Bab 13

566 13 0
                                    

Pejam, celik! Pejam, celik! Sudah hampir sebulan Afifa Fitiya bekerja di Black Knight Home Design. Selama bekerja di situ, dia selesa dengan suasana dan staf si situ.

Walaupun hanya dia seorang sahaja pekerja perempuan di situ, namun mereka tidak pernah membanding-bandingkan dia dengan pekerja yang lain.

Cuma sejak kebelakangan ini, dia sering pulang lambat ke rumah. Black Knight menghadapi masalah kewangan memandangkan ramai client yang menarik diri dari berurusan dengan mereka.

Afifa ada mendengar daripada Nabil dan Halim yang semua yang terjadi adalah berpunca daripada abang Hanif yang selalu dengki dengan kejayaan Hanif. Tetapi dia tidak tahu sejauh mana kebenaran kata-kata Nabil dan Halim itu.

Afifa bangun meregangkan urat yang berselirat sebelum kembali melabuhkan duduk di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Drama Korea Thirty but Seventeen yang menjadi kegemarannya sejak episod pertama sedang ditayang di kaca televisyen.

Afifa begitu meminati watak utama dalam drama itu yang berjaya membawa watak mereka dengan baik sekali. Sepanjang menonton drama itu, dia sering terbuai dengan pelbagai perasaan yang ditunjukkan mereka.

Afifa melihat jam di dinding selepas tamat episod 32 iaitu episod terakhir drama. Jam sudah menunjukkan pukul 10.15 malam. Tetapi kelibat sahabatnya, Farhana masih belum kelihatan.

"Mana pula Ana ni? Tak habis kerja lagi ke?" Afifa bermonolog sendirian. Dia bangun menyelak langsir tingkap. Langit gelap tidak berbintang.

Mengikut laporan kaji cuaca di televisyen tadi, malam ini hujan diramalkan akan turun. Afifa mencapai telefon pintarnya di atas meja dan mula menghubungi Farhana.

Makin dalam kerutan di dahinya apabila Farhana tidak menyambut panggilan. Dia mencuba lagi, tetapi masih tidak berangkat. Dia kembali melabuhkan duduk di atas sofa. Dalam hati, dia berdoa semoga sahabatnya itu sentiasa dilindungi Allah daripada sebarang malapetaka.

Aisya Farhana memeluk lengan Naim Haikal manja. Manik-manik peluh terbentuk di lehernya. Puas dia menari bersama kawan-kawan Naim tadi. Lelaki itu membawanya ke majlis hari lahir kawannya selepas dia pulang dari kerja tadi.

"Jom la menari sekali." Farhana sedikit terjerit melawan bunyi muzik yang kuat berdentum di dalam apartmen mewah itu.

"Tak nak la. Tak ada mood," balas Naim.

Pagi tadi dia dimarahi ayahnya gara-gara lambat masuk ke ofis. Bukannya sengaja dia hendak masuk lambat, tetapi badannya letih selepas menghadiri bachelor party kawannya malam sebelumnya. Puas dia memberikan alasan, tetapi satu pun tidak diterima oleh ayahnya.

Farhana meneguk air anggur di dalam gelas menghilangkan rasa dahaga. Gelas kosong diletak kembali ke atas meja. Naim mencapai botol berisi red wine untuk dituang ke dalam gelas kosong Farhana tetapi pantas dihalang oleh gadis itu.

"Kan I dah cakap I tak minum."

"Ala, rasa la sikit," balas Naim.

"No way! Dah la, I nak sambung menari." Farhana bangun lalu menyertai mereka yang sedang rancak menari mengikut rentak lagu yang rancak.

Naim mencebik. Dia menuang sedikit red wine ke dalam jag yang berisi air anggur dan menuangkannya ke dalam gelas kosong yang ditinggalkan Farhana. Dia melangkah ke arah Farhana dan menghulurkan gelas itu kepadanya.

"I tak minum la!" jerit Farhana.

"Ni air anggur. Bukan wine."

Gelas dihulur. Farhana menyambut tanpa sangsi dan meneguk sehingga gelas kosong.

Naim tersenyum sinis sambil menari bersama gadis itu. Tidak lama selepas itu, Farhana mula terhuyung-hayang.

Naim tersenyum puas. Tanpa membuang masa, dia memimpin Farhana keluar dari apartmen menuju ke kereta. Dia memandu terus ke rumah Farhana.

Setelah tiba di hadapan pintu rumah, Naim mengambil gugusan kunci di dalam beg tangan Farhana dan dimasukkan ke dalam lubang kunci. Setelah dua kali mencuba, akhirnya dia berjaya membuka pintu rumah. Dia memimpin Farhana yang masih khayal ke tingkat atas.

Langkahnya terhenti di tengah-tengah antara dua bilik di hadapannya. Dia melangkah ke arah bilik yang terletak di sebelah kiri apabila ternampak tulisan nama Farhana di daun pintu.

Dia menguak daun pintu dan mencampak tubuh Farhana ke atas katil. Dia membuka kemejanya dan dicampak ke atas lantai. Tali pinggang ditarik dan turut dicampak ke lantai. Baru sahaja dia ingin membuka zip seluar, dia terdengar bunyi pintu ditutup. Perbuatannya serta-merta terhenti.

Afifa Fitiya berdehem membetulkan tekaknya yang terasa perit. Dia mencapai bekas air di atas meja. Keluhan dilepaskan apabila melihat bekas air yang kosong. Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Afifa mengikat rambutnya yang panjang ke paras pinggang.

Kemudian, dengan malas dia bangun bersama bekas air di tangan menuju ke dapur. Biasanya, dia akan memastikan bekas air itu diisi penuh sebelum tidur. Tetapi entah macam mana malam tadi dia boleh terlupa.

Dia sempat berpaling ke arah bilik Farhana. Cerah. Dia melepaskan nafas lega kerana sahabatnya itu selamat sampai ke rumah. Dia bimbang dengan Farhana yang semakin kerap pulang lewat malam ke rumah. Dia meneruskan langkah ke dapur. Air diisi ke dalam bekas dan dia mendaki tangga ke biliknya kembali.

Langkahnya terhenti apabila matanya menangkap kelibat seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan bilik Farhana. Mata lelaki itu tajam memerhati ke arahnya. Jantungnya mula berdegup kencang.

Tanpa membuang masa, dia berlari ke biliknya. Dia menutup pintu biliknya rapat. Baru sahaja dia ingin mengunci pintu bilik, lelaki itu terlebih dahulu menolak daun pintu.

Tubuh Afifa yang kecil terpelanting jatuh ke atas lantai. Dia memegang pergelangan tangannya yang sakit. Dia berpaling ke muka pintu. Dia dapat melihat dengan jelas senyuman sinis yang terukir di bibir lelaki itu. Lelaki itu mula melangkah mendekatinya.

"Tolong..."

Baru sahaja Afifa mahu menjerit minta tolong, lelaki itu terlebih dahulu menutup mulutnya kejap. Afifa meronta kuat tetapi tenaga perempuannya ternyata tidak mampu untuk melawan kekuatan lelaki berbadan tegap itu.

Lelaki itu merangkul tubuh kecilnya dan dilempar ke atas katil. Afifa cuba melawan tetapi lelaki itu lebih pantas menampar pipinya kuat. Pipinya terasa perit dengan tamparan kuat itu. Matanya berpinar. Afifa berdoa dalam hati semoga Allah melindunginya.

"Naim! Afifa!"

Jeritan itu menghentikan perlakuan lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu pantas bangun dan berpaling ke arah Farhana yang sedang berdiri di hadapan pintu bilik Afifa.

"Ana, tolong aku." Afifa menggumam perlahan. Lidahnya kelu untuk bersuara dek rasa takut yang teramat sangat. Dia menarik selimut dan menutupi kepalanya yang terdedah.

"Ana, perempuan ni yang goda I."

Kata-kata lelaki itu bagai halilintar membelah bumi. Afifa memandang wajah Farhana yang masih kaku di hadapan pintu biliknya.

"Ana, you trust me, right? I only love you." Lelaki itu memegang tangan Farhana lembut. Suaranya juga lembut memujuk.

"Afifa, betul ke apa Naim cakap?!" Farhana menyoal kuat. Jelas kedengaran nada marah pada suaranya.

"Astaghfirullahalazim. Ana, lelaki tu yang masuk dalam bilik aku. Percaya la cakap aku." Afifa beristighfar panjang. Mana mungkin dia mahu melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Hei, perempuan! Kau tak payah nak tunjuk baik la. Kau yang tarik aku masuk bilik kau tadi. Kau cakap kau lebih layak untuk aku daripada Ana. Kau cakap kau lebih cantik!" Lelaki itu menengking kuat.

Farhana memandang Afifa tajam.

"Ya Allah, Ana. Takkan kau percayakan lelaki tu daripada aku? Aku ni kawan kau, Ana." Afifa menahan air matanya dari gugur ke pipi. Dia tidak boleh lemah di hadapan lelaki tak guna itu. Dia perlu yakinkan Farhana.

"Aku bagi kau duduk kat rumah aku, ini balasan kau pada aku, Afifa? Aku nak kau keluar dari rumah aku sekarang! Aku tak nak tengok muka kau lagi!" tengking Farhana.

Farhana terus berlalu ke biliknya tanpa berpaling ke arah Afifa yang masih lagi terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Dia sempat menangkap senyuman sinis lelaki yang telah menghancurkan persahabatan mereka itu sebelum lelaki itu pergi mengekori Farhana.

PEMBURU BAHAGIAWhere stories live. Discover now