[PROLOG]

1.5K 65 1
                                    

Nafas ditarik perlahan. Rumah dua tingkat milik ayah mentuanya ditatap. Mata Iqbal tertumpu ke salah satu tingkap di tingkat dua. Tingkap bilik isterinya.

"Achik." Tersentak Iqbal apabila ada tangan yang menepuk bahunya. Segera dia berpaling melihat gerangan itu.

"Bincang elok-elok." Nasihat yang ringkas tapi sangat bermakna buatnya sekarang. Iqbal mengangguk faham mendengar bicara Syahid. Dia melihat seorang demi seorang ahli keluarganya.

Rasa serba-salah mula muncul kerana sudah menyusahkan seluruh ahli keluarganya untuk ke mari tapi itu bukan apa yang patut dia fikirkan sekarang. Rumah teres itu dipandang sekali lagi.

Kehadiran mereka sekeluarga masih tak diketahui Encik Aiman, Puan Hani mahupun isterinya. Awal-awal pagi lagi mereka sudah bertolak ke situ.

Qaseh di belakang turut sama gelisah. Dia juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan daripada keluarga itu. Semua masalah ini tak akan timbul kalau bukan kerana kerenahnya.

Dengan lafaz bismillah, Iqbal mengetuk pintu kayu rumah berwarna putih itu. Baru sahaja genggaman tangannya ingin menyentuh pintu buat kali kedua, pintu itu sudah terbuka dari dalam. Muncul wajah Puan Hani di situ.

"Iqbal!" Puan Hani tak menyangka Iqbal akan datang ke rumahnya. Bukan Puan Hani terkejut dengan kehadiran menantunya. Dia terkejut kerana Iqbal datang sekeluarga.

"Hani, jom." Encik Aiman yang masih tidak menyedari kehadiran keluarga besannya, membetulkan jam di tangan.

"Abang." Mendengar suara isterinya, segera Encik Aiman mengangkat muka. Kelu lidahnya melihat kehadiran semua yang ada.

"Ayah, ibu. Maaf Iqbal datang awal pagi. Tapi Iqbal datang nak ambil isteri Iqbal semula dan bincang apa yang jadi. Dia tak salah, ayah." Tidak mahu membuang masa, Iqbal segera meluahkan segala hajatnya. Cukuplah semalaman untuk dia mengumpulkan kembali keberaniannya. Walau apa pun yang berlaku, hari ini dia akan pertahankan isterinya.

Namun hairan Iqbal dibuatnya apabila ibu dan ayah mentuanya tidak mengeluarkan sepatah kata. Mereka hanya memandang sesama sendiri. Berkomunikasi tanpa ada yang mendengari.

"Ayah, ibu?" Wajah resah ibu mentuanya dipandang. Iqbal melihat Encik Aiman pula meraup kasar wajahnya sendiri.

"Tak boleh." Jawapan Encik Aiman berjaya membuatkan jantung Iqbal berdegup laju.

"Kenapa? Iqbal cuma nak-"

"Tak boleh!" Jerkahan Encik Aiman kali ini berjaya membuat lidah Iqbal kelu.

"Aiman, kita bincang elok-elok. Anak aku nak tanya pasal isteri dia sahaja." Encik Usman mula bersuara apabila Iqbal sepertinya mulai terdiam akibat dijerkah.

"Aku cakap tak boleh, tak bolehlah!" Kali ini suara Encik Aiman sedikit rendah. Ada nada kesal terselit di situ. Encik Usman jelas tak berpuas hati dengan tindakan sahabat merangkap besannya itu.

"Aiman! Boleh tak kau kurangkan baran, rendahkan ego? Kita bin-"

"Dia tak ada! Jadi kau atau sesiapa pun tak boleh jumpa dia. Kau faham tak? Dia tak ada sebab itu aku kata tak boleh! Macam mana aku nak jumpakan kamu semua dengan dia kalau aku sendiri tak dapat jumpa dia!" Lantang suara Encik Aiman menjawab. Puan Hani pula sudah jatuh terduduk di muka pintu. Tangisannya mula kedengaran.

"Apa maksud awak, Aiman?" Puan Umaira yang sedari tadi berdiam diri mula bersuara. Encik Aiman hanya berdiam diri. Matanya dipejam rapat.

"Hani?" Tangisan Puan Hani semakin kuat. Perlahan, dia menghulurkan sehelai kertas yang digenggamnya erat sedari tadi kepada menantunya. Tanpa berlengah, Iqbal menyambut. Dibuka dan dibaca. Ralit anak mata Iqbal melihat isi di dalamnya.

Memori semalam kembali berputar mengingatkan apa yang berlaku antara dia dan si isteri.



"Hachum!" Dalam keheningan malam, Nabila menggosok tubuhnya sendiri demi sedikit haba. Hujan rintik sedari tadi kian melebat. Perhentian bas yang bumbungnya dipenuhi lubang tidak mampu menghalang tubuh kecil itu daripada terkena tempias hujan.

"Ya Allah, guruh." Tubuh Nabila mula menggigil. Dia tak tahu ke mana lagi dia perlu pergi. Kilat sabung-menyabung menghadirkan rasa gerun di hati Nabila.

"Baby, mama takut." Perutnya diusap perlahan. Bayangan suaminya muncul di hadapan mata.

"Awak, saya takut." Ingatannya terhadap si suami semakin kuat apabila teringatkan suaminyalah yang selalu menenangkan dia pada saat sebegini.

Air mata yang hampir mengalir ditahan.

Tak.

Jangan nangis Nabila. Kau buat semua ni untuk kebaikan semua.

"Jangan risau anak mama, kalau orang lain tak boleh terima kamu, mama boleh. Bertahan dengan mama ya sayang." Dengan tangan terketar-ketar, Nabila memeluk perutnya sendiri. Malam semakin dingin.

Sekarang, dia hanya boleh berharap agar hujan ini berlalu pergi dan sinaran mentari datang menyinari pada esok hari. Namun, matanya mula berpinar. Baru teringat yang dia tak menjamah apa-apa sejak semalam. Sekelip mata, tubuh itu rebah disimbahi titisan air dari langit.

"Awak..."






13 Jun 2022
Updated Version

I'm yours?Where stories live. Discover now