Bab 4

624 20 0
                                    

Langkah kaki laju diatur ke arah bangunan pejabat Black Knight Home Design. Beg di tangan dijinjit kemas.

"Assalamualaikum, Encik Abid."

Langkahnya terhenti saat mendengar sapaan lembut daripada gadis yang setia menunggu di hadapan pintu utama pejabat

"Waalaikumussalam. Afifa dah lama sampai? Kenapa tak masuk?" Abid menyoal tenang.

"Saya baru aje sampai. Saya rasa tak ada yang sampai lagi sebab pintu berkunci." Afifa menjawab bersama senyuman di bibir.

"Tapi saya nampak kereta Hanif tadi. Mungkin dia tidur kat sini kut. Jom ikut saya masuk."

Abid membuka kunci pintu dan mula melangkah ke arah lif. Afifa hanya menurut. Setelah pintu lif terbuka, Abid melangkah ke arah sebuah meja sederhana besar yang terletak betul-betul di hadapan sebuah bilik. Afifa hanya menurut ke arah meja yang kosong itu.

"Ni tempat Afifa. Afifa duduk dulu. Kemas apa-apa yang patut. Saya pergi jumpa Hanif." Abid sempat meletakkan beg di dalam biliknya sebelum melangkah ke bilik Hanif.

Tok-tok! Tok-tok!

Pintu bilik Hanif diketuk perlahan. Setelah tiada balasan yang diterima, pintu bilik diketuk sekali lagi. Dahinya berkerut. Pelik apabila sahabatnya itu langsung tidak bersuara.

Kebiasaannya, Hanif sudah bersedia di mejanya sepuluh minit sebelum waktu bekerja bermula. Hanif memang terkenal dengan sikapnya yang menepati masa. Abid memulas tombol pintu. Tidak berkunci. Dia melangkah masuk ke dalam bilik Hanif.

"Hanif!" Abid memanggil nama Hanif sambil langkah kaki diatur ke arah bilik kecil di bahagian belakang bilik sederhana besar itu.

Dia tahu Hanif selalu bermalam di pejabat jika dia malas untuk pulang ke rumah. Siapa tidak kenal dengan sikap workaholic presiden syarikat itu. Jika dia mula bekerja, ribut taufan melanda pun tidak akan disedarinya.

Disebabkan itu jugalah Hanif meletakkan katil bujang di dalam bilik kecil di sudut belakang bilik pejabatnya. Jadi, tidak perlulah dia membuang masa berulang-alik dari apartmen ke pejabat ketika sibuk dengan kerja.

Abid menyelak tirai yang membahagikan ruang pejabat dengan bilik kecil itu. Hanif sedang elok terbaring di atas katil bujangnya.

"Hanif, dah nak dekat waktu kerja ni. Bangun!" Abid menggoncang sedikit tubuh Hanif yang masih nyenyak diulit mimpi. Matanya sempat mengerling jam di tangan. Pelik! Selalunya Hanif tak pernah lambat bangun.

"Hanif!" Abid sekali lagi menggoncang tubuh Hanif. Kali ini lebih kuat goncangannya. Perlahan-lahan, Hanif membuka matanya. Dia bingkas bangun apabila melihat Abid yang sedang berdiri betul-betul di sebelah katilnya.

"Argh!"

Erangan Hanif mengejutkan Abid.

"Kenapa?" Abid menyoal sedikit cemas.

"Kepala aku sakit." Abid memicit kepalanya yang berdenyut.

"Kalau kau tak sihat, kau balik rumah la." Abid memberikan cadangan. Dia tahu, Hanif sering diserang migrain yang teruk jika dia tertekan. Entah apa pula tekanan yang dihadapinya kali ini.

"Tak apa. Aku okey. Aku mandi dulu." Hanif mencapai tuala dan mula melangkah ke bilik air yang terletak di luar bilik pejabatnya. Tangannya masih memicit kepala yang berdenyut. Abid menggelengkan kepala.

Sepanjang mereka bekerja bersama, Hanif tidak pernah mengambil cuti walaupun sehari. Demam atau migrain langsung tidak mengganggu komitmen kerjanya. Malahan, sehingga ke hujung minggu pun dia menghabiskan masa di pejabat.

PEMBURU BAHAGIAWhere stories live. Discover now