Bab 8

543 14 0
                                    

Bunyi alarm yang kuat membingitkan telinganya. Tangannya meraba mencari telefon pintar di atas meja sisi katil.

Setelah alarm dimatikan, dia duduk di atas katil seketika. Matanya masih terpejam. Rasa kantuknya seakan-akan tidak mahu meninggalkan kelopak matanya. Kemudian, dia membetulkan urat-urat yang bersimpul.

Kepalanya dipusing bagi menghilangkan rasa sengal di bahu. Dia membuka telefon pintarnya untuk melihat jam tetapi, 22 missed call daripada Naufal yang tertulis di skrin menarik perhatiannya. Dia pantas menghubungi Naufal kembali. Bimbang jika ada hal penting yang ingin diperkatakan.

"Helo!"

Abid mengerutkan dahinya apabila suara garau menampan gegendang telinganya di hujung talian. Dia pasti yang dia menghubungi Naufal tadi.

"Helo! Ni bukan nombor Naufal ke?" Dia bertanya kebingungan.

"Ya, betul ni nombor Encik Ariqqin Naufal. Encik ni Encik Abid ke?"

"Ya, saya Abid. Saya tengah bercakap dengan siapa ni?" Jantungnya mula berdegup kencang. Bimbang jika ada apa-apa yang terjadi kepada Naufal.

"Saya Sarjan Hashim. Encik Ariqqin Naufal ditahan di lokap atas kesalahan cubaan membunuh. Dia yang minta saya menghubungi Encik Abid."

"Astaghfirullahalazim." Abid beristighfar panjang. Hilang sudah rasa kantuknya tadi.

"Terima kasih kerana menghubungi saya, tuan. Saya akan ke sana secepat mungkin." Abid terus mematikan talian dan bergegas ke bilik air. Dia perlu bertemu Naufal secepat mungkin. Naufal perlu diselamatkan.

ARIQQIN NAUFAL menyandarkan kepalanya ke dinding lokap. Tangannya yang berlumuran darah masih menggigil sejak dia dibawa ke lokap malam tadi. Dia takut. Takut jika dia akan dipenjarakan. Kejadian semalam kembali terlayar dalam mindanya.

Motosikalnya diparkir dan dikunci kemas. Sejak di court badminton tadi lagi dia berasa tidak sedap hati. Seperti ada sesuatu yang bakal terjadi. Dia melajukan langkah mendaki anak tangga ke rumahnya di tingkat empat.

Sampai di hadapan pintu rumah, dia berhenti seketika untuk mengambil nafas. Tangannya dibiar lekat pada tombol pintu. Perasaan takut tiba-tiba menguasai dirinya. Dia menarik nafas dalam dan dilepaskan perlahan.

"Aaa!!! Abang, tolong jangan, abang!"

Jantungnya terasa bagai jatuh ke lantai apabila mendengar jeritan ibunya dari dalam rumah. Tangannya memulas tombol pintu dan dia meluru masuk.

Dadanya naik turun apabila melihat rambut ibunya ditarik kuat tanpa sebarang belas oleh ayahnya. Jelas kelihatan lebam di mata dan mulut wajah tua ibunya.

"Aku nak duit la, bodoh! Duit! Duit!"

Kepala ibunya ditunjal-tunjal kasar.

"Nah mana ada duit, abang. Tinggal sikit buat belanja makan."

"Kau jangan nak tipu aku. Aku tau Naufal bagi kau duit tiap bulan. Kau ingat aku buta?" Ayahnya memukul kepala ibunya kuat. Ibunya menjerit kesakitan.

Wajah Naufal merah menahan rasa marah yang membuak-buak. Segala apa yang telah ayahnya lakukan terhadap ibunya sejak dia kecil seakan-akan terlayar di depan matanya saat ini.

Tanpa berfikir panjang, Naufal menolak tubuh ayahnya kuat. Wajah lelaki itu ditumbuk berkali-kali sekuat hatinya. Segala rasa marah, sedih, benci bercampur menjadi satu. Segala rasa dilepaskan ke wajah lelaki yang terbaring lemah di hadapannya. Dia terlalu bencikan lelaki itu.

"Ya Allah, Naufal! Sudah, nak! Bawa mengucap!"

Rayuan ibunya sudah tidak diendahkan. Dia terus memukul ayahnya seperti sudah dirasuk syaitan. Ketika dia tersedar, ayahnya sudah terkulai layu tidak sedarkan diri. Tangannya menggigil melihat darah di tangannya. Dia terduduk ke atas lantai. Dunianya terasa gelap. Hanya tangisan dan rintihan ibunya yang kedengaran di telinganya saat itu.

PEMBURU BAHAGIAWhere stories live. Discover now