3 | I'm Yours?

2.4K 118 0
                                    

"Ibu, anugerah dekan kelas pertama. Hebat tak?" Nabila tersenyum puas. Tak sia-sia dia menelaah pelajaran siang dan malam.

"Ibu janji nak belanja Bella makan apa sahaja. Jadi, ibu kena bangun sekarang! Mama ada orang tidur siang malam macam ini. Ish ish ish... Tak elok tau."

Beep!

"Ibu, jawablah. Ibu merajuk lagi? Maaflah, ibu. Bella tak sengaja." Suara yang girang tadi kini semakin perlahan. Nabila menatap insan yang terbaring ibarat bayi yang lena itu.

Beep!

Gigi diketap kuat. Dia cuba menahan rasa sebak yang cuba hadir di dalam dada. Melihat Puan Hani yang masih kaku di hadapannya, rasa bersalah semakin menggunung.

Walaupun begitu, dia masih bersyukur apabila mereka sekeluarga masih bernyawa setelah terlibat dengan kemalangan yang jika dilihat pada mata kasarnya, tiada harapan untuk kekal bernyawa. Tapi kuasa Allah tiada tandingannya. Selagi betul tiba takdir yang ditetapkan, kematian tak akan berlaku. Tidak lambat, tidak cepat. Itulah janjiNya.

Namun, ibu dan ayahnya kini ibarat mayat hidup. Tiada yang tahu bilakah mereka akan bangkit. Jika bangkit sekalipun, adakah masih di alam dunia atau sudah di alam sana.

"Ibu, tolonglah... Bangun." Pecah juga empangan air mata yang ditahan dari tadi. Makin lama makin banyak sehingga dia tak mampu mengelapnya lagi.

Dia tak kuat.
Nabila sudah tiada sesiapa lagi andainya mereka meninggalkan dirinya. Dia akan menjadi bagai layang-layang putus tali yang tiada harapan untuk berjuang.

"Ini semua salah aku! Kalau aku tak pergi mesti semua ini tak akan terjadi! Tak akan!" Nabila meraung sekuat hati.

Dia tak tahan.

Dia tak sanggup.

Hampir dua bulan mereka bagaikan mayat hidup, tapi terasa bagai sudah 2 tahun lamanya.

Sunyi.

Walaupun setelah kemalangan yang menyebabkan tulang kakinya patah itu dia tinggal bersama Puan Umaira dan Encik Usman, namun kesunyian dalam hati ini tak mungkin dapat diganti dengan kebahagiaan tanpa kedua orang tuanya.

"Nabila!" Terburu-buru Puan Umaira mendapatkan Nabila apabila dia diberitahu oleh jururawat yang Nabila sudah mula meraung sendirian di bilik yang menenmpatkan ibunya.

"Nabila, jangan macam ini. Sedih ibu tengok kamu nanti. Kita balik dulu, ya? Esok kita datang lagi. Dah nak maghrib. Jangan meraung macam ini sayang. Tak elok." Lembut sahaja suara Puan Umaira memujuk. Dia tak mahu menggores hati anak sahabatnya yang sememangnya sudah terlalu rapuh.

Nabila hanya mengangguk. Memang itu rutin hariannya semenjak kejadian itu. Cuma ada kalanya, dia yang terlebih mengada tidak mahu pulang. Sebab itulah Puan Umaira memujuknya setiap hari. Ada kalanya dia malu dengan jururawat di situ. Dia selalu membuat perangai sehinggakan mereka sudah terlalu arif dengan sikap Nabila. Tetapi, dia tak dapat mengawal emosinya.

"Maaf, Bella susahkan ummi dan abi." Dan seperti kebiasaaannya juga, timbul rasa kesal kerana menyusahkan keluarga yang telah banyak membantunya sejak kemalangan itu berlaku.

Memang ada saudara mara yang menawarkan diri untuk menjaga Nabila. Malangnya, mereka semua tinggal jauh dari tempat tinggal Nabila kini. Mengikut mereka bererti Nabila perlu tidak dapat melawat ibu dan ayahnya sentiasa. Di sini kelengkapan hospital yang paling baik. Jadi memang tiada kemungkinan ibu dan ayahnya akan dipindahkan ke hospital lain.

Lagipun, dia bukannya anak kecil. Umurnya sudah mencecah 20 tahun. Bukannya dia tak mampu berdikari. Dari segi mental, ya dia tak mampu. Tapi dia masih mampu mengawalnya.

Muncul sinar harapan apabila keluarga Encik Usman datang ketika sesi perbincangan keluarga mengenai penjagaan Nabila sementara waktu. Encik Usman dan Puan Umaira, sahabat baik ibu dan ayah menawarkan pertolongan mereka.

Mereka jugalah antara orang yang Nabila lihat pada hari mula-mula dia tersedar dari pengsan selama dua hari.

"Tak apa. Tak susah pun. Jom balik." Puan Umaira berkata lembut.

"Kita gerak sekarang ya? Abi takut Hazim tertunggu lama pula nanti. Dia tak bawa kunci rumah."
Sekali lagi Nabila mengangguk. Dahi ibunya dikucup lembut.

"Ibu, maafkan Bella ya? Bella minta diri dulu. Sayang ibu dan ayah. Tadi Bella dah lawat ayah tau, ibu. Saja bagitahu. Assalamualaikum." Kata-kata maaf, itulah rutinnya setiap hari. Perasaan itu akan tetap membelenggu jiwa.

Amar?

Entahlah. Sejak dari peristiwa hitam itu, Nabila mengelakkan diri daripada bertembung dengannya. Bukan dengan dia sahaja, tapi hampir semua orang. Dia datang ke kolej awal namun hanya masuk ke kelas betul-betul sebelum pembelajaran dimulakan. Bayangnya hilang sebaik sahaja tamat jadualnya. Dia sedar Mia, sahabat baiknya acap kali cuba menegurnya namun dia tak mampu nak membalas.

Sampai sahaja di kereta, Encik Usman membukakan pintu untuk Nabila. Mungkin kerana dia lihat anak yang dijaganya itu agak lesu hari ini. Patutlah Puan Umaira sayang, sifat penyayang Encik Usman memang jelas kelihatan. Macam manalah dia nak balas budi mereka nanti?

"Terima kasih abi. Segan Bella." Suara direndahkan tanda dia betul-betul malu. Bukannya dia budak kecil. Dia cumalah gadis dewasa yang terlalu manja.

Encik Usman hanya tersenyum.

"Abi tengok kamu lesu. Cuba semangat sikit! Nanti ibu ayah kamu bangun tengok kamu macam ini, habislah abi! Sudahlah ibu kamu itu kuat membebel." Katanya berseloroh. Tergelak kecil Nabila dibuatnya melihat muka Encik Usman yang dibuat-buat seperti takut dimarahi.

Kalau tengok perangai abi, mesti orang luar tidak percaya yang sebenarnya Encik Usman telah membangunkan sebuah empayar makanan haiwan sendiri. Setelah hampir 15 tahun dia memutuskan untuk keluar daripada zon selesanya, akhirnya dia berjaya memiliki tiga anak syarikat sendiri. Semuanya mengeluarkan produk untuk haiwan. Tak besar namun boleh dikatakan Encik Usman ini golongan orang kaya-raya yang tetap merendah diri. Untungnya anak mereka dapat ibu bapa seperti mereka.

Puan Umaira pula memiliki butik pakaian. Itu memang impiannya ada butik busana muslimah sendiri jadi dengan bantuan Encik Usman, Puan Umaira mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan juga.

Pernah dia dibawa ke sana apabila Hazim tiada di rumah kerana menghadiri latihan bola sepak. Kagum Nabila melihat hasil usaha suami isteri itu. Dia juga dapat tahu yang anak-anak lelaki pasangan itu sememangnya sudah dilatih untuk bekerja dan menguruskan syarikat itu nanti.

Encik Usman dan Puan Umaira memang tak akan biarkan Nabila bersendirian walaupun sekejap kerana apabila Nabila bersendirian, mulalah kenangan bersama Encik Aiman dan Puan Hani singgah di fikiran. Ini juga atas saranan doktor agar dia tidak mengalami kemurungan. Kemurungan bukan satu perkara remeh yang boleh dibuat main. Oleh itu, sedaya upaya mereka menjaga Nabila.

"Okay, abi. Bella akan semangat!"

Inilah permulaan baharunya.

I'm yours?Where stories live. Discover now