Kucing bewarna hitam, memiliki ekor yang berbulu tebal menggeselkan badannya ke kaki Adira. Malam dia ditemani Oken.
Keluarganya pulang ke kampung kerana melawat ayah ngah yang sedang sakit. Dia tidak dapat ikut serta kerana esok perlu ke kuliah, ada pembentangan kerja berkumpulan yang memerlukan dirinya sebagai peranan penting.
Adira menguap mulutnya berkali-kali. Oken berlari ke bilik Adira. Dia juga mengantuk.
Kemudian, telefonnya bergetar. Satu panggilan dari Sophea, jiran selang tiga buah rumah terpapar di skrin.
'Dira, kucing kau ni mati lah. Ada depan rumah aku ni.' Beritahu Sophea.
Adira mengerutkan dahinya. Dia baru bermain dengan Oken sebentar tadi.
'Merepeklah kau. Oken baru je masuk bilik aku tu.' Adira mencantas kenyataan Sophea.
Panggilan dimatikan sebaik saja Adira mengucapkan selamat tinggal. Adira berasa pelik tiba-tiba. Matanya tertancap kesan tapak kaki kecil yang berdarah.
Adira mengikuti jejak tapak tersebut. Dan, ianya menuju ke bilik tidurnya. Adira telan liur.
Oken duduk di atas katil sambil memandang Adira. Oken menyeringai. Perutnya mengeluarkan cecair merah. Dan akhirnya, Adira terjelepok ke lantai.