"Nur, tolong wakilkan saya ke kursus di Dewan Melur. Saya hantar location ke sana." Tuan Hairi memberitahu Nur Iman yang berada di hadapannya.
Nur Iman mendongak dari tekun melakukan kerja yang bertimbun di atas meja. Kemudian, dia mengeluh.
"Bos, kerja banyak lah. Boleh tak wakilkan pada orang lain?" Nur Iman cuba meminta simpati. Dia cuba untuk menyiapkan kerja yang diberi dan dihantar tepat pada masanya. Dia tidak mahu menangguh kerjanya lagi, tidak mahu terlibat dalam aktiviti kerja lebih masa.
"Tak boleh. Ini arahan dari saya." Tuan Hairi menekankan sedikit suaranya dan berlalu ke pejabatnya.
Nur Iman mengeluh buat kali kedua. Dia mengerling rakan-rakan sekerja yang lain, hanya sengihan saja yang mampu diberi mereka.
Nur Iman segera menarik tas tangannya dan berlalu keluar dari pejabat setelah pesanan ringkas yang dihantar oleh Tuan Hairi masuk dalam pesanan. Sebuah lokasi yang terletak di hujung Selangor dia lirik dengan sekali pandang.
Nur Iman menghidupkan enjin kenderaan. Setelah tiga minit menunggu, dia meneruskan perjalanan. Jangkaannya dalam satu jam lagi dia bakal tiba ke Dewan Melur. Dan, telahannya tepat, memang tepat masanya dia tiba di Dewan Melur.
Setibanya di sana, dia disambut oleh seorang pegawai yang bernama Diana. Wanita yang memakai blazzer bewarna hitam dan berbaju kurung hijau menyapanya dengan mesra. Nur Iman terasa sangat dialu-alukan oleh warga kerja di situ.
Sepanjang berkursus, Nur Iman berasa sangat pelik. Peserta semakin bertambah tetapi dia tidak nampak dari mana arah datangnya mereka itu semua. Dan kebanyakan mereka memakai blazzer dan berpakaian bewarna hijau.
Dan, bulu romanya berdiri secara tiba-tiba apabila kesejukan dari penghawa dingin terasa luar biasa sejuknya. Hatinya berdebar-debar kerana merasakan sesuatu. Hidungnya terhidu sesuatu. Seperti bau asap.
Lelaki yang bernama Tuan Fuad memandangnya tajam sambil memberikan ucapan. Nur Iman berasa tidak selesa. Dia hanya menunduk dan mencatat.
Tiba-tiba, lampu terpadam. Nur Iman terkejut. Segera dia mencapai tas tangan yang terletak di kaki. Diambil telefon bimbit dan menghidupkan lampu suluh.
Terkejut bukan kepalang, apabila dia melihat di sebalik samar-samar cahaya, hanya ada meja yang dijalari tumbuh-tumbuhan. Keadaan seperti baru dibencana kebakaran. Terus dia bangun dari kerusi dan berlari menuju ke pintu utama dewan tersebut.
Mengucap panjang apabila dia keluar dari dewan tersebut. Sebuah bangunan usang ada di hadapannya. Menggigil kakinya di situ. Deringan panggilan masuk di telefon bimbitnya segera diangkat.
"Awak di mana Nur? Saya minta maaf, saya salah sent location. Itu dewan yang lama sebelum kebakaran berlaku. Tempatnya masih berdekatan di kawasan itu. Awak dengan siapa di sana?" Tuan Hairi cuba menjelaskan sesuatu lagi.
Mata Nur Iman nampak susuk tubuh Diana yang laju menghampirinya.
"Saya dan Diana, pegawai di sini." beritahu Nur Iman. Semakin dekat Diana semakin menghampirinya.
" Mana ada orang lagi di situ Nur. Allah. Lari Nur. Diana tu anak saya. Dia juga salah seorang mangsa kebakaran. Lari Nur!" jerit Tuan Hairi di hujung panggilan.
Nur hilang pertimbangan apabila Diana menyeringai di hadapannya.
" Cik dah nak balik?" tegur Diana.
Nur Iman pengsan.