"Makcik!" Gadis kecil itu menjerit memanggil makcik Luisa sambil menangis teresak-esak sebaik sahaja terbangun dari tidurnya. Dia menekup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Esakannya benar-benar syahdu sehingga bahunya bergegar akibat berlawan nafas dan air mata. Lagatnya seperti dalam ketakutan. Tangisan gadis kecil itu semakin lama, semakin kuat.
"Ya sayang! Sabar, makcik datang." Makcik Luisa bergegas menaiki anak tangga kayu yang menyambungkan ruangan kafe di bawah dan kawasan kamar ditingkat atas. Dia meninggalkan pelanggannya yang asyik menjamu selera di tingkat bawah demi mendapatkan anak buahnya yang menangis di tingkat atas.
Langkahnya diorak pantas untuk ke bilik Alba. Tatkala pintu bilik itu di buka, dilihat anak buah kesayangannya sedang baring terlangkup dan menutup kedua belah telinga dengan tangan kecilnya sambil menangis teresak-esak.
"Sayang.... Kenapa ni?" Sayu mata wanita itu memandangkan ke arah gadis kecil itu. Terus dia mendapatkan Alba yang dilihat seperti dalam ketakutan. Alba sedar akan kehadiran makcik nya, terus bangun dan memeluk erat tubuh wanita itu. Nyaman rasanya apabila mendakap seseorang yang paling dia sayang. Segala ketakutan yang dirasai seolah-olah sudah luntur dibawa air matanya apabila makcik Luisa berada di sisi.
Makcik Luisa membalas dakapan erat Alba seraya mengucup kepala gadis kecil 9 tahun itu. Digosok-gosok belakang Alba bagi menenangkan hati yang diapit rasa ketakutan.
"Dah, dah.. makcik ada. Jangan nangis ya." Makcik Luisa cuba memujuk. Apron yang dipakai olehnya sudah basah dibahagian dada dek derasnya air mata Alba didalam dakapan.
Tangisan Alba beransur reda. Tangisan yang mulanya disulami dengan rengekan kini hanya tinggal sedu-sedan. Namun begitu, tangannya masih erat memeluk makcik Luisa seperti tidak mahu membenarkan makcik kesayangannya untuk pergi.
Makcik Luisa melepaskan dakapannya dan menolak kedua-dua lengan Alba perlahan.
"Alba... Pandang makcik." Suara lembut itu meminta agar Alba bertentang mata dengannya.
Gadis kecil itu hanya akur dan mendongak memandang wajah makcik Luisa dengan pandangan penuh berkaca. Matanya masih lagi bertakung dengan air mata walaupun tangisannya sudah reda.
"Alba mimpi buruk lagi ya sayang?" Makcik Luisa menyeka air mata yang berlinang pada kedua-dua pipi gebu Alba.
Si kecil itu hanya mengangguk. Wajahnya masih lagi menyimpan kesedihan dan ketakutan sekali gus.
"Alba jangan takut ya? Makcik kan ada.. mimpi hanya mainan tidur. Tiada apa yang perlu Alba takutkan. Mimpi akan datang pada malam hari ketika kita tidur. Samada ianya baik atau buruk. Tapi, bila munculnya matahari, itulah pengakhiran bagi segala yang kita mimpikan malam tadi. Jadi, Alba tak perlu takut. Semuanya sudah berakhir sebab hari dah siang." Makcik Luisa menunjukkan cahaya matahari pagi yang memancar dari jendela di kamar Alba. Sinaran matahari pagi yang masuk keruangan kamar seolah-olah mengucup wajah dua orang insan di situ. Mata kuning milik Alba juga bersinar indah tatkala ditempiaskan oleh sinaran tersebut.
Alba melihat ke luar jendela tatkala makcik Luisa menujukkan jarinya ke arah tersebut. Dia mengesat saki baki air matanya dengan lengan baju. Dia memandang semula wajah makcik Luisa dengan senyuman. Kini hatinya sudah tenang. Ketakutan yang dirasai sudah berlalu pergi sepenuhnya. Kata-kata makcik Luisa benar-benar berkesan memujuk hatinya.
"Ha.. macam ni lah Alba yang makcik sayang. Selalu senyum dah tak takutkan apa-apa." Rambut hadapan Alba dielus lembut. Hatinya juga tenang apabila melihat keadaan Alba yang sudah stabil seperti sedia kala. Walaupun Alba sering menagis tatkala bangun dari tidurnya, namun dia telah berjaya menenangkannya pada hari ini. Kadang-kala, teringin juga dia ingin tahu apa yang dimimpikan Alba, sehinggakan Alba begitu takut dan menangis.

ANDA SEDANG MEMBACA
I'm sabarà
No Ficción"Alba ni apa? Cacat ke?" "Tak lah sayang." "Habis tu?" "Alba istimewa... Ya... Istimewa."