalan mahupun separa sedar. 

Bukan itu saja, Zandra juga acapkali bermimpi yang aneh dan pelik malah mimpi-mimpi itu terasa sangat 'real' dan sedikit sebanyak mengganggu emosi Zandra hingga terbawa-bawa ke alam realiti. Zandra sukar untuk tidur menyebabkan dia sering kelesuan. Akhir-akhir ini dia sering lewat ke tempat kerja. Prestasi kerjanya juga menurun, hingga mendapat amaran dari majikannya. Setiap hari ada saja kesan-kesan lebam seperti dicubit atau digigit oleh sesuatu muncul di serata tubuh Zandra lebih-lebih lagi di bahagian peha dan leher. Sudah bermacam jenis produk kesihatan yang Zandra gunakan untuk mengatasi masalah kesihatan yang Zandra sangkakan hanyalah masalah kesihatan yang biasa, namun semuanya langsung tidak memberikan apa-apa perubahan kepada kesihatan Zandra.  

Zandra turut merasakan sedikit keanehan berlaku di dalam rumahnya kebelakangan ini. Dia merasa seolah-olah ada seseorang yang sentiasa memerhatikan gerak gerinya. Dia juga merasakan seperti ada kehadiran individu lain di dalam rumahnya. Kadang-kadang Zandra ternampak ada bayang-bayang menyusup dan kelibat-kelibat melintas yang tidak dapat dipastikan apakah sebenarnya. Di waktu-waktu tertentu, bulu roma Zandra akan meremang dengan sendiri secara tiba-tiba membuatkan Zandra rasa keliru.  Pada mulanya Zandra memikirkan ia hanya ilusi atau perasaannya sahaja namun semakin lama perkara-perkara tersebut semakin menjadi-jadi. 

"Mana pula aku letak kunci kereta ni?? Rasanya letak atas meja macam biasa...!" Dengus Zandra.

 Sudah la terlewat untuk ke tempat kerja, kunci kereta pula hilang entah ke mana. Zandra kelam kabut mencari kunci keretanya. Dia amat pasti yang semalam dia letakkan kunci keretanya betul-betul di atas meja tersebut dan tidak langsung menyentuhnya selepas itu. Zandra cuba bertenang, dia menarik nafas panjang dan matanya perlahan-lahan meneroka setiap sudut dan setiap ceruk. Dicarinya pula di bawah meja, di bawah katil, di bawah kerusi, bawah almari..namun langsung tidak kelihatan. Dalam poket pakaian semalam pun tiada. Sudahnya dia cari di dapur pula, tapi dia yakin dia tidak membawa kunci keretanya ke dapur semalam. Namun dia jenguk juga ke dapur mencari. Dia terus mencari di atas peti ais.

"Bila masa aku letak atas peti ais!!!" Zandra bingung. Jenuh dia mengingat-ingat bagaimana kunci itu berada di situ kerana dia amat pasti yang dia tidak meletakkannya di situ. Tiada orang lain yang tinggal dengan Zandra ataupun bertandang ke rumahnya, dia hidup berseorangan sahaja di dalam rumah itu.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, baru Zandra teringat. Perkara seperti tadi itu sudah beberapa kali berlaku. Barang-barang miliknya kerap berubah tempat. Dia bingung dan kadang-kadang curiga dengan dirinya sendiri tentang apa yang sedang berlaku terhadap dirinya ketika ini. Sedar tak sedar Zandra sudah sampai ke tempat kerjanya.

Zandra masih tidak tahu yang selama ini dia telah diekori dan dibelenggu oleh sesuatu yang dikatakan sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik dirinya...

Goodbye Honey Lemon DemonWhere stories live. Discover now